BAB 15

Drama Completed 557

Buih-buih memutih di gigian pantai. Sayup-sayup kedengaran suara sang ombak yang gagah perkasa. Laut tetap membiru. Bola mentari tepat di atas darjah. Jalur-jalur cahaya yang lurus menyinari butiran pasir yang halus berkilauan seperti sutera pagi. Camar putih bebas berterbangan ke sana sini di angkasa nan luas. Gema suaranya memecahkan keheningan suasana. Pohon-pohon kelapa yang tumbuh di sepanjang pantai bagai menyanyi-nyanyi ditiup angin. Pelepahnya melambai-lambai macam mengajak perantau yang tinggal di kota agar pulang.

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Bayu berpuput selembut sutera. Pulau Saga. Menyambut kepulangan Zainal. Di sini dia dilahirkan dan dibesarkan. Penuh dengan keriangan dan kedamaian di zaman kanak-kanak.

“Aku nak berhenti, Azman.”

“Kenapa pulak?” Aku agak terperanjat. Zainal menoleh ke arah meja sebelah yang kosong.

Kemudian dia lalu menjawab:
“Aku nak balik kampung.”

“Nak kerja apa?” Aku menghabiskan sisa-sisa air teh. Juga menyental kuih karipap.

“Ayah aku dah tua selalu sakit-sakit. Tak berdaya lagi nak turun ke laut.”

“Jadi kau nak ambil tempat dia,” celahku pantas. Macam sang helang menyambar mangsanya.

“Kalau tidak siapa lagi.” Zainal mengangkat muka.

“Bagaimana dengan pangkat kau?” Pertanyaan yang keluar daripada mulutku.

“Bergantung pada laut juga dapat berbakti pada agama, bangsa dan negara,” tambah Zainal.

“Kau serius, Zainal.”

“Kau tahu bukan prinsip hidup aku tidak suka bermain-main. Setiap pekerjaan mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh.” Pelanggan yang lain mengeluarkan suara labah. Tingkah sudu dan garpu begitu kuat sekali. Zainal memandang cawan yang kosong. Kain yang berwarna merah hati meliputi permukaan meja yang berbentuk empat segi.

“Roziah tahu?” soalku pula sambil membetulkan tempat duduk.

“Belum!” jawabnya pendek.

“Kau tentu arif dengan perangainya.”

“Terserahlah pada dia sama ada mahu meneruskan hubungan ataupun tidak.” Dia hampir-hampir mengalah.

“Kau mesti ingat, Zainal. Datuk Baharuddin memerlukan khidmat kau.” Aku mengutip semula kata-kata itu.

“Aku memang sayangkan Syarikat Ampangan Holdings Sdn. Bhd. Tapi aku kasihan melihat nasib keluarga dan nelayan-nelayan di kampung.”

“Kemiskinan,” aku menyampuk tiba-tiba. Seperti seorang ahli nujum. Dia telah dapat membaca segala yang berlaku.

“Beban yang mereka pikul sama seperti seketul batu besar dan pejal.” Lagak Zainal macam seorang peguambela di dalam mahkamah mempertahankan hujah-hujahnya dalam perbicaraan kes pembunuhan. Untuk membuktikan yang tertuduh tidak bersalah.

Aku diam. Aku benar-benar mengerti kini. Aku turut menghulurkan simpati. Inilah rintihan yang perlu didengar oleh semua orang. Terutama sekali golongan atasan.

Mereka sanggup bersabung nyawa. Musim hujan dan laut bergelora. Demi mencari rezeki dan menghidupkan api di dapur. Perut yang kosong harus diisi. Tapi miskin dari segi kebendaan.

Hidup mereka hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Datuk Baharuddin macam orang yang hilang arah haluan apabila membaca memo yang ditulis oleh Zainal. Dia menatap perkataan yang tercatat di atasnya puas-puas. Dia bagai bermimpi di siang hari. Sukar mempercayai. Dia sedang berpijak di bumi nyata. Kedua-dua biji matanya tunak memandang Zainal.

Dia menggeleng-gelengkan kepala. Tubuhnya lalu disandarkan pada kerusi eksklusif. Berpusing sedikit ke kiri kanan.

“Mengapa ini semua harus berlaku?”

Suaranya yang agak garau sedikit tenggelam dalam deruan mesin penghawa dingin.

Hawanya yang berpeluh termampan di kaca jendela. Bangunan setinggi 13 tingkat yang terletak di Jalan Raja Alang. Kesejukannya terasa menampar permukaan kulit.

Zainal bersuara:
“Datuk keputusan saya tetap muktamad.”

“Awak tak puas hati dengan gaji,” potong Datuk Baharuddin.

“Segalanya mencukupi.”

“Tentang pentadbiran syarikat?”
“Semuanya berjalan lancar dan tak pernah mendatangkan masalah kepada saya.”

“Habis?” tanyanya bertubi-tubi kali. Umpama muntahan peluru daripada muncung mesin-gun.

“Demi sebuah pengorbanan.”

“Untuk siapa?”

“Untuk orang tua saya.”

Datuk Baharuddin amat berat untuk melepaskan dia pergi.

“Banyak lagi projek yang belum terlaksana.” Dia memerhatikan memo yang masih lagi terletak di sisi meja.

“Saya amat sayangkan syarikat ini tapi ....” Terhenti.

“Tapi apa?” Datuk Baharuddin tak sabar-sabar lagi mencelah.

Zainal memandang wajah yang separuh umur itu. Dan berkata:
“Membela nasib mereka yang terbiar.”
Datuk Baharuddin sebaliknya merengus sendirian.

Jelas sekali dia dibalut rasa kecewa. Seperti bala tentera yang kecundang di medan perang.

Namun begitu dia tidak boleh memaksa. Zainal sudah dewasa. Berfikiran matang dalam melayari hidup. Baik buruk terletak di tangannya. Bukan macam kanak-kanak.

Datuk Baharuddin sedar ketiadaan Zainal merupakan satu kehilangan besar kepada syarikat. Dia terpaksa akur dengan hakikat itu. Dia mengangguk tanda mengalah.

“Baiklah! Tapi saya harap awak akan kembali semula ke syarikat ini satu hari nanti.”

Zainal bangun dan berjabat tangan.

“Saya minta maaf sekiranya ada terkasar bahasa dan tingkah laku yang tidak menyenangkan Datuk. Selama saya berkhidmat di sini.”

“Saya juga begitu, Zainal.”

Dia mengatur langkah lima tapak ke arah pintu. Tangan kanannya pantas menyelak daun pintu yang antik itu. Datuk Baharuddin memerhatikan dengan penuh minat. Bayangannya pun hilang setelah pintu terkatup semula.

Maka tamatlah riwayat Zainal dengan Syarikat Ampangan Holdings Sdn. Bhd.

Sementara itu Datuk Baharuddin merenung dinding yang konkrit serta pejal bercat putih. Tiada seorang pun pengganti yang berwibawa seperti Zainal. Dia telah banyak berjasa dalam membangunkan syarikat. Darus sememangnya layak mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zainal. Tetapi dia masih kekurangan pengalaman. Itu sahaja. Namun begitu kalau dididik dan dipupuk dengan sempurna sudah pasti impian itu terlaksana.

Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 12:00 tengah hari.

Dia teringat appointment makan tengah hari bersama dengan Mr. Chan di Hotel Inn. Seorang ahli perniagaan yang terkenal dari Hong Kong. Datuk Baharuddin sentiasa sibuk. Dari awal pagi hingga ke larut malam. Dalam soal business mesti cepat bertindak agar tidak tercicir.

Kakitangan yang lain terpinga-pinga dengan tindakan Zainal. Ada yang menuduhnya tidak waras dan gila. Perkara ini amat disenangi oleh Karim. Dia amat cemburu dan irihati dengan Zainal.

“Biarkan dia pergi,” katanya dengan senang hati.

“Kenapa kau cakap begitu?” soal Yazid pula.

“Aku sejak dari dulu lagi memang tak sukakan dia!” Dia macam melepaskan protes yang telah lama bersarang di dadanya.

“Semua projek dia nak kuasai.” Dia terus melepaskan rasa tidak puashati.

“Dia berkaliber dalam soal tender,” sokong Yazid lagi. Sambil menggulung pelan dan meletakkannya di atas mulut rak yang terletak di sudut meja.

“Datuk pun satu.” Perasaan Karim bercampur geram dengan marah.

“Hah, kenapa pulak dengan dia?”

“Percaya sangat dengan cakap Zainal.”

“Dia seorang yang jujur dan amanah. Itulah sebabnya dia disayangi oleh Datuk.” Karim masih lagi tercegat di sisi meja.

“Kau ingat tak baki duit RM 800,000 projek bangunan kerajaan di Jalan Duta.” Dia mengutip semula skandal yang pernah berlaku dalam syarikat.

“Ya!” angguk Yazid.

“Sampai sekarang hilang entah ke mana.”

“Kalau kau nak tahu dia yang selewengkan.”

“Tak baik kau membuat tuduhan secara melulu tanpa bukti.”

“Jadi, kau tak percaya dengan cakap aku?” soal Karim.

“Sebab aku tak ada bukti,” jawab Yazid.

“Tapi ini adalah kenyataan!” Karim sebaliknya terus menyanggah.

“Kita harus siasat dulu sebelum mengambil sesuatu tindakan.”

Gaya Yazid tak ubah seperti seorang pegawai polis di cawangan jenayah.

Karim merasa bosan dengan gelagat Yazid yang asyik melindungi Zainal. Tanpa menyatakan sokongan yang padu. Kemudian dia bersuara:
“Ah, sudahlah! Kau dengan Datuk sama saja!” Mukanya merah macam udang kena bakar. Marah dan kecewa. Cita-citanya untuk melihat Zainal digulingkan dari syarikat tidak tercapai.

Lantas dibantah oleh Yazid.

“Kau ni macam tak puas hati aje aku tengok.”

“Memang!” dia menjawab dengan mengangguk.

“Kalau begitu lebih baik kau lepaskan saja pada Datuk. Bukannya aku yang menjadi sasaran!” Dia bingkas bangun serta beredar dari situ. Karim terpinga-pinga. Macam ayam berak kapur.

Roziah merengus.
“Zainal setakat ini sahaja hubungan kita.” Mata Zainal tidak berkelip-kelip memandang wajah Roziah yang sungguh jelita. Laksana bulan yang jatuh ke riba.

Bunga-bunga teratai yang tumbuh di tepi kolam meliuk-liuk ke kiri kanan bila ditiup angin.

Zainal menarik nafas yang panjang dan bersuara lemah:
“Aku tak salahkan kau, Roziah ....”

“Kau lebih pentingkan ikan dan laut daripada aku.”

“Kedua-duanya penting dalam hidup aku, Roziah!”

“Tapi soalnya kau menjadi seorang nelayan.”

“Aku faham, Roziah. Kehidupan sebagai nelayan lebih mengenal kesusahan daripada kemewahan. Mungkin aku tidak dapat membahagiakan kau. Bukan begitu?” Zainal pantas mencelah. Jemu semakin membelit Roziah.

“Sudahlah, Zainal!” Dia bingkas bangun daripada kerusi kayu di bawah pohon yang rendang. Daun-daun hijau berguguran disapu angin timur.

“Anggaplah aku tidak pernah wujud dalam hidup kau!” Dia pantas meninggalkan Zainal.

Namun Zainal tetap menyedari.

Antara dia dengan Roziah mempunyai jurang yang sangat dalam. Bagai langit dengan bumi. Keluarganya orang yang berada. Ayahnya seorang hartawan yang terkenal bergelar Tan Sri. Juga bergiat cergas di bidang politik. Wang bertimbun-timbun. Harta kekayaan melimpah ruah macam air sungai yang mengalir deras. Mana mungkin cinta mereka akan bersatu? Bukankah itu namanya mencemarkan nama baik keluarga Roziah. Anak Tan Sri berkahwin dengan seorang nelayan yang kaya dengan angan-angan tapi miskin dari segi kebendaan.

Kalau perpisahan yang dipinta Zainal tetap merelakannya. Biarpun dengan hati yang amat berat.

Namun Zainal tetap redha. Itu semua sudah suratan takdir. Bukan kehendak dia ataupun Roziah. Manusia hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Angsa-angsa mengeluarkan kepala ke atas. Bulu-bulu yang putih dan hitam terapung-apung di atas permukaan kolam yang biru. Riuh-rendah kedengaran suara.

Panas begitu memijar sekali.

Jalur-jalur cahaya yang lurus menyinari celah-celah daun yang hijau. Tambah dingin bak air terjun di pinggir kali bila berteduh di bawah pohon yang rendang. Daun-daun kering berterbangan ditiup angin petang. Rumput-rumput subur menghijau. Bunga-bunga mekar dan mengharum membelah suasana.

Keesokan harinya, dia pun meninggalkan kota.

Tiada lagi kelihatan bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit. Hidup penuh cabaran. Manusia berlumba-lumba mengejar pembangunan. Kesesakan lalu-lintas sudah menjadi rutin kehidupan. Hingga memusatkan fikiran. Asap dan karbon monoksida mencemarkan alam sekitar serta penyakit. Bosan. Dia ingin kembali semula ke tempat asal. Penuh dengan kemasyhuran dan kenangan silam yang indah.

Sekumpulan burung nuri bebas berterbangan ke sana sini. Kebebasan. Sering diimpikan oleh setiap manusia. Bukannya belenggu penindasan. Yang menyekat pergerakan manusia seperti berada di ruang yang sempit.

Anak-anak kecil berlari-lari keriangan di atas bahu jalan yang kecil berturapkan batu marmar. Indahnya dunia mereka yang lebih agresif dengan permainan.

Zainal tersenyum kecil di hati.

Bola mata Zainal asyik memerhatikan gelagat mereka. Seolah-olah ada daya tarikan. Dia dibesarkan dengan laut, sampan dan pukat. Ombak adalah teman sepermainan. Bersama teman-teman sebaya mengutip kepah di persisiran pantai. Kemudian dijual untuk menampung perbelanjaan sekolah. Atas kesedaran inilah dia belajar bersungguh-sungguh hingga dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Setiap kali cuti semesta dia pasti turun ke laut. Bagi menampung perbelanjaan di pusat pengajian. Dia mahu meringankan beban yang ditanggung oleh ayahnya.

Keluarganya besar. Lapan mulut perlu disuapkan oleh ayahnya. Ibunya pula mengambil upah menganyam dan menjual tikar mengkuang. Sebagai anak sulung dia mempunyai tanggungjawab yang besar serta menjadi contoh kejayaan untuk membakar semangat adik-beradik yang lain. Dan dia telah berjaya membuktikannya. Orang miskin juga boleh masuk universiti.

Riak-riak kolam yang tenang seakan-akan memberi kekuatan pada dirinya.

Nasib mereka harus dibela. Suara-suara yang meminta perhatian. Nelayan-nelayan di Pulau Saga masih lagi kekurangan teknologi moden dalam penangkapan ikan. Dia rela mengorbankan gaji yang tinggi. Golongan intelektual adalah teras utama untuk membantu meringankan penderitaan golongan bawahan.

“Kenapa kau berhenti kerja, Zainal?” soal ayahnya.

Dia merenung wajah tua itu lama-lama. Rambutnya yang dulu hitam kini dipenuhi oleh uban yang memutih. Garis-garis kedut melapisi permukaan kulitnya yang hitam manis. Ayahnya batuk-batuk kecil.

Zainal menjawab:
“Dah tiba masanya, ayah.”

“Masa apa?”

Ayahnya benar-benar tidak mengerti. Dia menghisap rokok daun. Berkepul-kepul asap yang memutih memenuhi ruang udara dan mengipas-ngipas badannya yang kurus seperti lidi dengan kain sepintal yang agak lusuh warnanya. Zainal kembali semula bersuara:
“Untuk membantu ayah turun ke laut,” balasnya lagi. Setelah puas memandang laut yang membiru perlahan-lahan dia mengatur langkah lima tapak menghampiri ayahnya dan melabuhkan punggung di atas tikar mengkuang yang sudah usang.

“Kau berkelulusan tinggi.” Ayahnya tak putus-putus menyanggah.

“Itu tidak menjadi ukuran, ayah!” dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Lagipun ayah dah tua.”

“Ayah masih lagi bertenaga, Zainal.”

“Tapi ayah tak sihat. Selalu sahaja sakit-sakit,” ulang Zainal.

“Betul kata Zainal tu, bang,” celah ibunya tiba-tiba dari arah dapur. Sambil membawa dua cawan air kopi ‘o’ yang hitam pekat dan sepinggan ubi rebus yang masih panas lagi. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Tanpa berlengah lagi Zainal dan ayahnya lantas meneguk minuman yang panas itu. Ubi rebus juga segera melepasi kerongkong Zainal.

“Syarikat lebih memerlukan tenaga kau, Zainal.” Ayahnya meletakkan cawan ke bawah semula. Zainal terus menghabiskan sisa-sisa air kopi. Sayup-sayup kedengaran suara ombak membelah pantai. Pohon-pohon nyiur ke tengah ke tepi dibelai angin timur. Buah-buah kelapa tua yang gugur bergelimpangan merata-rata di atas permukaan pasir yang lembut.

“Di sini lebih penting, ayah.”

Ibunya sekadar menjadi pemerhati sahaja enggan menyampuk walau sepatah perkataan pun. Kemudian dia bingkas bangun dan beralih tempat ke tengah anjung untuk meneruskan kerja-kerja menganyam tikar mengkuang. Ayahnya pantas bangun dan mencapai jala yang tersangkut di dinding. Untuk meneliti kalau-kalau ada jaring yang koyak perlu dijahit. Nampaknya masih elok digunakan.

“Kau tidak menyesal?” soal ayahnya tak henti-henti. Sambil sempat mencuri pandang pada tubuh Zainal yang tegap sasa. Berambut lurus serta berkulit kuning langsat.

“Tidak!” dia menggeleng-gelengkan kepala.

Ayahnya mengatur langkah lima tapak ke arah anak tangga. Dia berhenti seketika dan menoleh ke belakang dan berkata:
“Tunggu apa lagi marilah!” Macam seorang ketua yang memberi arahan kepada anak-anak buahnya.

Zainal bingkas bangun dengan penuh bersemangat menjejaki langkah ayahnya. Ibunya memerhatikan dengan penuh minat. Hatinya merasa bangga. Anaknya seorang lulusan universiti tidak mengejar material. Dia sanggup menjadi seorang nelayan. Berpanas dan melawan gelombang di tengah lautan. Dari duduk dalam bilik yang berhawa dingin. Serta hidup dalam serba eksklusif.

Bayangan Zainal dan ayahnya lama-kelamaan pun hilang daripada pandangan mata tua ibunya.

Laut yang membiru seperti melambai-lambai mengajak turun. Rezeki sedang menanti. Gulungan ombak yang ganas adalah dugaan harus dihadapi dengan tabah dan sabar.

Bila pulang tidak pernah kecewa. Senyuman isteri yang setia sebagai penawar. Biarpun hasil tangkapan tidak lumayan seperti yang diharapkan. Apabila malam menjelma mereka sering bermimpi menjadi kaya. Rumah banglo dua tingkat serta mempunyai bot-bot yang mewah. Tapi bila terjaga di keesokan hari semuanya telah hilang cuma rumah usang yang mudah tumbang bila ditiup angin puting-beliung. Sampan-sampan buruk yang mudah karam bila dipukul ribut.

Bilakah ini semua akan menjadi kenyataan? Zainal percaya pada realiti. Bukan semata-mata mimpi yang kosong.

Udin memperalatkan nelayan-nelayan dengan muncul sebagai pembela. Kononnya untuk meringankan penderitaan yang ditanggung oleh mereka. Udin dan kuncu-kuncunya pandai berlakon. Watak mereka lebih dahsyat daripada seekor jerung yang ganas. Dengan mengumpan itu dan ini untuk memenangi hati mereka. Udin terkenal sebagai lintah darat yang kerjanya menghisap darah kaum nelayan. Membeli hasil tangkapan dengan harga yang murah tetapi menjual dengan harga yang mahal.

Dia kaya, senang dan hidup ditimbuni dengan segala kemewahan.

Sedangkan nelayan-nelayan terus menderita. Zainal merasa sedih melihat fenomena ini. Udin sewenang-wenangnya melakukan penindasan. Kehidupan mereka bertambah sengsara. Kemiskinan semakin berleluasa. Tambahan pula semenjak Udin dilantik menjadi Pengurus Koperasi dengan memaksa nelayan-nelayan agar memilihnya. Yang paling menyayatkan hati dia tergamak menyelewengkan bantuan kewangan daripada pihak Majuikan.

Zainal mengeluh sendirian. Pengaruh Udin mesti dihapuskan dahulu. Sebelum cahaya bersinar ke atas nelayan-nelayan di Pulau Saga. Perahu terasa dibuai-buai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience