BAB 10

Drama Completed 557

Desiran ombak sayup-sayup kedengaran menghempas pantai. Buih-buih yang memutih berapungan di gigian. Laut tetap membiru. Camar putih bebas berterbangan ke sana sini dan gemanya hampir memecahkan angkasa nan luas. Angin bertiup kencang. Pohon-pohon cemara bagai menari-nari inang. Cuaca amat cerah sekali dan bola matahari tetap meninggi di kaki langit. Jalur-jalur cahayanya amat jelas kelihatan sekali.

Pelayan yang memakai suit putih dan hitam lalu menghampiri Asri dan Zarah. Kemudian menghulurkan sekeping menu.

“Pesanan cik?” ujarnya dengan penuh mesra. Orangnya berbadan tegap. Berambut lurus dan berkulit cerah.

Asri dan Zarah sama-sama menyelak halaman menu dari satu muka ke satu muka. Asri lantas berkata:
“Kau nak makan apa, Zarah?” Dia lalu menggelengkan kepala.

“Tak! Aku cuma nak minum aje. Beri saya jus oren satu,” pintanya.

“Saya pun serupa!” Asri bersuara. Setelah selesai mencatat pesanan yang diminta pelayan lalu beredar dari situ sambil mengutip semula menu.

Zarah lalu mengangkat muka.

“Aku benar-benar tak mengerti, Asri. Untuk apa pertemuan ini?”

Asri membalasnya dengan senyuman berbunga dan menjawab:
“Untuk membangkitkan nostalgia silam.”

“Tak perlu!!” bantah Zarah keras.

“Tak perlu!!” ulang Asri pula. Zarah lantas menanggukkan kepala.

“Ya!”

Asri cepat mencelah:
“Kenapa? Bukankah saat itu amat indah sekali.” Asri mengutip semula kenangan silam.

“Tapi, kini semuanya telah tiada lagi. Ia telah musnah menjadi debu-debu yang berterbangan ditiup angin dan tak akan kembali lagi!” ujar Zarah. Dia tambah ayu bila mengenakan baju kurung yang berwarna merah hati serta bersulamkan bola-bola manik yang kuning keemasan. Bunyi sudu dan garpu berlaga amat jelas sekali. Pelanggan terus mengeluarkan suara labah.

Pelayan muncul semula membawa minuman. Dengan penuh tertib dia meletakkannya perlahan-lahan di atas meja. Asri lalu mengangkat mukanya.

“Silakan!” pelawa Asri pula.

“Terima kasih,” jawab Zarah.

Mereka sama-sama meneguk minuman. Terasa segar sekali bila air melepasi kerongkong umpama air terjun di pinggir kali. Di luar cuaca amat panas terik sekali. Sudah lama hujan tidak turun. Rumput-rumput yang menghijau kian kekeringan layu keperangan.

“Asri, kau harus terima hakikat bahawa kau kini telah dimiliki oleh Rosnani!”

“Tapi, aku amat menyayangimu, Zarah,” sanggah Asri pula. Zarah lantas terperanjat bila mendengar kata-kata yang terkeluar daripada mulut Asri.

“Kaulah satu dalam hidupku!”

Zarah tambah teracung.

“Asri, kau sedar tak apa yang kau cakapkan, ni??”

“Ini adalah satu kenyataan!” ucap Asri bertubi-tubi kali. Sambil terus memegang erat tangan Zarah. Seolah-olah sukar melepaskannya pergi dari sisi.

Zarah sebaliknya diam membisu seribu bahasa. Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang restoran. Kesegaran hingga terasa menampar permukaan kulit dengan begitu ketara sekali.

“Asri ...,” ucapnya perlahan bagai tak bermaya lagi. Kedua-dua biji mata mereka saling berlaga.

“Aku tak tergamak sama sekali hendak menghancurkan hati Rosnani.”
Asri lantas menarik nafas yang panjang. Kemudian lalu mengalihkan pandangannya ke arah manik-manik laut yang bercahaya. Demikianlah indahnya alam semesta ciptaan Tuhan Yang Esa. Zarah hanya memerhatikan saja gelagatnya itu. Dan Asri kembali semula merenung Zarah. Dia lalu bersuara:
“Aku bukannya tak sayang pada dia. Tapi ....” Dia terhenti enggan meneruskan bicara.

“Tapi apa??” Zarah semakin berminat untuk mengetahui lebih lanjut lagi. Sambil melekatkan straw minuman pada bibirnya yang merah bak delima itu. Asri diam.

“Kenapa, Asri??” desaknya lagi.

Akhirnya dia terpaksa mengalah jua.

“Bahtera rumah tangga kami tidak teguh. Dan dalam erti kata lain sering bergolak,” terang Asri. Kemudian perlahan-lahan dia tunduk ke bawah.

“Puncanya?” Asri mengangkat muka lemah seolah-olah tidak bermaya lagi.

“Kami tak ada persefahaman!” celah Asri pantas.

Zarah kembali semula menyimpulkan persoalan itu.

“Apakah tujuan yang sebenarnya kau kembali padaku?”

“Aku ingin bersama dengan kau semula!” jawab Asri ringkas.

Wajah Zarah yang ceria lantas berubah.

“Begitu mudah sekali kau mengambil keputusan itu.”

“Ya!” Asri menganggukkan kepalanya.

“Kenapa?”

“Bagaimana pula dengan Rosnani?” Zarah sama sekali tidak menyetujui kata-kata itu.

“Memang rasmi lelaki, suka mengambil kesempatan ke atas kelemahan kaum wanita,” balas Zarah pantas.

“Tapi ...,” Asri cuba mencelah.
“Kau masih lagi menafikannya??” bantah Zarah keras. Asri diam buat seketika. Entah mengapa! Dia tidak berdaya lagi untuk meneruskan kata-kata. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat.

“Maafkan aku, Asri! Aku tak dapat memenuhi impian kau. Demi menjaga hati Rosnani ....” Zarah bersuara lemah. Asri dirundung hampa. Mukanya berkerut.

“Sampai hati kau menghancurkan harapanku, Zarah!” Asri cepat memotong.

Zarah pantas menjawab:
“Asri, pengalaman yang silam amat pahit bak hempedu.” Zarah mengutip semula kisah-kisah itu.

“Aku akui kesilapan. Mungkin pada waktu itu aku terlalu memandang pada kecantikan. Bukannya pada kejujuran di hati.” Asri meluahkan rasa kesal.

Zarah kini benar-benar berada antara dua persimpangan. Dia terperangkap antara rindu dan harapan.

Zahirnya dia tidak sanggup melihat Asri hanyut di lautan kecewa. Tapi .... Amat sukar untuk dia meneruskannya. Oh, Tuhan sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai ujian!

“Zarah, tidakkah kau merasa simpati pada diriku??” rayu Asri lagi. Zarah terus dicengkam kebisuan. Sebaliknya dia lalu mengalihkan pandangan ke arah laut yang membiru. Laut ada kaitannya dengan hidup manusia, pasang surut silih berganti. Cintanya hanya mekar seketika. Kemudian lalu merunduk layu. Namun hatinya tetap redha menerima suratan takdir ini. Manusia hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Fikiran Zarah semakin dilambung dengan persoalan itu. Pemergian Asri dari sisi mengapungkan dirinya di lautan luka. Kerinduan sentiasa bergelora di jiwa. Terumbang-ambing bak bahtera yang karam dipukul gelombang. Hakikatnya dia amat menyintai Asri. Pintu hatinya telah tertutup rapat untuk menyintai lelaki lain. Tapi, kini ... Rosnani. Dia tidak mahu dituduh sebagai perampas kebahagiaan rumah tangga orang lain.

“Asri ....” Suara Zarah tenggelam dalam kesejukan alat penghawa dingin. Dia lalu mengangkat muka dan merenung wajah Asri dengan penuh dalam.
“Aku harap kau akan menjadi seorang suami yang bertanggungjawab!”

“Aku faham, Zarah!” jawab Asri pula sambil menganggukkan kepala.

“Ia memang dituntut dalam Islam ....” Dia terhenti di situ. Zarah cepat memotong:
“Aku harap kau akan kembali semula pada Rosnani. Dan membina hidup yang baru dengan penuh aman dan harmoni.” Zarah tak putus-putus memberi nasihat. Asri diam. Kemudian lalu menengadah ke siling. Dia kembali semula menyingkap kata-kata itu.

“Aku tak boleh, Zarah!” Ternyata dia enggan mengalah.

Zarah lantas terkesima.

Dan dia lalu bersuara:
“Dalam melayari bahtera penghidupan rumah tangga memang penuh dengan halangan dan rintangan yang harus ditempuhi. Dan kau sebagai nakhoda mesti cekap mengemudikannya.” Buuurrrr! Buuurrrr! Suara ombak yang tak jemu-jemu membelit pantai yang setia. Dari jauh kelihatan sebuah kapal sedang belayar menuju ke destinasinya iaitu ke pelabuhan.

Hidup ini adalah suatu perjuangan. Penyair pernah berkata, bila fajar menyingsing maka bermulah penghidupan yang baru. Segala suka dan duka akan menjadi pengalaman dalam mendewasakan kita. Dan kita akan terus meniti hidup ini hingga sampai ke perhentiannya.

Entah mengapa! Tubuh Asri terasa lemah-longlai tak bermaya lagi. Dia memang inginkan sebuah rumah tangga yang aman dan damai. Tapi yang nyata impiannya tak seindah yang diharapkannya, patah dan terapung-apung tanpa arah haluan. Oh, Tuhan akulah manusia yang lemah! Bisik hati kecilnya tak henti-henti.

“Kau tentu tahu bukan, pungguk sejak dulu lagi sentiasa merindukan bulan di malam hari,” ujar Asri.

“Jadi??”

“Demikianlah setianya cintaku padamu!”

Mata Zarah tajam memandang wajah Asri.

“Yang nyata kau, tidak boleh hidup bahagia dengan Rosnani ...,” Zarah bersuara perlahan.

“Nampak gayanya begitulah,” balas Asri pula. Zarah terus merangkapnya.

“Kau dah fikir perkara ini masak-masak??”.

“Aku rasa sudah!” yakin Asri lagi.

Tapi tidak dengan Zarah, dia terus membantah persoalan itu.

“Aku rasa kau silap, Asri!”

“Kenapa pulak?” Asri masih lagi berdegil dan hatinya keras seperti batu. Dia benar-benar tidak mengerti. Mengapa Zarah asyik mempertahankan Rosnani bukannya dia? Dia mengais-ngais persoalan itu di hati kecilnya.

“Perceraian harus dihindarkan!” jelas Zarah lagi.

“Memang!” Asri menganggukkan kepala sebagai tanda setuju.

“Tapi, kalau terpaksa kita terpaksa merelakan jua walaupun dengan hati yang berat,” balas Asri lagi.

“Sekuat mana pun lelaki akhirnya akan mengalah juga pada perempuan,” tegas Zarah pula. Asri lalu tunduk. Kata-kata itu, tiba-tiba saja membelenggu jiwanya. Perlahan-lahan dia mengangkat muka dan menggelengkan kepala.

“Aku rasa tidak! Sebenarnya aku masih lagi mencari sinar kebahagiaan dalam hidup ini.”

“Kau boleh menemui.”

“Tapi, bagaimana caranya?”

“Dengan Rosnani,” jawab Zarah ringkas. Asri lantas mengeluh.

“Ohhh ....” Dia bosan bila mendengar nama itu. Mengapa dia asyik dikaitkan? Bukannya kau, Zarah? Bisik hati kecilnya tak henti-henti.

Kesepian mencengkam tiba-tiba.

Alunan ombak setia mengulit pantai. Mengubah segala-galanya. Demikian jugalah dengan hati manusia.

Tapi, tidak dengan diri Zarah. Dia seorang wanita yang mepunyai pendirian yang tegas. Prinsip hidupnya ialah dia tidak mahu menjadi manusia yang hidup seperti lalang. Hatinya keras seperti batu pejal. Sukar untuk dilembutkan.

Sementara itu, Asri adalah seorang manusia yang telah lama merindukan kedamaian.

Hidupnya tak ubah seperti sebuah pelabuhan sepi. Yang merindukan kapal dan bahtera untuk berlabuh.

Alangkah bosannya hidup ini! Tanpa seorang insan yang bernama wanita di sisi. Dialah seorang lelaki yang malang. Terdampar dan terbiar, tak siapa yang peduli di kota kehidupan. Sampai bilakah dia harus begini? Merindukan belaian kasih sayang dan kemesraan dari seorang wanita. Rosnani gagal memenuhi cita-citanya.

Wajah Asri jelas disapa bungkam.

Asri secepat kilat mengukir senyuman yang penuh berbunga.
“Tapi ....” Zarah terhenti. Dia tak sempat menghabiskan kata-kata. Asri bagai tak sabar-sabar lagi pantas memotong:
“Tapi, apa??” Nyata dia gagal mengawal perasaan gembira. Apakah impiannya akan terlaksana? Perlahan-lahan Zarah mengangkat muka. Dia merenung tajam wajah Asri yang penuh dengan pengharapan itu.

“Aku hanya akan terima kau, tak lebih daripada seorang kawan,” jawabnya spontan. Wajahnya pantas berubah. Dari penuh keriangan lalu bertukar menjadi lesu. Sekali lagi perasaannya dibalut hampa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience