BAB 16

Drama Completed 557

Sememangnya aku gemar mengembara. Meniti pengertian dalam hidup ini bak lautan biru yang luas. Bumi berbentuk bulat dan sentiasa berputar di atas paksinya menjadikan siang dan malam.

Langit tidak bertiang. Angin bertiup lembut tambah menyegarkan udara pagi. Kampung Bukit Belanga tetap hening dan nyaman. Banjaran gunung yang hijau berdiri megah dan tambah memanjang dari arah utara hingga selatan.

Sawah padi yang luas terbentang seperti hamparan permaidani hijau. Pohon-pohon nyiur melambai-lambai. Seakan-akan mengajak perantau yang tinggal di kota agar segera pulang. Kicauan unggas bersahut-sahutan.

Aku seorang penulis bebas. Menyelami sedalam-dalamnya hidup manusia. Terutama sekali golongan petani yang sekadar kaya-raya dengan angan-angan tapi miskin dari segi kebendaan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Akhirnya aku terlontar ke sini. Sebuah daerah yang mundur. Aku benar-benar simpati.
“Tahun ini padi tak menjadi,” Pak Lah mengeluh.

“Mengapa?” Aku merenung sayu wajahnya.

“Ancaman serangga perosak dan tikus.”

“Kenapa tak minta bantuan Jabatan Pertanian?” Tanganku ligat mencatat butir-butir penting di atas kertas. Untuk dijadikan bahan cerita.

“Awak ni siapa?” Pak Lah dapat mengesan.

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon rumbia melenggok-lenggok. Batang merenung dan lalang memenuhi tebing sungai. Anak haruan dan keli bermain dengan penuh keriangan. Sebatang pohon pinang kelihatan tidak jauh dari situ.

“Saya sebenarnya seorang penulis bebas.”

“Hidup kami lebih mengenal penderitaan daripada kesenangan.”

“Seharusnya mendapat perhatian daripada semua pihak.” Wajah tua Pak Lah lantas berubah. Seperti jemu mendengar kata-kataku.

“Tiada siapa yang sudi mendengarnya.”

“Ada!” aku segera mencelah macam sang helang menyambar mangsa sambil menganggukkan kepala.

Rambutnya dipenuhi dengan uban yang memutih. Badannya kurus seperti lidi. Garis-garis kedut melapisi permukaan kulitnya yang berwarna hitam manis.

“Siapa?” Dia mengangkat muka.

“Saya!”

“Apa yang awak boleh buat untuk membantu kami semua?”

“Melalui tulisan,” balasku ringkas.

“Tulisan?” Pak Lah hairan. Semakin tidak mengerti.

“Benar!” aku menganggukkan kepala.
“Bagaimana caranya?” Mata tua itu kutenungi dalam-dalam umpama lautan nan luas.

“Pembaca yang arif dengan erti kemiskinan dan kemunduran sudah pasti akan menghulurkan simpati,” aku membalas. Tapi Pak Lah enggan menerima hakikat itu. Beban kemiskinan. Janji-janji kosong terlalu mudah ditaburkan. Tak ubah macam mimpi yang akan hilang apabila tersedar di waktu pagi.

“Simpati saja belum mencukupi,” sanggahnya.

Aku memandang wajah Pak Lah yang dibelit kesusahan. Aku mengerti. Bak kata orang seperti air penawar. Bukti-bukti pembangunan harus ada di depan mata.

“Manusia memang pandai membuat janji,” aku bersuara. Pak Lah sebaliknya diam. Mungkin akibat kekurangan daya intelektual. Pak Lah mendongakkan kepala tinggi di mana langit kelihatan cerah.

Bola matahari kian meninggi. Jalur-jalur cahaya amat lurus menyinari seluruh alam semesta. Panas memijar hingga boleh mencairkan otak macam berada dalam ketuhar. Bahangnya terasa pedih bila menggigit-gigit permukaan kulit. Aku dan Pak Lah berteduh dalam sebuah pondok usang. Beratapkan nipah dan berdindingkan buluh yang dianyam rapi. Kuat dan kukuh. Menurut cerita Pak Lah lagi ia dibina oleh moyangnya dulu.

Di situlah dia melepaskan penat dan lelah. Sambil minum kopi ‘o’ pekat dan mengunyah ubi rebus atau pisang goreng. Menghisap rokok daun. Nasib Pak Lah demikian pasti. Warisan tani sudah menjadi satu generasi ke satu generasi yang lain.

Moyangnya juga menerima nasib yang sama. Hidup tak pernah senang. Sehingga ke akhir hayat. Kemiskinan masih merantai mereka. Di waktu malam mereka sering bermimpi untuk menjadi kaya-raya. Memiliki rumah banglo mewah tiga tingkat. Bila bangkit dari tidur di waktu pagi mereka miskin pula. Kini giliran Pak Lah pula.

Dia mengeluarkan suara yang agak parau menghalau sekumpulan burung-burung punai yang hinggap di atas batang-batang padi yang tidak menjadi.

Pak Lah kembali semula menoleh ke arahku. Dan berkata:
“Kami semua tidak kenal dengan Jabatan Pertanian …,” ujarnya layu seperti bunga yang kekeringan air.

“Habis?” Aku terkesima.

“Budin!” Pak Lah membalas pendek.

“Budin?” Aku tidak kenal dengan orang itu. Aku mula berfikir sesuatu. Apa kaitan Budin dengan orang-orang kampung? Bagai suatu misteri.

Aku menjadi semakin berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi.

“Budin tu siapa?” tanyaku pada Pak Lah.

“Lintah darat yang menghisap darah orang-orang kampung,” sambung Pak Lah.

“Lintah darat?” aku terperanjat.

“Dia menjadi tempat kami orang-orang kampung meminjam wang.”

“Jadi?” Lagak aku seperti seorang pemberita yang menemuramah seorang tokoh politik yang terkenal.
“Sekiranya kami gagal membayar hutang maka tanah pusaka kami akan dirampas.” Aku diam. Sekadar menggeleng-gelengkan kepala. Budin seorang manusia yang tidak berhati perut. Zalim dan tidak berperikemanusiaan. Lebih buas daripada haiwan.

Hati kecilku tak henti-henti ditendang oleh persoalan itu.

Budin muncul sebagai pembela. Dengan berwatak penindas. Suka mengambil kesempatan ke atas kaum yang lemah. Memerah keringat dan mengambil tenaga orang lain demi kepentingan diri sendiri. Dia menjadi kaya-raya.

Sedangkan orang-orang kampung terus-menerus merana dek kemiskinan. Budin tamakkan harta kekayaan.

Inilah yang dinamakan penghalang kemajuan. Kuasa Budin mesti disekat agar kemiskinan yang luas dapat dibatasi seratus peratus.

Wajah yang dimakan tua itu kian tidak bermaya memandangku.

“Dia membeli segala hasil-hasil pertanian dengan harga yang murah. Menjual dengan harga yang mahal.”

“Sampai begitu sekali!” Aku lalu terperanjat.

Pak Lah mengangguk lemah.

Diam. Macam berada di ruang yang kosong. Kedua-dua bola mataku merenung sayu Pak Lah. Entah mengapa! Mulutku amat berat untuk mengeluarkan kata-kata. Fikiranku berputar ligat bagaikan kipas angin di atas siling yang mengapungkan hawa dingin. Suara yang meminta pembelaan.

Kesempatan ini aku gunakan sebaik-baiknya mencatat butir-butir cerita di atas kertas kajang yang sentiasa dibawa walau ke mana saja sebagai teman setia.

Daun-daun kering yang gugur berterbangan ditiup angin timur. Begitu juga dengan debu-debu merah di jalanan. Jelas sekali musim kemarau. Sudah lama hujan tidak turun.

“Anak-anak di kampung ni semuanya buta huruf,” terang Pak Lah.

“Mengapa perkara ini boleh berlaku?”

“Mereka tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang paling tinggi. Terpaksa berhenti sekolah. Dan menyambung kerja-kerja sebagai petani.”

Aku tambah berminat. Menumpukan seluruh perhatian umpama seorang pelajar di dalam kelas yang sedang mengikuti pembelajaran guru.

Aku membetulkan duduk dan bersuara:
“Jadi?”

“Ada juga yang ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran. Malangnya hasrat itu terpaksa dilupakan.”

Aku mengeluh panjang. Orang-orang Kampung Bukit Belanga macam ditimpa bencana yang amat dahsyat sekali.

Sementara itu, aku bertambah semangat. Bahan cerita yang mesti dibawa pulang ke kota.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience