BAB 1

Spiritual Completed 1275

"Papa tak setuju dengan hasrat kamu tu Sylvia !" Marah papa padaku.

"Tapi kenapa papa?" Soalku inginkan kepastian.

"Tindakan kamu tu membelakangi kepercayaan datuk nenek moyang kita." Jawab papa. Aku sangat tidak setuju dan tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan papa itu.

"Kenapa masa Stewart nak memeluk Kristian papa tak pernah pun melarang dia?" Aku masih ingat lagi ketika abangku, Stewart menyatakan hasratnya untuk menganut agama Kristian kepada papa. Papa tidak marah pun, malah dia merestui tindakan Stewart itu.

"Kamu jangan nak bandingkan antara Kristian dengan Islam!" Aku nampak ada sedikit kemarahan dalam kata-kata papa itu.

"Kenapa,tindakan Stewart itu tidak membelakangi kepercayaan datuk nenek moyang kita ke papa?" Aku memulangkan kembali kata-kata papa itu tadi.

"Aah,susah nak bercakap dengan kamu ni Sylvia !" Marah papa sambil bangun meninggalkan aku terkebil-kebil di ruang tamu sendirian.

Bermula pada hari itulah, hubungan antara aku dan keluargaku sedikit dingin. Terutamanya papa yang menentang keras hasratku untuk memeluk Islam. Walaupun begitu, aku tetap cuba untuk memulihkan keadaan kepada sediakala sebelum krisis berlaku kerana mereka tetap ahli keluargaku dan darah dagingku.

Walaupun aku dilahirkan sebagai berbangsa cina dan menganut agama confucius, namun begitu pegangan agamaku tidaklah begitu kuat. Aku berasal dari sebuah keluarga cina yang menetap di Kg. Pulau Melaka terletak di pinggir Bandar Kota Bharu.

Di kampungku itu, terdapat hanya sepuluh keluarga cina yang dikelilingi oleh masyarakat melayu Islam. Tambahan pula aku membesar bersama kawan-kawan kaum Melayu dan aku sudah biasa dengan adat melayu. Banyak ajaran agama Islam yang aku tahu daripada kawan-kawan Melayuku.

Keinginanku untuk memeluk Islam mula timbul setelah terjadi satu peristiwa yang hampir meragut nyawaku dua tahun lalu. Ketika itu aku dalam perjalanan pulang dari menghadiri parti untuk meraikan kegembiraan berjaya mendapat ijazah dari sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur.

Aku dan sekumpulan kawan-kawan yang lain telah bersetuju untuk meraikan kejayaan kami ini dirumah teman lelakiku Michael di Tumpat.

Aku begitu gembira kerana dapat mengumpulkan kawan-kawan bagi meraikan kejayaan bersama ini. Aku minum dengan banyak sekali dan membuatkan aku benar-benar mabuk. Dalam keadaan pening yang teramat sangat, dengan pandangan yang samar-samar dan berbinar-binar aku lihat sudah ramai kawanku yang terkulai di ruang tamu. Ada juga pasangan yang berpapahan masuk ke dalam bilik. Kepalaku makin berat dan pandanganku makin kabur, selepas itu aku tidak sedarkan diri.

Aku tersedar apabila terdengar dentuman jam antik di ruang tamu rumah Micheal sebanyak tiga kali. Terasa sejuk menyucuk tulangku. Dalam keadaan masih pening dan suram malam,aku melihat Micheal sedang nyenyak tidur atas katil di sisiku.

Aku dapati tiada seurat benang pun pada diriku. Air mataku mula mengalir. Aku terasa sedikit ngilu pada kemaluanku. Aku mencapai pakaianku yang berselerak atas lantai. Dengan tergesa-gesa aku mengenakan tube dan mini skirtku. Dalam keadaan terhuyung-hayang, aku bangun mencapai kunci keretaku. Air mata terus mengalir dalam kedinginan pagi itu.

Aku memandu Satria Neo membelah kabus pagi. Jalan sunyi dan lengang sekali. Kepalaku masih lagi pening dan penglihatanku masih lagi kabur oleh kerana kesan minuman keras yang masih lagi bersisa. Sewaktu aku sampai di
Simpang Tiga Morak, sawah padi yang luas di kiri dan kanan jalan, secara tiba-tiba ada sesuatu telah melintas dari kiri ke kanan jalan.

Aku terus memberek sambil mengelak ke kanan menyebabkan kereta yang kupandu itu terbabas dan terus melanggar sebatang pokok sena yang berada di sebelah kanan jalan sebelum berpusing dan terhumban ke dalam sawah. Aku terus tidak sedarkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience