BAB 1

Drama Completed 557

Desiran ombak bersama buih-buih yang memutih, berapungan di gigian pantai. Bola matahari tepat di atas darjah. Kelihatan juga jalur-jalur cahayanya yang lurus menyinari seluruh alam semesta. Butiran pasir yang halus putih berseri apabila terkena cahaya yang panas memijar. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon yang menghijau bagai menari-nari, meliuk-liuk ke kiri kanan. Daun-daun berguguran. Udara terasa begitu segar dan nyaman sekali. Aku merenung tajam ke arah laut yang terbentang luas dan membiru. Demikian jugalah tafsirannya dengan hidup manusia yang pasang dan surut silih berganti. Kita harus kuat dan tabah menghadapi setiap ujian yang datang.

Sekawan camar putih bebas berterbangan ke sana-sini di angkasa nan luas. Gema suaranya hampir membelah keheningan suasana. Sudah seminggu aku di sini. Menghadiri kursus penulisan dan penerbitan atas arahan majikanku.

“Kursus ini bertujuan untuk menambahkan pengetahuan dan pengalaman awak di bidang penulisan dan penerbitan. Saya harap awak tidak mensia-siakan peluang yang telah diberikan demi kemajuan syarikat ini.” Kata-kata rangsangan daripada pengurus syarikat. Minggu depan aku akan kembali semula ke kota. Keindahan pantai Port Dickson
akan ditinggalkan. Entah bila aku akan kembali ke sini, masih belum pasti.

Aku benar-benar jatuh hati pada ketenangan dan kedamaian di sini. Kalau boleh aku tidak mahu pulang dengan tangan kosong. Seberkas cerpen dan puisi mesti dihasilkan.

Tangan kananku pantas mencapai sebatang ranting mati. Dan mengais-ngais bentuk empat segi di atas permukaan butiran pasir yang halus.

Fikiranku terus berputar ligat dengan harapan agar ilham menjelma.

“Maafkan saya kalau mengganggu.” Lamunanku segera terpancung apabila suara gadis itu menembusi gegendang telingaku. Aku pantas menoleh ke belakang.

Dia berdiri tercegat di sisiku macam orang yang sedang menunggu arahan. Dia mengukir senyuman manis berbunga. Wajahnya kelihatan cantik dan bening.

“Oh, tidak mengapa!”
“Boleh saya duduk?” pintanya lagi.

Aku menjawab senang:
“Silakan!” Aku pun beralih ke tepi sedikit. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di atas pohon kayu yang tumbang. Bayu yang berhembus lembut terasa segar menyapu permukaan kulit.

“Bagaimana dengan kursus?” tanyanya sambil membetulkan rambutnya yang panjang hitam ikal mayang hingga mencecah paras bahu mengerbang sedikit apabila ditiup angin.

“Seronok,” balasku ringkas.

“Maksud, Azman?” Dia meminta penjelasan.

“Dapat berhubung dengan dunia luar secara lebih dekat lagi.” Aku berterus-terang. Memang begitu sifatku semenjak dari dahulu lagi. Tidak suka berpura-pura. Dalam hidup ini memerlukan seribu kejujuran. Barulah diberkati oleh Tuhan.

“Selama ini Azman merasakan diri terkongkong?”

“Dalam batas-batas yang tertentu.” Dia nampaknya berasa hairan.
“Mengapa keadaan ini boleh timbul?” soalnya pula. Kedua-dua bola matanya yang bulat dan bulu kening yang lentik turut terangkat.

“Demi menjadi manusia yang berakhlak sempurna.” Aku mengalihkan pandangan ke arah laut yang membiru. Dari jauh kelihatan sebuah kapal sedang belayar. DesSaripahsi yang dituju sudah pasti sebuah pelabuhan. Agak lama kemudian barulah aku kembali memalingkan muka.

“Ia mencerminkan peribadi seseorang.” Dia membetulkan tempat duduk. Dan semakin berminat untuk meneruskan perbualan.

“Saya setuju dengan teori Saripah itu.”

“Sejak bila Azman mula menulis?” dia bertanya lagi. Macam pemberita yang menemuramah seorang tokoh politik tanah air yang terkenal lagaknya.

“Semenjak dari bangku sekolah lagi,” aku menjawab serentak melunjurkan kedua-dua belah kaki.

“Teman yang selalu dibawa?” Saripah mengangkat muka. Akibatnya bola mata kami saling berlaga.
“Hubungan Tuhan dengan manusia.”

Persoalan ini nyata sekali benar-benar menarik minat Saripah.

“Benar kata-kata, Azman. Antara Tuhan dengan manusia memang sukar untuk dipisahkan.”

Tanpa berlengah lagi aku lalu mencelah:
“Tuhan maha pencipta ke atas umat manusia dan seluruh alam fana ini.”

“Tapi yang anehnya mengapa kita kadangkala alpa?”

“Dari segi apa?” soalku. Sayup-sayup kedengaran desiran ombak membelai pantai.

“Sebagai manusia bukankah kita dianggap kerdil di sisi-Nya.”

“Kita adalah hamba yang diwajibkan untuk mematuhi segala titah perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.” Aku menguatkan lagi hujah-hujah.

“Dewasa ini manusia mnampaknya semakin lalai.”
Aku amat mengaguminya. Dia begitu arif sekali dalam hal-hal agama. Mungkin kerana didikan keluarga yang sempurna. Alangkah bertuahnya kalau kau menjadi suri hidupku. Aku memasang angan-angan. Sudah! Jangan cepat menaruh perasaan. Nanti berat jadinya.

Aku kembali menyoroti persoalan yang terhenti buat sementara waktu.

“Memang tidak dapat dinafikan lagi kata-kata Saripah itu.”

“Dunia ini hanyalah persinggahan sementara sedangkan akhirat jualah yang kekal buat selama-lamanya,” Saripah menyambung.

Aku menarik nafas panjang.

“Kita sebagai manusia memang bersifat lemah.”

“Biarpun kita dikurniakan akal dan fikiran.” Matanya tunak. Dia lantas bersuara:
“Hingga tidak tahu menilai yang mana baik dan buruk,” dia cepat memotong.

“Itulah antara sebabnya mengapa Tuhan menjadikan syurga yang penuh dengan kenikmatan. Manakala neraka yang penuh dengan azab seksa yang pedih.”

“Mereka yang sentiasa menyeru akan jalan kebaikan akan dikurniakan ganjaran pahala yang berlebihan. Bagi mereka yang engkar dan menyeru akan jalan kejahatan berdosa di sisi Tuhan.” Saripah mempunyai isi-isi agama yang begitu padat sekali.

Suasana tambah dingin bila berteduh di bawah pohon yang rendang. Bak air terjun di pinggir kali rasanya. Bahang matahari yang panas terik hingga boleh mencairkan otak dapat ditepis.

Dia tambah ayu mengenakan baju kurung berwarna merah hati. Dari gaya pakaiannya aku telah pun dapat membaca. Tentu keluarganya orang berada.

“Agama menjadi pedoman hidup”.

Sekali lagi dia cepat memotong.

“Tapi yang paling menyedihkan ada golongan yang sanggup mempersendakan agama.”
Aku benar-benar tak mengerti. Sama ada dia ingin menagih kepastian. Ataupun sengaja mahu menduga aku dalam hal-hal agama. Reaksinya tetap tenang menanti jawapan dariku.

“Mereka dianggap golongan yang jahil terhadap agama.”

Saripah diam. Dia seolah-olah sedang berfikir sesuatu. Matanya tidak berkejip-kejip walau sedikit pun. Aku memandang ke langit yang biru. Setelah agak lama kemudian aku menoleh semula ke arahnya.

“Politik dan ekonomi?” Pertanyaan yang keluar dari mulut Saripah.

Aku mengangguk-anggukkan kepala.

“Ada!” sambil memeluk erat tubuh.

“Akibat gilakan kuasa manusia di atas muka bumi ini sanggup berperang.”

“Adakah ini menjadi penghalang kemajuan kepada manusia amnya?”

“Saripah nampaknya lebih arif dalam soal ini.”

“Kesannya juga terhadap alam sekitar.” Hebat! Dia sangat peka terhadap isu-isu semasam. Pemikirannya juga tinggi. Mungkin dia banyak membaca. Inilah faedah yang akan diperolehi.

“Apakah cita-cita utama ahli politik?” Dia berwajah ceria. Sinar matanya mencerminkan keanggunan. Kulitnya yang halus putih berseri macam kilauan mutiara di dasar lautan.

Aku terpegun sejenak. Hingga hampir terlupa untuk menyoroti kembali persoalan yang terhenti buat seketika.

“Keadilan dan kebenaran,” aku menjawab ringkas.

“Yang berjuang untuk membasmi kemiskinan?”

“Tumbuh macam cendawan lepas hujan.”

“Tapi ….” Dia terhenti seketika. Sehelai daun jatuh ke atas ribanya.

“Manusia mudah lupa pada janji.”
“Akibatnya pembangunan tidak tercapai,” aku tiba-tiba menyampuk.

“Kita sependapat.”

“Kata orang sehati sejiwa,” aku bergurau.

Aku dan Saripah gagal mengawal hilai tawa. Kedua-dua bola matanya kuperhatikan hampir tertutup. Begitu juga dengan kedua-dua belah bahunya turut terangkat. Kemudian dia bersuara:

“Keluarga Azman orang berada?”

Aku pantas menggeleng-gelengkan kepala.

“Tidak!”

“Habis?” Suara Saripah tenggelam dalam deruan ombak.

“Golongan yang tidak mempunyai kemewahan,” aku menjawab pendek.
“Macam mana pulak dengan Saripah?”

“Golongan yang boleh dikatakan mewah juga!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Oh, begitu!”

“Bagi saya kemewahan tidak bolah dipandang tinggi.” Dia mengutip semula kata-kata itu.

“Jadi?”

Aku termampan dengan dugaan Saripah itu. Macam sebuah perangkap. Ungkapan itu ternyata dalam sekali maksudnya. Dia berwajah selamba.

“Belum tentu dapat membahagiakan hidup.”

Aku menyokong pendapat itu.

“Yang lebih penting budi bahasa.”

Hebat gadis ini. Dia sangat peka dengan psikologi manusia. Dari mana dia belajar agaknya? Bisik hati kecilku.

“Dalam hidup ini perlu ada falsafah.”

Aku tidak sabar-sabar lagi lalu mencelah:
“Kita akan menjadi manusia yang bermoral tinggi.”

“Bagaimana dengan kerjaya Azman sebagai penyunting di syarikat penerbitan?” tanyanya lagi.

“Sungguh mencabar sekali!” balasku.

“Mencabar?” Dia menagih pengertian.

Itu baru menilai dari segi kulit sahaja. Isinya belum nampak lagi.

Aku tidak keberatan untuk menjawab:
“Untuk menghasilkan buku-buku yang dapat melahirkan generasi yang berintelektual tinggi.”

“Maksud Azman dengan karya-karya mereka?”

“Saya dapati amat bermutu tinggi dan orang yang berilmu pengetahuan memang layak dipandang mulia oleh semua manusia.” Saripah macam berpura-pura. Aku telah pun dapat mengagak. Mungkin dia ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang tugasku. Getus hati kecilku.

“Melalui karya-karya mereka jugalah saya belajar menulis cerpen.” Aku tidak segan-silu membuat pengakuan.

Saripah mengangguk-angguk diam. Mungkin dia sudah berasa berpuas hati. Aku toleh ke kiri kanan. Pohon-pohon cemara yang tumbuh di tepi tebing laut bergoyangan ditiup angin timur.

“Adakah Azman menulis berdasarkan pengalaman?”

“Benar sekali!”

“Pahit dan manis?”

“Ya, suka dan duka.”

“Dengan ini kita akan bertambah matang dalam melayari kehidupan.”
“Saripah juga meminati bidang penulisan?” aku menyoal. Sambil memandang tepat wajahnya.

“Entahlah, Azman. Saya benar-benar jatuh hati dengannya.”

“Jatuh hati?”

“Ya!” Dia mengalihkan mukanya ke arah laut yang tenang membiru.

“Pada gaya bahasanya.”

Dia berwajah selamba.

“Apa mesej yang ingin Azman bawa pada cerpen dan puisi?”

“Kesannya pada manusia.”

“Jadi bidang penulisan telah menjadi darah daging dalam hidup Azman.”

“Ya!”

“Kalau sehari tak menulis.”

“Resah gelisah. Seperti berada di ruang yang sepi,” akuiku lagi. Saripah diam.

Kedua-dua bola matanya tertumpu ke arah permukaan pasir yang halus tambah bersinar-sinar bila disinari cahaya matahari. Aku kembali mencapai sebatang ranting kayu mati.

Dan melakar bentuk bulatan macam bumi di atas permukaan pasir.

“Kesepian menjadikan kita bosan dalam hidup ini.” Maksud Saripah itu begitu dalam sekali.

Sebagai seorang penulis aku sudah biasa dengan ungkapan itu. Tanpa seorang yang bernama teman akan menjadikan kita seperti berada dalam penjara.

“Ada penawarnya, Saripah.”

“Menarik sekali.” Dia lantas mengangkat muka merenungku.

Kesepian juga menjadikan kita tak ubah seperti pemburu yang kehilangan sesuatu di tengah-tengah hutan belantara.

“Dengan membaca.”

“Satu pendapat yang menarik. Tapi tak semestinya ia boleh menjadi ubat pada kesepian.” Nampaknya dia belum begitu yakin dengan kata-kataku. Masih lagi berasa was-was untuk mempercayainya.

“Kenyataan,” ulangku lagi.

“Bahan bacaan yang harus dipilih?”

“Yang boleh memberikan ketenangan dan kedamaian pada jiwa.”

“Humor.”

“Boleh juga!” Aku menyetujui pendapat yang diutarakan oleh Saripah.

“Ia juga menyalurkan kritikan dan pengajaran.” Aku memegang kedua-dua hujung ranting kayu mati. Serta pantas mematahkannya kepada dua. Kemudian menekan-nekan permukaan pasir hingga meninggalkan kesan-kesan titik.

Saripah sekadar memerhatikan sahaja gelagatku itu.

“Ada setengah orang berpendapat bahan bacaan yang berunsur kritikan dan pengajaran tidak bermutu untuk dibaca.”

“Mereka sebenarnya tidak tahu menilai dari segi penyampaiannya.”

“Sama juga dengan penulisan kreatif.” Dia menyelami persoalan ini dalam-dalam.

“Saya sangat mengagumi, Azman.” Saripah berterus-terang.

Aku sebaliknya tidak menunjukkan sebarang riak yang bangga.

“Kenapa Saripah kata begitu?” Aku merendah diri. Sifat yang paling mulia dipandang Tuhan.

“Mempunyai bakat yang besar di bidang penulisan.”

Aku sama sekali tidak mengharapkan sebarang pujian. Apatah lagi tidak memburu nama sebaris dengan penulis-penulis tanah air yang lain.

“Semua ini adalah anugerah dari Tuhan untuk saya. Dan saya menerimanya dengan rasa kesyukuran yang tak terhingga.”

“Cinta?”

Sudah. Dia sudah bertukar topik pula. Dia nampaknya mahu menduga aku. Persoalan yang timbul di kotak fikiranku.

“Cinta sebenarnya adalah permainan hidup.”

Dalam diam-diam aku sudah terbayang gambar hati yang kena panah. Saripah memerhatikan gelagatku itu dengan penuh minat. Mungkin dia sedar. Dan menumpukan seluruh perhatian terhadapku.

“Azman pernah jatuh cinta?”

Aku berasa hairan. Dia tak henti-henti menyelidiki tentang diriku. Apakah dia telah jatuh hati dengan aku? Sudah! Jangan cepat menaruh perasaan. Ibarat kata orang takut bertepuk sebelah tangan pulak nanti. Aku jugak yang menanggung malu akhirnya.

“Pernah!” aku menjawab sambil mengangguk. Saripah tetap tenang menanti jawapan yang seterusnya. Kemudian aku menyambung kembali:
“Cinta monyet.” Aku rasa malu-malu.

“Maksud Azman zaman persekolahan?”

“Memang benar apa yang Saripah katakan itu!”

“Sekarang?” Dia tidak jemu-jemu menyoroti persoalan itu.

“Saya mahu menumpukan seluruh perhatian pada bidang kerjaya sebagai seorang penulis.”

“Tentang soal untuk berumahtangga?”

“Masih panjang lagi, Saripah.”

“Berapa umur Azman sekarang?”

“29 tahun. Saripah pula?” aku membalas pertanyaannya.

“28 tahun.”

“Nampaknya kita tak jauh berbeza daripada segi usia.”

“Ada!” Saripah menyanggah.

“Apa dia?” Aku berasa amat pelik sekali.

“Azman lelaki dan saya pula perempuan,” dia mengusik sambil mengukir senyuman yang manis dan berbunga.

Aku turut sama tersenyum dan membalas:
“Saripah berasal dari kota manakala saya bersal dari kampung.”

“Jadi?”

“Mana mungkin kita akan bersatu?”

Saripah lantas jadi terpinga-pinga apabila mendengar kata-kataku itu.

“Apa maksud sebenar, Azman? Saya benar-benar tak faham.”

“Cinta,” aku menjawab lancar tanpa suara yang tersekat-sekat lagi.

“Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan rentak zaman yang serba materialistik.”

Aku bagaikan tidak diundang lagi cepat menyampuk:
“Saripah bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa harta kekayaan adalah lebih penting daripada kejujuran di hati?”

“Tidak!” dia membantah.

“Persefahaman, kasih sayang dan saling bertolak ansur adalah kunci utama dalam kebahagiaan sebuah rumah tangga.”

Aku dan Saripah saling berpandangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience