BAB 7

Drama Completed 557

Kalau dah jodoh tak ke mana. Asam di darat, ikan di laut dalam periuk bertemu jua. Bukankah Islam amat menggalakkan perkahwinan? Tujuannya ialah untuk mendapatkan zuriat. Alangkah indahnya menuju ke gerbang perkahwinan! Diiringi oleh paluan kompang dan bunga manggar. Beras kunyit ditabur, ditepungi tawar. Bersanding di atas pelamin bagai pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan. Sambil dikelilingi oleh sanak-saudara dan teman-teman. Ibu dan ayah gembira tak terhingga melihat anak mereka menempuhi kehidupan baru.

Tiap kali aku pulang ke kampung, topik kahwin pasti timbul.

Malam itu, selepas menunaikan solat Isyak aku berehat di anjung rumah. Ayah sejak dari Maghrib tadi belum lagi balik dari surau. Bulan dan bintang tetap bersinar di kaki langit yang diselubungi dengan warna hitam pekat. Bunyi cengkerik bergema memecah kesenyapan malam.

Cahaya lampu tetap terang-benderang. Kesejukan malam terasa membungkus seluruh badan. Desir angin yang berhembus perlahan terasa jelas menyapu permukaan kulit.

Tak lama kemudian ibu muncul dari dapur bersama secawan kopi ‘o’ dan sepiring ubi rebus yang masih panas lagi.

“Mak tak minum sama?” pelawaku sambil meneguk perlahan air kopi ‘o’ yang hitam pekat itu.

“Minumlah ...,” jawabnya lembut. Serentak menghampiriku. Ubi rebus segera melepasi kerongkongku.

“Berapa lama cuti?”

“Seminggu, mak.”

“Tak lama lagi Pak Teh dan Mak Teh kau akan menerima menantu,” ujar ibu lagi. Kuamati dalam-dalam wajahnya yang tua itu.

“Bila?” soalku pula sambil menghabiskan sisa-sisa kopi ‘o’ yang masih tinggal sedikit lagi.

“Awal bulan depan,” ibu menjawab sambil membetulkan ikatan sanggulnya agar kemas dan rapi. Aku tanpa hentinya menyoroti persoalan itu.

“Anaknya yang mana satu?”

“Rohana anak yang bongsu.”

“Siapa bakal suaminya?” soalku bertubi-tubi kali.

“Halim,” jawab ibu.

Aku pantas mencelah bila mendengar nama itu:
“Halim, yang sama sekolah dengan saya tu?” Aku mengangkat kepala tinggi sedikit.

“Ya!” angguk ibu pantas.

Ini yang dinamakan takdir. Jodoh dan ajal di tangan Tuhan. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya. Setahu aku, waktu sekolah dahulu Halim hangat bercinta dengan Zarina yang juga kawan rapat Rohana. Aku sangka Halim akan memilih Zarina sebagai pasangan hidupnya. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Kau ni bila lagi?” soal ibu tiba-tiba. Lamunanku yang jauh melayang itu lalu terhenti. Aku lalu memalingkan muka merenung wajah ibu yang tua itu.

Dialah orang yang telah melahirkanku ke dunia ini. Syurga terletak di bawah telapak kakinya. Menderhaka jauh sama sekali. Alamat berdosalah, neraka jahanam tempatnya. Kutarik nafas yang panjang.

“Sabarlah, mak. Kalau dah jodoh tak ke mana.” Aku cuba memujuk hati ibu.

Mata ibu tambah tunak. Ditambah pula dengan kerut yang timbul di mukanya dengan tiba-tiba.

“Mak ni, bukannya apa. Risau tengok kau.”

“Nak risau apa, mak?” sambungku pula.

“Bila kau dah kahwin nanti sempurnalah hidup kau. Makan dan pakai kau teratur,” tambah ibu lagi.

Diam. Kualihkan pandangan ke luar. Suasana alam yang gelap dan pekat.

Aku kembali mengamati wajah ibu dan berkata:
“Insya-Allah, mak. Kalau dah tiba jodoh nanti mak jangan risau, saya akan kahwin.”

“Itulah jawapan kau,” ujar ibu sambil menjeling ke arahku. Mungkin dia sudah naik bosan.

“Mak ni dah tua. Entah esok atau lusa sampailah ajal. Alamatnya kempunanlah mak nak menimang cucu,” rayu ibu lagi.

Mulutku seolah-olah terkunci rapat. Fikiranku berputar ligat seperti kipas. Bila dah kahwin, tanggungjawabnya besar. Kalau boleh biarlah isteri yang soleh. Binalah rumah tangga dengan harmoni dan damai. Suami adalah ibarat nakhoda agar bahtera rumah tangga tidak terumbang-ambing hanyut di lautan perceraian.

Ibu nampaknya masih lagi tidak berputus asa.

“Mak berkenan betul pada Hasnah, anak Pak Busu kau tu untuk dibuat menantu. Kau macam mana, setuju?” Kedua-dua bola mata ibu tidak berkelip-kelip memandangku.

“Nantilah, mak. Saya fikirkan dulu ...,” jawabku tenang.

“Apalagi, Azman? Budaknya baik, cantik dan berbudi bahasa. Tambahan pula pandai mengurus rumah tangga,” desak ibu lagi agar memenuhi kemahuannya.

Kebisuan melanda diri. Maafkan Azman, mak. Azman tak berniat sama sekali hendak menghancurkan harapan mak. Azman bukannya tidak sedar semua itu. Tapi, soal jodoh biarlah Azman yang menentukannya sendiri. Getus hati kecilku.

Ini zaman komputer. Anak-anak lebih gemar menentukan jodoh mereka sendiri.

Yang membimbangkan ibu bapa ialah takut nanti mereka tidak akan dapat menemui sinar kebahagiaan. Tidak lama kemudian, kelibat ayah muncul bersama sinaran lampu suluh. Setelah menanggalkan selipar, perlahan-lahan dia memanjat anak tangga. Lampu suluh dipadamkan.
“Baru pulang, ayah?” tegurku sebaik-baik sahaja dia melangkah masuk ke anjung rumah.

“Ya, Azman,” balasnya sambil menyangkut ketayap putih pada tiang di tengah rumah. Lampu suluh disimpan di dalam almari. Kemudian perlahan-lahan dia menghampiriku.

“Abang nak minum?” tanya ibu pula.

“Tak payahlah, Mah. Abang dah kenyang,” balas ayah sebaik-baik sahaja duduk bersila di atas tikar mengkuang yang usang itu. Ayah berpaling ke arahku. Ibu bingkas bangun sambil mengutip cawan dan piring yang telah kosong dan membawanya ke dapur.

“Berapa lama cuti?”

“Seminggu, ayah,” jawabku pula.

“Cuti tahun ke?” soal ayah lagi sambil menghisap rokok daun.

“Ya, ayah!” Wajahnya kian tua. Rambutnya dipenuhi uban. Lapisan kedut menghiasi permukaan kulitnya.

Kudratnya sudah tidak berdaya lagi. Dia selalu sakit dan batuk-batuk. Maklumlah dah tua. Demikianlah hakikatnya setiap yang muda pasti merasai tua.

Dulu, pagi-pagi lagi dia sudah bangun. Bertemankan unggas dan embun, membongkok menyembah pokok getah. Sebelah petang ayah turun ke bendang tanpa menghiraukan pacat dan lintah yang melekat di kaki. Hasil padi dan getahlah yang menyara persekolahan kami adik-beradik. Ayah rela berkorban untuk itu semua. Dia tidak mengharapkan agar jasanya dibalas dengan wang ringgit. Cukuplah sekadar melihat anak-anaknya semua berjaya dalam hidup. Sungguh besar pengorbananmu, ayah!

Sejak dari dulu lagi, ayah amat terkenal tegas dalam soal didikan agama. Dia mahu kami semua hidup berperaturan. Bukan seperti orang jahil yang tak tentu haluan.

Dari kecil hingga dewasa, aku tidak pernah merasai kemewahan. Tanah pusaka tinggalan arwah datuk untuk ayah hanyalah sekangkang kera. Namun aku tetap bersyukur dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh Tuhan. Sekali-sekala ayah terbatuk-batuk kecil. Lamunanku kembali terhenti. Kedua-dua bola mata ayah merenung tajam wajahku.

Malam kian larut. Namun rembulan dan bintang di langit tetap bersinar. Angin begitu rakus sekali memeluk suasana.

“Macam mana dengan kerja kau?”

“Baik, ayah!” anggukku pantas.

“Alhamdulillah. Anggaplah kerja itu sebagai satu ibadah,” pesannya.

“Insya-Allah, ayah!” aku terus mengangguk. Kemudian ayah terus masuk ke bilik untuk tidur. Tinggal aku seorang diri di ruang tamu bersama angin malam yang terus menderu.

Aku bingkas bangun dan menutup suis lampu. Perlahan-lahan menuju ke bilik dan baring. Dinihari hampir menjelma. Mataku enggan lelap. Puas kupusing ke kanan dan kiri. Ayah dan ibu telah lama dibuai oleh mimpi yang indah. Gema cengkerik kian membelah kedinginan malam.

“Maksiat adalah perbuatan yang ditegah oleh Allah s.w.t. Cara yang terbaik untuk mengatasinya ialah melalui perkahwinan,” ujar Ustaz Ghazali. Tapi dewasa ini terdapat juga segelintir kalangan lelaki dan wanita yang takut hendak berkahwin. Alasannya ialah mereka hendak enjoy puas-puas dulu. Sedangkan perkara yang baik kalau dilengahkan boleh mendatangkan jahat.

Oh, Tuhan hindarkan aku daripada perbuatan maksiat. Aku tidak mahu terlibat dengan dosa. Doaku tak putus-putus, setiap kali selepas sembahyang. Mataku masih pejal lagi. Kuamati dinding papan itu. Cahaya bulan yang samar-samar menyusup masuk. Akhirnya antara sedar dan tidak aku terlelap.

Terasa waktu begitu cepat sekali berlalu. Desa yang tercinta menyambut kelahiranku terpaksa kutinggalkan. Banjaran gunung yang subur menghijau, sawah padi yang terbentang luas, ketenangan air sungai dan pohon nyiur yang melambai-lambai harus dilupakan seketika. Tugas menantiku di kota untuk terus mencari rezeki. Ibu membekalkan makanan kegemaranku iaitu rendang ayam sebagai alas perut dalam perjalanan nanti.

“Ingat pada Tuhan selalu. Sembahyang bila tiba waktunya,” pesan ayah.

“Insya-Allah, ayah!” kuanggukkan kepala.

“Saya pergi dulu ayah, mak.” Aku memohon izin sambil mencium tangan mereka berdua.

“Macam mana cuti di kampung?” tegur Zaimi.

“Seronok,” jawabku selamba.

“Apa topik kali ni?” soalnya lagi sambil tersengih.

“Macam biasa,” balasku serentak sambil menjeling tajam ke arahnya.

“Kahwin?” Dia mengangkat muka.

“Ya!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience