BAB 9

Drama Completed 557

“Kita adalah seperti pengembara, Saripah. Meniti satu perjalanan yang jauh,” kataku.

“Menarik sekali kata-kata Azman tu,” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala. Tiada kepastian. Sama ada dia mengerti atau cuma berpura-pura. Bola mata kami saling berlaga. Aku dapat merasakan sinar mata Saripah bagai kaca yang berkilau-kilauan.

“Di mana kita akan berhenti?” sambungnya lagi.

“Hingga ke sebuah pelabuhan. Bersama bekalan yang cukup,” aku membalas.

“Azman nampaknya arif dalam bidang falsafah.”

“Tak jugak.”

“Saya berkata ikhlas, Azman.”

“Saya gemar membaca buku.”

“Bahan bacaan yang Azman pilih?”

“Yang bersumberkan ilmu pengetahuan am. Tanpanya kita akan teraba-raba. Tak ubah macam berada di ruang yang gelap.”

“Selain daripada itu?” Dia seperti tidak berpuashati dengan jawapan yang telah aku berikan itu.

“Lebih penting lagi dengan banyak membaca akan menjadikan pemikiran kita bertambah matang dan tajam,” terangku.

“Saya rasa macam seorang pelajar yang sedang mengikuti pembelajaran guru dalam kelas.”

“Kenapa pulak?” ujarku sambil tersenyum kecil.

“Apabila mendengar penjelasan Azman betapa pentingnya ilmu dalam hidup manusia.”

Aku dan Saripah lantas tertawa hingga terangkat kedua-dua belah bahu.

Saripah tambah ayu bila mengenakan baju kurung yang berwarna biru air laut. Serta bersulamkan bola-bola manik yang kuning keemasan dan berkilauan.

“Melalui tulisan Azman mengharapkan golongan bawahan akan mendapat pembelaan. Bukan begitu?” Dia jatuh hati dengan isu kemiskinan.

Aku mengukir seribu senyuman di hati kecil. Aku tidak keseorangan dalam memikul perjuangan. Saripah turut berdiri teguh di belakangku memberi sokongan. Udara berhembus segar. Saujana mata memandang. Aku menoleh semula ke arah Saripah.

“Saya mempunyai prinsip hidup yang sendiri.”

“Boleh saya tahu?” tanya Saripah.

“Antara manusia dan Tuhan mempunyai jurang pemisah yang amat dalam. Tuhan bersifat pencipta dan berkuasa. Manakala manusia pula adalah lemah di sisi-Nya,” aku menjawab.

“Memang benar, Azman. Kita sebagai manusia hanya hidup sementara sahaja di atas muka bumi ini.”
“Dengan matlamat untuk menimbulkan kesedaran di kalangan pembaca. Sesungguhnya Tuhan maha agung dan pencipta.”

Saripah kelihatan berwajah ceria dan anggun. Umpama bidadari dari syurga. Yang turun ke bumi bersama haruman kasturi.

“Kenapa manusia selalu lupa pada Tuhan?” dia menyoal dengan penuh minat.

“Mereka lebih banyak memikirkan tentang keseronokan dunia daripada akhirat. Akibatnya rasa takwa pada Tuhan pun hilang.”

“Kematian tidak mengenal usia tua atau muda. Apabila tiba masanya, mahu atau tidak kita terpaksa pergi mengadap Tuhan,” tambahnya lagi.

“Dalam dunia ni sebenarnya terdapat dua golongan manusia, Saripah.”

“Menarik. Baru hari ni saya mendengarnya.”

“Saripah, nak tahu?”

“Mestilah.”

“Pertama, orang yang minta mati cepat tapi dia mati lambat. Kedua, orang yang minta mati lambat tapi dia mati cepat,” jelasku pula.

“Kesimpulannya?” Dia memandang tepat wajahku.

“Golongan kedua lebih ramai daripada golongan pertama.”

“Biar saya tambah lagi. Manusia sebenarnya takut pada kematian. Kalau boleh, mereka ingin hidup lebih lama lagi di atas dunia ini,” ucap Saripah pula.

“Bukan itu saja. Mereka seharusnya mengambil iktibar daripada peristiwa kematian. Kerana mereka akan menempuhinya pada satu hari nanti. Kadangkala saya merasa diri ini masih lagi serba kekurangan,” aku sebaliknya membalas.

Sepi. Tiba-tiba mengambil tempat. Macam berada di ruang yang sunyi. Persoalan ini betul-betul meninggalkan kesan yang mendalam dari segi maksudnya. Kami enggan berbicara. Seperti ada kuasa yang mengunci rapat mulut aku dan Saripah. Pohon-pohon yang menghijau bagai bernyanyi-nyanyi. Sambil meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Di kaki langit gumpalan awan hitam semakin tebal meliputi permukaannya. Hujan akan turun. Semenjak dari pagi tadi hingga ke petang cuaca amat panas memijar sekali. Semua ini adalah rahmat Tuhan. Kita harus bersyukur menerimanya.

Aku tidak mahu keadaan ini berlarutan.

“Mari kita ke sana,” ujarku sambil jari telunjuk menunjukkan ke arah restoran yang terletak berhampiran dengan taman.

“Hari pun dah nak hujan. Terlalu banyak bercakap tekak pun dah naik kering,” tambahku lagi.

“Baiklah!” angguknya dan tidak membantah.

Aku dan Saripah bingkas bangun daripada kerusi kayu yang terletak di bawah pohon yang rendang. Kami bernasib baik. Setibanya di dalam restoran hujan pun turun dengan lebat. Pelanggan tidak ramai. Boleh dikira dengan jari dalam anggaran dua tiga orang sahaja. Aku dan Saripah memilih tempat duduk di sudut yang paling sepi. Bebas daripada sebarang gangguan. Kami sama-sama memesan minuman yang sama daripada pelayan. Dua gelas air fresh orange.

“Apakah ertinya sebenar sebuah persahabatan?” soal Saripah. Dia nampaknya tak putus-putus mendugaku.

“Mempertahankan kejujuran dan keikhlasan tiap waktu dan ketika,” aku menjawab sambil menarik kerusi ke depan sedikit.

“Tapi, dalam dunia ni kawan yang mudah ketawa memang ramai. Kawan untuk menangis bersama hanyalah seorang diri,” tambah Saripah lagi.

“Adat manusia, Saripah,” aku membalas pendek.

“Kalau difikirkan dalam-dalam, hidup manusia ni memang aneh.”

“Itu memang tidak dapat dinafikan lagi.”

“Contohnya?”

“Tidak ramai orang yang akan bergembira apabila melihat Saripah berjaya. Tetapi ramai orang yang akan gembira apabila melihat Saripah gagal,” ujarku sambil membetulkan duduk.

Terhenti buat seketika. Pelayan muncul membawa bersama minuman yang dipesan. Dengan penuh tertib perlahan-lahan dia meletakkan dua gelas air fresh orange di atas permukaan meja yang berbentuk empat segi itu. Aku mengangkat muka ke atas. Pelayan bermuka bulat dan berdahi licin.

“Terima kasih,” ucapku.

“Sama-sama!” balasnya sambil mengukir senyuman ramah.

Tanpa menunggu arahan lagi dia pantas beredar pergi dari sisi meja.

“Silakan!” pelawaku lagi.

“Terima kasih!”

Kami sama-sama menyedut minuman. Aku kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah kain yang berwarna hijau muda yang melitupi permukaan meja. Sekuntum mawar merah terhias indah dalam jambangan kecil yang berwarna putih. Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang restoran. Hawanya termampan menembusi di celah-celah dinding yang bercat putih. Irama muzik yang sentimental sungguh menggetarkan jiwa. Saripah mendongakkan kepala tinggi sedikit.

“Dalam hidup ni, banyak persoalan yang perlu dijawab.” Saripah pantas melepaskan straw yang melekat di bibirnya yang merah bak delima itu.

“Maksud, Saripah?” soalku pula sambil membetulkan duduk.

“Ada ketikanya kita dihantui dengan pelbagai masalah.”

“Hidup tanpa masalah, bukan hidup namanya, Saripah.”

“Ganjil bunyinya.”

“Kenyataan.”

“Baiklah!” ucapnya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya terima.”

“Biar saya tambah. Kalau tidak kita tidak akan matang dalam hidup ni.”
“Oh, begitu!”

“Itu yang pertama. Yang kedua pulak?” dia menyoalku dengan penuh minat.

“Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.”

“Tak jugak, Azman!” bantah Saripah pula.

“Kenapa Saripah kata begitu?” celahku pantas.

“Adakalanya ia amat merumitkan. Dan sukar untuk kita menemui jalan penyelesaian.”

“Jangan sampai ke tahap tu, Saripah.”

“Azman tak mengalaminya.”

“Siapa kata? Saya juga manusia biasa. Tak boleh lari daripada masalah. Bagi saya, ada jalan yang terbaik untuk mengatasinya.”

“Macam mana?”

“Bukankah Tuhan telah mengurniakan kita akal dan fikiran. Oleh itu, gunakanlah ia dengan sebaik mungkin. Saya yakin. Walau seberat batu pun masalah yang kita hadapi akhirnya akan menemui jalan penyelesaian juga akhirnya,” yakinku pula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience