BAB 14

Drama Completed 557

Amanah arwah Datuk Karim berlegar di fikirannya. Berat. Seperti memikul seketul batu besar. Mahu atau tidak Johari terpaksa menunaikannya. Dia satu-satunya anak tunggal arwah Datuk Karim. Kalau tidak Syarikat Permata Holdings Sdn. Bhd. akan berkubur.

“Kaulah satu-satunya harapan ayah ... Johari ... kau mesti menyelamatkan Syarikat Permata Holdings ....” Nada suara Datuk Karim tersekat-sekat sewaktu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan pintu mengejutkannya daripada lamunan.

“Masuk!” Dia memberi arahan. Shanty yang memerangkap setiausaha syarikat muncul bersama sepucuk surat di tangannya.

“Ini ada surat daripada pihak bank,” kata Shanty sambil menghulurkannya kepada Johari. Dia pantas menyambut dan membuka sampul surat itu. Dia membaca isi kandungannya dengan penuh teliti. Hutang Syarikat Permata Holdings dengan pihak bank berjumlah RM800,000.00.
Syarikat Permata Holdings diberi tempoh tiga bulan untuk menjelaskannya. Kalau tidak pihak bank akan mengambil tindakan mahkamah dengan mengisytiharkan Syarikat Permata Holdings muflis.

Berat! Getus hati kecilnya.

“Ada apa-apa yang boleh saya bantu, Encik Johari?” tanya Shanty.

“Tolong bawakan fail projek kondominium di Taman Melati.” Johari mengeluarkan arahan kepada Shanty.

“Baiklah, Encik Johari.” Dia akur dengan arahan tuan muda itu.

Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang bilik yang berbentuk empat segi itu. Tak lama kemudian Shanty muncul sambil membawa fail berwarna hitam yang diminta oleh Johari.

“Ini failnya, Encik Johari.”

“Terima kasih,” Johari lantas membukanya.

“Bagaimana dengan perkembangan projek ni?” Dia melemparkan pertanyaan kepada Shanty.

“Projek ni dah lama terbengkalai, Encik Johari,” jawab Shanty yang sudah lima tahun menjadi Setiausaha Syarikat Permata Holdings.

“Terbengkalai?” Johari terkejut.

“Kita menghadapi masalah kekurangan bekalan simen.”

“Macam mana perkara ni boleh berlaku?” tanya Johari lagi sambil kedua-dua biji matanya tepat memandang gadis yang berusia awal 20-an itu.

“Datuk Nasir yang handle projek ni.”

“Oh, begitu. Arwah Datuk Karim?”

“Dia cuma keluarkan modal.”

“Bila projek ini dijangka siap?” Johari tak putus-putus mengajukan soalan.

“Akhir tahun ini,” Shanty menjawab ringkas. Johari menarik nafas panjang. Dan bersuara:
“Tak apalah, Shanty. Saya akan cuba settlekan projek ni. Awak boleh pergi sekarang.”

“Baiklah, Encik Johari.”

Johari mengeluh. Hidup ini umpama air laut. Sekejap pasang sekejap surut. Hidup manusia penuh dengan ujian Tuhan. Siapa yang tak kenal dengan arwah Datuk Karim. Seorang usahawan Melayu yang terkenal. Syarikat Permata Holdings juga mempunyai rangkaian perdagangan di Amerika Syarikat, England, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan. Datuk Nasir ialah rakan kongsi arwah Datuk Karim dalam Syarikat Permata Holdings. Dia telah menggelapkan wang syarikat sebanyak RM 1.8 juta.

Datuk Nasir juga telah menjual semua saham-saham Syarikat Permata Holdings untuk melangsaikan semua hutang-hutangnya dengan pihak bank. Hal ini tidak diketahui oleh arwah Datuk Karim.

Syarikat Permata Holdings menjadi tenat. Arwah Datuk Karim terus jatuh sakit.

“Saya tak sangka, mak. Datuk Nasir sanggup menggelapkan wang syarikat,” Johari bersuara kesal bercampur geram.

“Sudahlah tu, Johari. Kita bersabar sajalah,” Datin Rokiah menenangkan anaknya.

“Saya sedih, mak. Dulu sewaktu syarikatnya hampir-hampir bankrap arwah ayah yang tolong selamatkan. Sampai masanya dia tergamak menganiaya arwah ayah,” luah Johari lagi dalam nada suara yang penuh kecewa.

“Ini semua sudah takdir. Kita harus redha, Johari,” sambung ibunya lagi.

“Memang kita tidak boleh menolak takdir, mak. Tapi bangsa kita tak akan maju selagi tak dikikis perasaan tamak dan irihati,” tingkah Johari pula.

Datin Rokiah diam. Kata-kata anaknya itu memang benar.

“Arwah ayah kau mahu Syarikat Permata Holdingsterus hidup. Walaupun dia sudah tiada lagi.”

Lamunan Johari mati apabila telefon berbunyi.

“Hello.”

“Encik Johari, ada panggilan daripada Cik Rosnah,” jelas Shanty.

“Baiklah. Sambungkan.”

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.”

“Apa khabar?”

“Baik.”

“Maaf kerana mengganggu.”

“Tak mengapa. Macam mana kau tahu aku di pejabat?”

“Mak kau yang beritahu,” Zarah membalas.

“Kita dah lama tak berjumpa. Apa kata tengah hari ini kita lunch sama-sama?” cadang Johari.

“Great. Tapi di mana?”

“Di tempat biasa, Restoran Seri Mawar.”

“OK. Kita jumpa di sana. Bye.”

Dia mencapai fail yang berada di depannya dan menelitinya sekali lagi. Kemudian dia mengangkat telefon dan menekan butang.

“Shanty, tolong panggilkan Encik Tan. Katakan saya nak jumpa dia sekejap.”

“Baiklah, Encik Johari.”

Selang beberapa minit kemudian dia mendengar bunyi orang mengetuk pintu.

“Masuk.” Matanya tajam memandang Encik Tan yang bertugas sebagai Pegawai Pemasaran di Syarikat Permata Holdings.

“Ada perkara mustahak ke Encik Johari nak bincangkan dengan saya?” tanya Encik Tan sebaik-baik sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi. Dia kelihatan segak memakai baju kemeja berwarna putih serta bertali leher warna biru tua.

“Ya! Tentang projek kondominium di Taman Melati.”

“Dah hampir sepuluh bulan projek tu tergendala,” jawab Encik Tan ikhlas.

“Selain daripada masalah kekurangan bekalan simen, apalagi masalah yang timbul?” dia pantas memotong.

“Gaji pekerja tidak dibayar.”

“Sampai begitu sekali? Itu zalim namanya. Salah di sisi undang-undang.” Dia terkejut apabila mendengar cerita daripada mulut Encik Tan.

“Hanya Datuk Nasir saja yang boleh menjawabnya,” kata Encik Tan pula.

“Dia sekarang senang-lenang di luar negeri. Dia tipu arwah datuk hidup-hidup,” Johari sebaliknya membalas.

“Jadi, apa tindakan Encik Johari sekarang?”

“Kita tak boleh patah semangat. Kita mesti settlekan projek ni. Awak siapkan laporannya secepat mungkin dan serahkan kepada saya.”

“Baiklah, Encik Johari!” jawab Encik Tan.

“Besok kita melawat ke tapak projek.”

“Itu saja, Encik Johari?”

“Ya. Awak boleh pergi sekarang,” ujar Johari lagi.

“Bila dah besar nanti Johari nak jadi apa?” arwah Datuk Karim mengusap-usap manja rambut anaknya.

“Nak jadi peguam.”

“Johari tak nak ikut jejak ayah jadi ahli perniagaan?”

“Tak!” dia menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Kenapa?”

“Johari nak membela orang yang tak bersalah.”

“Nampaknya Johari tak berminat untuk mewarisi perniagaan abang,” Datin Rokiah tiba-tiba mencelah.

“Dia masih kecil lagi, Kiah. Dia belum mengerti apa-apa. Mungkin satu hari nanti dia akan berubah fikiran.” Kata-kata arwah Datuk Karim itu akhirnya terkabul juga.

Johari kini telah pun mengambil alih perniagaannya. Kalau dia masih hidup tentu di akan berasa bangga. Perniagaannya tidak jatuh ke tangan orang lain. Diwarisi oleh zuriatnya sendiri.

Johari melihat jam di tangannya. Tepat menunjukkan pukul 11:30 pagi. Dia bingkas bangun dan menuju ke jendela kaca. Dia melemparkan pandangan yang jauh ke arah bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit. Fikirannya ligat mencari ilham untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh Syarikat Permata Holdings Sdn. Bhd. Sedang dia asyik memerah otak, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi pintu diketuk orang.

Dia berpaling ke arah pintu itu dan bersuara:
“Masuk!”

Zulkifli, juruaudit syarikat muncul sambil memegang sampul surat berwarna putih.

“Saya minta maaf kerana mengganggu Encik Johari,” katanya dengan penuh hormat.

“Oh, tak mengapa. Duduklah,” kata Johari.

Zulkifli lalu menyerahkan sampul surat itu kepada Johari.

“Apa ni?” ujar Johari menyambut sampul surat itu dan membukanya. Zulkifli sebaliknya tidak bersuara.

Johari membaca isi kandungan surat itu. Dia memandang wajah Zulkifli yang berkulit cerah itu.

“Adakah kerana kedudukan syarikat ini goyah maka awak mengambil keputusan untuk berhenti?”

“Tidak, Encik Johari. Saya sebenarnya sayangkan syarikat ini. Tapi demi masa depan, saya menyahut tawaran Syarikat Intan Holdings Sdn. Bhd.”

“Oh, begitu. Awak sudah fikir masak-masak?”

“Ya, Encik Johari.”

“Saya faham, Zulkifli. Itu hak awak. Saya tak boleh menahan awak pergi,” Johari menjawab.

“Terima kasih, Encik Johari.” Zulkifli bangun dan berjabat salam dengan Johari.

“Saya harap awak akan bekerja dengan penuh dedikasi,” pesan Johari.

Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 1:00 tengah hari.

Seperti yang dijanjikan Johari dan Zarah bertemu di Restoran Seri Mawar.

“Aku rasa tempat ini tak sesuai bagi kau.” Zarah memulakan perbualan sambil memandang ke seluruh restoran.

“Tak sesuai? Kenapa pulak?” soal Johari.

“Anak datuk macam kau ni selalunya makan di hotel,” kata Zarah selamba.

Johari sebaliknya tersenyum mendengar kata-kata Zarah itu. Kedua-dua biji matanya tidak berkelip memandang Zarah yang ayu bertudung dan memakai baju kurung.

“Kita manusia kan semuanya sama di sisi Tuhan. Jadi, soal di mana kita nak makan tak timbul.”

“Aku sekadar ingin menduga kau saja,” Zarah membalas.

“Kau memang begitu. Sudahlah. Macam mana dengan perniagaan kau?”

“Macam air laut. Sekejap pasang sekejap surut.”

“Berniaga memang macam tu, Zarah.”

Perbualan mereka terhenti seketika. Pelayan datang membawa makanan dan minuman yang mereka pesan. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja.

“Silakan,” pelawa Johari sebaik-baik sahaja dia selesai membaca doa. Mereka menikmati hidangan tengah hari dengan penuh selera sekali.

“Macam mana pula dengan perniagaan kau?” Zarah menyambung semula perbualan yang terputus tadi.

“Ibarat telur di hujung tanduk.”

“Kau harus tabah, Johari.” Dia memberi kata-kata semangat kepada Johari.

“Aku runsing memikirkannya,” tingkah Johari sambil menyedut sisa-sisa air fresh orange.
“Dan kau juga merasa kecewa kerana cita-cita kau untuk menjadi seorang peguam tidak tercapai, bukan begitu?” Dengan tiba-tiba sahaja pertanyaan itu terkeluar daripada mulut Zarah.

“Tidak, Zarah. Bagi aku amanah yang ditinggalkan oleh arwah ayah aku mesti ditunaikan.”

“Aku kagum dengan semangat kau, Johari. Kau mesti buktikan. Walaupun kau berkelulusan dalam bidang Undang-undang tetapi kau juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan.” Zarah terus menyemarakkan lagi semangat Johari.

“Aku harap kau bukan hanya sekadar sumber inspirasiku. Kau doakanlah semoga aku berjaya meletakkan Syarikat Permata Holdings Sdn. Bhd. terus unggul serta menjadi contoh dalam dunia perniagaan orang Melayu.”

“Insya-Allah, Johari. Semoga Tuhan akan memberkati usaha kau. Kau perlu cekal dan tabah mengharungi apa jua halangan serta rintangan yang datang sebelum sampai ke puncak.

Kata-kata Zarah itu seperti api semangat yang membakar dirinya. Di ruang matanya sudah terbayang wajah arwah ayah dan ibunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience