BAB 4

Drama Completed 557

Hari ini seperti biasa lepas kuliah aku terus balik ke asrama. Di kaki langit cuaca cerah sahaja. Tompok awan putih menjadi latar belakang langit nan biru. Kudongakkan kepala ke atas. Bola matahari kiang meninggi. Bahangnya terasa menggigit kulit. Kulewati jam di tangan tepat pukul 11:00 pagi.

Aku terus berjalan menuju ke asrama. Sampai sahaja di asrama, aku terus memeriksa peti surat. Ada. Dari jauh. Aerogram berwarna biru muda dari California. Gembiranya hatiku bukan kepalang. Dari Hazalina, sudah pasti! Bisik hati kecilku. Kuamati dalam-dalam isinya. Dalam diam aku meneroka seribu pengertian. Hazalina, meskikah aku dapat melupakan dirimu. Badan yang tadinya hangat membara kini terasa dingin bak air terjun di pinggir kali.

Pelayan lalu menghampiri kami. Hazalina meminta minuman kegemarannya iaitu Coke. Aku pula teh ‘o’ ais limau. Hari itu Hazalina bertambah ayu. Baju kurung yang berwarna merah jambu bersulamkan manik-manik bunga yang berkilauan bila disinari cahaya menampakkan lagi kejelitaannya. Kau memang cantik. Ayu.

“Apa rancangan kau lepas ni, Azman?” Hazalina membetulkan rambutnya. Suaranya tenggelam dalam apungan deruan alat penghawa dingin.

“Aku ingat nak sambung belajar lagi.”

“Dalam bidang apa?” Dia membetulkan duduknya.

“Kesusasteraan Melayu. Kau pula macam mana?” Kuamati wajahnya tepat. Kedua-dua biji mataku tidak berkelip-kelip. Mata kami bersatu. Pelayan lalu datang membawa minuman yang dipesan.

“Aku pun macam kau juga.”

“Kau nak pilih bidang apa?”

“Guaman, tapi bukan di sini.”

“Di luar negara,” potongku pantas.

“Ya!” angguknya lagi sambil menghirup minuman.

“Baguslah tu.”
“Apa pendapat kau?”

“Bukankah ini untuk masa depan kau. Lagipun kau amat meminati bidang ini.” Aku terus memberi perangsang kepadanya.

“Kau setuju kan dengan keputusan yang aku ambil.” Dia semacam mahukan keputusan yang pasti dariku.

“Hazalina .... Kalau kau berjaya aku tumpang gembira. Bolehkan?” Dia lalu tersenyum kecil. Kesempatan ini aku gunakan untuk menghabiskan sisa-sisa minuman yang tersisa.

“Azman ....” Lembut suaranya bagai seorang bayi minta dimanja. Kau memang pandai berbicara, Ana. Fikiran yang berat akan bertambah ringan bila kau berbicara. Ada sahaja bahan untuk menambat hatiku.

Indahnya saat itu bagaikan rama-rama yang berterbangan menghiasi bingkai lukisan. Tak tergambar oleh kata-kata yang pesona.

“Pergilah, Hazalina. Jangan hampakan harapan ayah dan ibumu. Inilah masanya untuk membalas segala jasa dan pengorbanan mereka yang tinggi itu. Dan aku berdoa moga kau akan pulang membawa kejayaan nanti.” Aku terus menyematkan kata-kata perangsang ke dalam dirinya.

Lamunanku terhenti seketika. Tiba-tiba pintu bilikku terkuak. Muncul Shamsul, rakan sebilikku.

“Apa yang kau menungkan tu?” Dia menghampiriku. Wajahnya ceria walaupun dibebani dengan nota-nota kuliah. Aku pantas berdaleh.

“Tak ada apa-apalah, Shamsul.”

“Pasal Hazalina, kan?”

Aku memandangnya.

“Hm ... pandailah kau, Shamsul.”

“Berapa lama dia di sana?”

“Lima tahun.”
“Ita macam mana?”

Aku lantas bungkam. Ita, seorang gadis yang berambut panjang hitam ikal mayang hingga mencecah bahu. Dengan mata bundarnya dia kelihatan sungguh ayu dan menawan. Bergegar imanku bila teringatkan gadis tersebut yang kini semakin mesra denganku.

Kudongakkan kepala menoleh ke arah Shamsul. Aerogram yang berwarna biru itu perlahan-lahan kuletakkan di atas meja. Shamsul pula menyusun kemas nota-nota kuliahnya di atas rak yang disediakan.

“Dia tu kan rakan sekuliah aku,” aku memberi penjelasan.

“Tapi aku perhatikan hubungan kau dengan dia makin sehari makin intim.”

“Salah ke?”

“Tak!” gelengnya sambil tersenyum.

Shamsul bingkas bangun. Menuju ke almari bajunya lantas menukar pakaian.

“Sudahlah tu, Shamsul. Aku tak mahu fikirkan sangat perkara tu. Kita ni kan dah semester akhir. Lebih baik tumpukan sahaja pada pelajaran.”

“Betul kata kau tu, Azman. Perut aku pun dah lapar. Mari kita pergi makan.” Baru terasa perut pun sudah mula berkeroncong. Aku pun mengikut Shamsul.

Pagi itu, aku menghadiri kuliah seperti biasa. Alat penghawa dingin mengapung seluruh ruang dewan. Profesor Madya Abdul Syukur tak henti-henti memberi ceramah. Aku mendengarnya dengan penuh khusyuk. Kucatitkan segala isi yang penting di atas kertas kuarto. Seni itu mencerminkan budaya hidup manusia. Ia telah sebati dengan jiwa manusia.

Demikian antara kata-kata yang dilafazkan oleh pensyarah tersebut. Orangnya tegas dan adakalanya dia suka berjenaka. Sesekali aku mencuri pandang ke arah Ita yang berada tidak jauh dariku. Dia juga sempat mencuri pandang ke arahku sambil melukiskan senyuman manis. Aku membalasnya. Lagipun kata orang, senyuman itu adalah satu sedekah.

Hari ini, dia sungguh cantik sekali. Dia mengenakan baju kurung berwarna ungu. Tambah ayu bila mengikat rambutnya seperti ekor kuda. Sebelum kuliah tamat, Profesor Madya Abdul Syukur sempat memberikan tugasan. Dan ia hendaklah diselesaikan selewat-lewatnya minggu depan. Tepat jam 12:00 tengah hari kelas pun bersurai. Aku bingkas bangun menuju ke pintu keluar.

“Azman ….” Aku toleh ke belakang.

“Ada apa, Ita?”

“Kau free tak petang ni?” soalnya.

“Kenapa?”

“Aku ada hal mustahak yang nak bincang dengan kau.”

“Apa dia?” Aku makin berminat untuk mengetahuinya.

“Ada la ….” Ita cuba menyembunyikan sesuatu. Perasaanku makin berkecamuk. Teka-teki itu masih belum kuperolehi jawapan.

“Kau tahu kan, aku pernah dikecewakan?” Ita memulakan perbualan sambil membetulkan rambutnya yang mengerbang ditiup angin. Air Tasik Titiwangsa begitu tenang.

“Ita, setiap kegagalan itu ada hikmahnya. Ia adalah pengalaman untuk mendewasakan kita. Kau mesti kuat dan tabah dalam menghadapi hidup ini. Tak bermakna sekali kau gagal, kau akan gagal buat selama-lamanya,” nasihatku.

“Tapi …. Ia adalah terlalu pahit, Azman ….” Kutenung wajahnya dalam-dalam.

“Memanglah ia teramat pahit, bukan kau seorang sahaja yang mengalaminya. Semua orang begitu,” terangku. Dia kembali mengangkat mukanya kepadaku.

“Azman …. Aku ….” Amat berat untuk dilepaskannya.

“Aku bersimpati dengan kau, Ita …,” balasku pula. Ita masih mahu meluahkan sesuatu.

“Aku ingin memiliki hatimu ….” Ternyata Ita tidak dapat lagi membendung perasaannya. Aku jadi terkasima apabila mendengarnya. Benarkah ini atau hanya mimpi?

“Ita ….” Aku bersuara memujuk.

“Kau terlalu mengambil berat tentang diriku. Malah, kau juga telah dapat mengubat hatiku yang kian lara.” Ita telah menyemaikan harapan yang menggunung tinggi padaku. Dia menawarkan cinta. Oh, Tuhan! Aku jadi serba salah.

“Ita, aku tak terlintas sedikit pun untuk mengecewakan hatimu. Tapi ….” Aku berhenti tiba-tiba. Terasa berat untuk kulepaskan.

Ita kuperhatikan dengan penuh tenang menanti akan jawapanku.

“Kita datang ke sini bukan untuk mencari cinta. Tapi untuk mencari ilmu. Aku harap kau dapat menerima hakikat itu. Aku anggap kau sebagai seorang kawan, tak lebih dari itu,” jelasku.

“Azman!!!” Ita terkejut.

Wajah Ita berubah. Matanya sudah digenangi air jernih.

“Sampai hati kau mengguris hatiku ….”

“Aku tetap berdoa agar suatu hari nanti, kau akan bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang benar-benar bertanggungjawab dan menyayangi dirimu.”

Di kaki langit, fajar kian menyingsing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience