BAB 6

Drama Completed 557

Hari Ahad. Sudah menjadi kebiasaan aku bangun awal untuk menunaikan solat Subuh. Selepas menunaikan solat Subuh, aku lebih gemar menghabiskan masa dengan membaca Al-Quran. Kemudian aku akan keluar untuk bersarapan pagi di gerai yang terletak tidak jauh dari rumah.

Seperti biasa aku akan memesan nasi lemak dan teh tarik. Selepas bersarapan, aku singgah pula di kedai yang terletak bersebelahan dengan gerai itu untuk membeli suratkhabar. Sampai saja di ruang tamu rumah teres itu, aku pantas melabuhkan punggung di atas kerusi sofa yang lembut berwarna biru air laut itu. Aku kemudiannya lalu membuka helaian suratkhabar satu persatu untuk mengikuti perkembangan semasa yang sedang berlaku di dalam dan luar negeri.

“Kau dah sarapan, Azman?” soal Roslan. Orangnya berbadan kurus dan berkulit kuning langsat.

“Sudah,” jawabku sambil menatap suratkhabar.

“Kau dah sarapan ke belum?” soalku pula.
“Sudah!” angguknya.

“Zaimi mana?” soalku lagi bertubi-tubi kali.

“Dia dah balik kampung semalam.”

“Kau tak ke mana hari ni?” Kuangkatkan kepala merenung wajahnya.

“Tak!” gelengku.

“Aku rasa kau dah terlupa.” Roslan lalu tersengih.

“Kenapa?”

“Petang semalam Saripah ada telefon.”

“Apa katanya?”

“Dia suruh kau telefon balik,” ujarnya lagi.

Diam seketika.

“Ada hal mustahak ke?” Aku meminta penjelasan daripada Roslan.

“Rasanya begitulah,” balas Roslan pula.

Aku pantas bangun. Dan jariku ligat memutar nombor telefon Saripah. Tuuttttt! Tuuttttt! Nada deringan bertalu-talu kali. Dan gagang telefon pun diangkat.

“Hello!”

“Hello!” Kedengaran suara yang manja. Dan aku pasti itu adalah Saripah.

“Saya Azman. Apa khabar?”

“Baik. Semalam ke mana?”

“Ke rumah kawan di Ulu Klang. Apahalnya Saripah telefon saya?”

“Azman senang ke hari ni?”

“Kenapa?” soalku lagi.

“Saya nak jumpa Azman.”

“Di mana?”

“Di Taman Tasik Titiwangsa. Boleh?”

“Ada hal mustahak ke?” soalku.

“Tidak. Cuma nak berkongsi pengalaman. Meringankan yang berat dan meleraikan kekusutan,” balasnya.

“Baiklah. Tapi pukul berapa?”

“Sekarang juga.” Aku melihat jam di dinding.

“Pukul 10:00 pagi.”

“Ya!” kata Saripah lagi.

“Baiklah!” anggukku tanda setuju.

“Saya tunggu di sana nanti,” terang Saripah lagi.

“Baiklah!”

“OK, bye!”

“Bye!” Perlahan-lahan kuletakkan gagang telefon.

“Ada temu janji nampak,” ujar Roslan sambil mengukir senyuman sinis.

Mataku tunak memandang muka Roslan yang bulat seperti bujur sirih itu. Roslan lalu mengatur langkah dan perlahan-lahan melabuhkan punggung di atas kerusi sofa. Di luar cuaca sudah mula terasa panas walaupun hari masih pagi lagi. Sudah lama hujan tidak turun. Rumput di padang permainan yang terletak berhadapan dengan rumah itu telah bertukar warna menjadi keperangan dan kekeringan layu.

Bunyi kipas yang berputar ligat di ruang tamu rumah teres itu jelas kedengaran. Mataku liar memerhatikan lukisan pemandangan air terjun yang melekap di dinding yang dicat dengan warna kuning air itu. Aku dan Roslan duduk bertentangan. Radio terus memutarkan lagu-lagu berentak sentimental.

“Saripah nak jumpa aku hari ni di Taman Tasik Titiwangsa,” jelasku lagi. Roslan tak henti-henti mengukir senyuman kecil.

“Kau bercinta ke dengan dia?” Kata-kata itu terlafaz secara spontan dari mulutnya.

“Kau ni ada-ada aje. Aku dan dia berkawan saja. Tak lebih daripada itu,” aku pantas mencelah.

“Yalah. Mula-mula berkawan. Lepas tu ....”

“Sudahlah tu. Kau dengan Haryati macam mana?” aku cepat memotong.

Roslan terdiam sebentar. Entah mengapa. Aku tak pasti.

“Kami belum bersedia lagi mendirikan rumah tangga,” jawabnya selamba.

“Kenapa pulak? Jangan tunggu lama-lama.”

“Benar!”

“Habis?” ulangku lagi.

“Tungguhlah nanti,” dia menjawab.

“Bila? Tahun ni atau tahun depan?” soalku lagi sambil mengukir senyuman kecil.

“Biarlah kuasa Tuhan yang menentukan,” jawabnya dengan wajah yang tenang.

“Baguslah tu, Roslan. Lagipun dapatlah aku dan Zaimi menumpang makan nasi minyak,” usikku.

“Oh, itu mesti. Kau orang berdua mesti jadi pengapit aku nanti. Boleh?”

“Boleh. Tak ada masalah. Tapi ….”

“Tapi apa?”

“Naik lenguhlah tangan aku dan Zaimi asyik mengipas kau aje.” Aku dan Roslan lalu ketawa terbahak-bahak hingga hampir memecahkan ruang tamu rumah teres itu.
Benar kata orang. Perkahwinan adalah kongsi hidup waktu nikmat. Ia akan berlanjutan hingga ke akhir hayat. Tujuan Islam menggalakkan perkahwinan ialah untuk membendung maksiat dari terus berleluasa.

Aku tersentak tiba-tiba. Aku hampir terlupa. Saripah sedang menungguku. Jam di dinding tepat menunjukkan pukul 9:30 pagi. Janji harus ditepati. Aku bingkas bangun.

“Aku nak bersiap dulu. Terlambat pulak nanti.”

“Atau takut buah hati merajuk?” Roslan pantas menyampuk.

Aku merenung sahaja wajahnya tanpa berkata sepatah pun. Tapi aku sempat mengukir senyuman kecil. Aku pun bergegas ke bilik untuk bersiap.

“Segak betul kau hari ni, Azman,” tegur Roslan sebaik-baik sahaja aku keluar dari bilik.

“Kenapa? Salah ke?” balasku.

“Tak salah. Tapi orang yang sedang hangat bercinta selalunya indah. Betul tak?” Roslan tak henti-henti mengusikku.

Aku tertawa bila mendengarnya.

Begitu juga dengan Roslan hingga terangkat bahunya. Begitulah mesranya kami seperti adik-beradik. Susah senang sentiasa bersama menghadapinya. Jarang sekali kami bertengkar. Aku terus mengambil kasut kulit yang berwarna hitam di dalam almari.

“Kau tak ke mana hari ni?” soalku sambil menyarung kasut. Muka Roslan berkerut.

“Malaslah …. Aku nak berehat ….” Suaranya lemah bagaikan tak bermaya.

“Kau tak jumpa Haryati?” sambungku lagi.

“Kalau hari-hari berjumpa takut jemu pulak nanti,” ujarnya sambil mengangkat kepala.

“Dan bila jarang bertemu barulah terasa rindu. Betul tak?” celahku pantas.
“Hah, tahu pun!”

Aku lalu mendongakkan kepala ke atas. Cuaca amat panas terik sekali.

“Baiklah, Roslan. Aku pergi dulu!”

“Yalah!” dia sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Kuaturkan langkah yang perlahan menuju ke perhentian bas. Tak lama kemudian bas pun tiba.

Kalau mengitari bandar Kuala Lumpur kesimpulannya era pembangunan kian terasa. Setelah negara kita mencapai kemerdekaan kemajuan benar-benar dapat kita nikmati. Bangunan-bangunan tinggi mencakar langit. Antara yang menjadi kemegahan ialah Menara Kuala Lumpur dan KLCC. Aku amat bangga sekali menjadi anak yang merdeka. Namun kita tidak harus lupa pada tokoh-tokoh nasionalis yang telah berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air yang tercinta. Sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Pengorbanan mereka semua adalah amat besar nilainya. Kalau tidak sudah tentu penjajah akan terus bertapak di negara ini. Aku juga bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana negara ini berada dalam keadaan yang aman dan harmoni. Semua kaum bersatu padu menikmati kekayaan bumi.

Tidak seperti sesetengah negara-negara lain di dunia yang dihantui oleh peperangan dan kacau bilau sehingga mengorbankan ramai nyawa termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa. Oh, Tuhan! Sampai bilakah kekejaman akan berakhir? Doa kecilku. Kerana merebut kuasa manusia sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Di manakah letaknya konsep kemanusiaan? Persoalan ini tak putus-putus membelenggu benakku. Fikiranku bagaikan tidak mahu berhenti berbicara dalam mencari jawapan itu.

Sedar-sedar aku telah pun sampai ke desSaripahsi yang dituju. Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 10:00 pagi.

Demikianlah cepatnya masa berlalu. Tanpa kita sedari melewati atau meninggalkan kita. Dan yang nyata sekali masa itu adalah emas yang paling berharga. Betapa ruginya pada mereka yang tidak menghargai masa. Dari jauh kelihatan Nabilah sedang menungguku. Dia tambah ayu bila mengenakan baju kurung yang berwarna merah hati.

“Dah lama menunggu?” tegurku sebaik-baik sahaja menghampirinya.

Bahu kami saling bersentuhan. Matanya tunak merenungku. Kau memang cantik, Saripah! Bisik hati kecilku. Wajahnya tetap ceria. Rambutnya mengerbang sedikit ditiup angin tetapi segera dibetulkannya.

“Tak jugak,” jawabnya pendek.

“Betul ke ni?” aku cepat memintas.

“Kenapa?” balasnya sambil mengangkat kepala.

“Tak percaya?” sambungnya lagi.

“Bukan!” aku menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Takut Saripah cuba menyembunyikan kemarahan kerana saya terlambat.”

Saripah lantas mengukir senyuman kecil hingga memaparkan barisan giginya yang putih berseri itu. Bibirnya merah bak delima. Pendek kata, hati mana yang tak tertawan.

“Sebenarnya saya dah lama sampai. Jadi ….” Aku tidak sempat menghabiskan percakapan kerana Saripah pantas mencelah.

“Saya faham!” angguknya seketika.

“Kesesakan lalulintas sudah menjadi rutin kehidupan orang di kota.”

Aku tidak menjawab sebaliknya membisu. Mataku tajam memandang tasik yang membiru. Satu anugerah Tuhan yang percuma untuk makhluknya. Kelahiran Saripah juga adalah anugerah Tuhan untukku. Aku rasa bersyukur! Doaku.

“Sudahlah, tu. Mari kita duduk. Tentu Saripah penat berdiri,” kataku sambil menunjukkan ke arah salah sebuah bangku yang terletak di bawah pohon yang rendang.

“Baiklah!” dia mengangguk tanpa membantah.

Kami sama-sama melabuhkan punggung di atas bangku yang diperbuat daripada kayu itu. Pancaran matahari tak terasa terik kerana dilindungi oleh pohon yang rendang itu. Kuamati wajahnya dalam-dalam. Baru tiga bulan aku berkenalan dengannya. Dia seorang gadis yang baik. Lemah-lembut, berbudi-bahasa dan bersopan-santun. Alangkah beruntungnya kalau Saripah dapat menjadi suri hidupku. Sudah! Jangan mengelamun. Dia orang yang berada sedangkan aku tak punya apa. Dari kecil hingga dewasa aku dibesarkan dengan kemiskinan dan tak pernah mengenal erti kemewahan. Lamunanku yang jauh melayang itu terhenti seketika. Bak rancangan yang tergendala di kaca televisyen.

“Selama setahun Azman hidup di kota macam mana rasanya?” soal Saripah.

“Penuh dengan perit dan getir. Maklumlah kota yang besar penuh dengan cabaran dan dugaan. Dari sinilah ia mengajar kita supaya menjadi kuat dan tabah,” jawabku tenang.

“Kalau tidak?” Saripah mengangkat muka.

“Yang cepat akan terus berkuasa di atas. Dan yang lemah akan terus tertindas di bawah.” Tetapi aku tidak pernah lupa pada desa yang permai tempat aku dilahirkan. Banjaran gunung yang menghijau, sawah padi yang terbentang luas, ketenangan air sungai serta lambaian pohon nyiur sentiasa mengajak aku pulang.

“Adakah semua penghuni di kota kosmopolitan ini hidup di bawah hipokrit?” Kugelengkan kepala sebagai tanda tidak bersetuju sama sekali dengan pendapat itu. Saripah nampaknya teracung juga.

“Tidak semua begitu, Saripah. Hanya segelintir sahaja. Tapi kita tak boleh bulat-bulat salahkan mereka. Ini timbul kerana desakan hidup. Akhirnya yang kurang berada terpaksa menyamar seperti orang kaya,” tegasku. Dia diam sebentar. Mungkin sedang mencari kesimpulan tentang apa yang kuutarakan. Sekali-sekala terasa angin berhembus perlahan menyapu permukaan kulit.

“Sebagai manusia tentu Azman mempunyai cita-cita, bukan?” Kedua-dua bola mataku tepat memandang kulitnya yang putih berseri itu bak kilauan mutiara di dasar lautan. Kutarik nafas yang panjang.

“Saya mahu berjaya dalam hidup. Dan berbakti kepada sesama insan dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan balasan.” Saripah lalu mengangguk. Di kaki langit kelihatan tompok awan biru dan putih.

Dan Taman Tasik Titiwangsa semakin ramai menyambut kedatangan pengunjungnya terutama yang sudah berkeluarga. Maklumlah hari minggu adalah kesempatan yang terbaik untuk membawa keluarga bersiar-siar. Serta melapangkan otak setelah penat seminggu suntuk bekerja.

Begitu juga dengan pasangan yang sedang bercinta inilah tempat yang paling sesuai untuk melepaskan rindu dendam yang membara. Tetapi dalam pada itu mereka harus beringat jangan sampai melanggar tatasusila Islam. Alamatnya kena cekuplah dek pencegah maksiat. Saban hari akhbar tempatan menyiarkan peningkatan para remaja yang ditangkap akibat perbuatan maksiat. Dalam hal ini di mana silapnya? Pergaulan di kalangan mereka semua ada batasnya. Peranan ibu bapa dalam didikan agama amat penting.

“Hidup Saripah tentu dipenuhi dengan kesenangan, bukan?” Mukanya berkerut. Matanya tidak berkelip-kelip merenungku. Getaran kalbuku bertambah kencang seperti pukulan tong drum. Inikah yang dinamakan cinta pandang pertama? Bisikku dalam diam. Tapi cinta itu tak selalunya indah. Adakalanya perit bagai api yang membakar diri.

“Jangan ingat walaupun harta kita bertimbun hati ini akan senang,” Nabilah lalu menjawab.

“Kenapa pulak?” Aku pura-pura tak mengerti sambil melunjurkan kaki lurus dan rapat.

“Kita akan sentiasa diburu oleh ketakutan. Tambahan pula rezeki yang kita perolehi dengan cara yang tidak diredhai oleh Tuhan.” Bijak juga Saripah ni. Pengetahuan agamanya juga dalam. Kalau beginilah sifatnya tentu sejak dari kecil lagi keluarganya telah menerapkan didikan agama dengan penuh sempurna. Sebagaimana yang kita ketahui agama amat penting dalam panduan hidup manusia. Tanpanya manusia akan teraba-raba tak tentu arah seperti orang jahil.

“Itu bagi mereka yang membina segala kekayaan bermula daripada atas,” balasku.

“Maksud Azman mereka tidak mengenal susah payah?”

“Ya!” aku membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Mereka yang bersusah payah membina empayar kekayaan akan sedar diri mereka. Dan mengakui bahawa diri mereka adalah lemah. Ini menjadikan mereka tidak lupa daratan,” sambungku lagi.

Selalunya orang yang kaya amat berpengaruh dengan wang mereka boleh membeli segala-galanya. Tetapi lain halnya pula pada si miskin tanpa wang hidup mereka akan sengsara. Yang paling menyedihkan timbul jurang perbezaan antara si kaya dengan si miskin. Si kaya akan memerintah si miskin yang menjadi hamba. Si kaya tarafnya amat tinggi dan si miskin tidak layak bercampur gaul dengannya.

Aku lalu tunduk menginsafi kekerdilan diri ini. Perlahan-lahan kuangkat kepala merenung wajah Nabilah yang berada di sebelahku. Kita sebenarnya terlupa bahawa Tuhan menjadikan semua makhluknya di muka bumi ini sama rata tanpa mengira kaya atau miskin. Yang membezakan adalah ketakwaan pada-Nya.

“Mengapa mereka yang telah berjaya mengecap nikmat kekayaan menjadi tamak?” tanya Saripah pula dengan penuh minat.

“Mereka sebenarnya dipandu oleh nafsu dan ingin terus berkuasa di atas tanpa memikirkan bahawa hidup ini tak ubah seperti putaran roda. Adakalanya di atas dan adakalanya di bawah. Oleh itu mereka sanggup berbuat apa sahaja walaupun dengan jalan yang salah demi mencapai cita-cita tersebut,” aku menjawab dengan panjang lebar.

Saripah dibelenggu diam seketika. Mungkin bersetuju dengan jawapanku. Kerana kata orang diam selalunya bererti setuju. Berbanding dengan angguk belum tentu lagi. Tapi bagiku lebih baik diam agar berisi daripada berisi tapi tak berhasil.

Hidup ini harus berprinsip. Jangan jadi lalang yang ditiup angin tak tentu arah. Akibatnya mudahlah bagi orang lain mengambil kesempatan untuk menindas kita.

“Saya ingin merasa hidup dalam kesusahan,” dia mencelah tiba-tiba.
Aku agak terkejut juga bila mendengarnya.

“Kenapa?”

“Adakalanya saya dibelit kebosanan dengan kemewahan,” ucapnya lembut sambil matanya tajam menjeling ke arah tasik yang membiru.

“Hairan! Orang lain berdoa siang malam dan bekerja keras agar dikurniakan kekayaan yang melimpah-ruah,” aku menyampuk pula. Nabilah kembali semula merenungku. Aku bagaikan tidak sabar lagi untuk mengetahui jawapan itu.

“Saya ingin berdikari, Azman. Ditakdirkan kedua-dua orang tua saya sudah tiada lagi dapatlah saya mengatur hidup dengan sendiri tanpa bantuan orang lain.”

“Jadi selama ini mereka berdua mengongkong hidup Saripah?” soalku bertubi-tubi kali.

“Tidak juga!” geleng.

“Asalkan tahu menjaga nama baik keluarga.”

“Oh, begitu!”

Tentu ayah dan ibunya mahukan seorang lelaki yang baik dan kuat beribadat untuk menjadi menantu mereka. Harta kekayaan dan pangkat? Itu aku tak pasti. Aku belum lagi mengenali keluarganya. Manusia zahirnya rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Itu sudah menjadi adat manusia yang hidup dalam dunia materialistik. Terlalu memandang pada kebendaan. Ciri-ciri budi pekerti kian diketepikan. Adaketikanya ibu bapa amat tegas dalam soal jodoh anak-anak mereka. Bukannya apa. Itu tandanya mereka amat sayang pada anak. Mereka tidak mahu anak-anak mereka gagal menemui sinar kebahagiaan.

Ini zaman komputer majoriti anak-anak lebih gemar berkahwin atas dasar suka sama suka. Bagiku dalam soal jodoh biarlah Tuhan sahaja yang menentukan. Jodoh dan maut adalah di tangan-Nya. Kalau boleh biarlah isteriku seorang yang solehah.

“Rosli pernah bercinta?” soal Saripah lagi.

“Setakat ni belum pernah. Berkawan tu ada la,” balasku.

“Azman nampaknya takut bermain dengan api cinta?” Dia mengukir senyuman mesra. Tapi penuh dengan makna. Mulutku terkunci rapat buat seketika. Dan kuperhatikan Saripah tetap tidak berputus asa untuk mendapat reaksi jawapan itu.

“Cinta pertama sukar dilupakan. Dan bila terputus di tengah jalan ia amat memedihkan bak tikaman sembilu yang tajam.”

Saripah pantas dilanda kebisuan. Pernahkah dia mengalami kegagalan dalam bercinta? Malu rasanya untukku meraih kepastian darinya. Nampak benar aku yang perasan. Takut bertepuk sebelah tangan pulak nanti. Aku lalu memecah kesenyapan yang melanda.

“Saripah, maafkan saya kalau bertanya?” Dia pantas memalingkan muka.

“Siapa yang bakal menjadi calon suami Saripah?”

“Saya tidak memandang pada pangkat dan rupa. Yang penting keikhlasan di hati,” jawabnya lembut. Dan hati kecilku mula berbisik. Nabilah kaulah seorang gadis yang paling istimewa dalam hidup ini!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience