BAB 6

Spiritual Completed 1275

"Siapa?" Soalku.

"Dia hanya memperkenalkan diri sebagai kawan baik Miss Sylvia je." Jawab operator yang ramah itu.

"Ok. Sambungkan saya." Arahku.

"Hello!" Sapaku.

"Hello!" Ulangiku apabila desus nafas sahaja yang kedengaran dihujung talian.

"Hello!" Aku mula naik geram kerana seolah-olah pemanggil tersebut cuba hendak mempermain-mainkan aku.

"Hello! Takkan dah nak marah sayang." Akhirnya suara kedengaran. Aku cuba mengamati suara tersebut sepertinya aku pernah mengenali pemilik suara tersebut.

"Siapa ni?" Tanyaku inginkan kepastian walaupun telah terlintas satu nama dalam benak fikiranku.

"Hai, takkan you dah tak kenal kekasih lama you!" Jawab suara tersebut.

"Micheal!" Bisik hatiku. Memang tepat sangkaanku bahawa itu adalah suara Micheal.

"Apa lagi yang engkau nak daripada aku hah?!" Aku mula hilang sabar. Nampaknya si Micheal ni tidak faham bahasa. Dia tidak putus asa, malah terus cuba untuk meraih kembali cintaku setelah apa yang dia lakukan padaku.

"Janganlah cepat marah sayang. You tak rindu kat I ke? I rindula kemesraan you dulu." Micheal terus bermain dengan kata-kata.

"Persetankan dengan rindu engkau tu!" Jeritku lalu menghempas telefon tu.

Hatiku jadi panas tiba-tiba. Penghawa dingin bilikku gagal menyejukkan kehangatan hatiku pada Micheal. Dia selalu sahaja mengganggu ketenangan hidupku. Memang aku tahu perangai Micheal. Putus asa tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Dia akan terus berusaha walau dengan apa cara sekalipun demi untuk mendapatkan apa yang diinginkannya.

Handsetku berbunyi menandakan aku menerima sistem pesanan ringkas atau sms.

"Jgn ingat kau blh lari dari aku Sylvia !" Mesej ringkas yang berbau ugutan itu telah dihantar oleh Micheal. Terbit rasa gerun dan takut dalam hatiku kerana aku tahu sejauh mana kemampuan Micheal itu.Kerisauanku ini ada asasnya kerana aku pernah melalui masa kemesraan bersama Micheal suatu ketika dulu.

Selepas tamat waktu kerja, aku tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya aku memandu kereta Satria Neo hitamku kearah pasaraya Tesco, sebuah pasaraya yang terbesar di Kelantan. Letaknya di atas perlembahan Sungai Kelantan di sebelah Kampung Sireh. Ia merupakan antara mercu tanda kemajuan Kelantan yang terbaru. Aku bercadang untuk membeli beberapa pakaian baru. Kak Mai menasihatiku supaya memakai pakaian yang lebih sopan dan tidak seksi. Mengikut kata Kak Zu, memakai pakaian seksi bukan sahaja nampak kurang sopan tetapi ia juga boleh menarik perhatian orang-orang yang suka mengambil kesempatan dan berniat jahat seperti perogol dan pencabul kehormatan. Dengan berpakaian sopan, sekurang-kurangnya kita telah menutup satu pintu bahaya ke atas kita. Walaupun agak sukar untuk aku mengubah penampilanku kerana sudah terbiasa begitu sejak sekian lama, namun aku tetap akan cuba sedaya mampuku.

Aku membelek-membelek blaus dan skirt labuh di bahagian ladies. Aku memilih dua helai blaus yang bertali serta boleh diikat di belakang. Satu bewarna hitam berbunga putih dan satu lagi warna pink kosong. Aku juga mengambil dua helai skirt labuh sampai buku lali. Satu berwarna kuning air dan satu lagi warna hitam. Aku juga mengambil sehelai knit top atau singlet untuk dipakai semasa berada di rumah.Aku menuju ke kaunter bayaran. Ketika itu pengunjung tidak berapa ramai kerana sudah hampir waktu maghrib. Hanya dua tiga orang sahaja yang sedang beratur di setiap lorong kaunter bayaran yang berjumlah 15 kaunter itu. Aku tidak perlu untuk beratur lama untuk membayar pakaian yang kuambil itu.

Sewaktu aku melangkah keluar dari pasaraya Tesco itu, senja telah pun berlabuh. Warna kemerahan di ufuk langit menghiasi keindahan alam. Hari mula gelap dan pengunjung juga telah berkurangan. Aku menghampiri keretaku di tempat letak kereta di bahagian bawah pusat membeli belah itu. Sedang aku cuba memasukkan kunci pada pintu kereta, tiba-tiba aku dipeluk dari belakang. Barang-barang yang kubeli serta kunci kereta tercampak atas lantai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience