BAB 16

Spiritual Completed 1275

Semua persiapan untuk upacara masuk Islam diuruskan oleh Abang Qaiser dan Kak Mai sendiri. Aku diberitahu bahawa aku akan di Islamkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat di Masjid Pulau Melaka selepas Solat Jumaat. Yang mendebarkan aku juga, menurut Kak Mai selepas di Islamkan oleh Tuan Guru Menteri Besar aku akan dinikahkan dengan seorang lelaki yang tidak kutahu siapakah identitinya. Ia menjadi tanda tanya yang mendebarkan hatiku.

Kak Mai menyewa set baju warna krim buatku. Dialah yang bertungkus lumus menyediakan termasuklah menjadi jurusolek yang tidak bertauliah. Hari ini dua kejadian penting yang akan berlaku dalam hidupku. Aku akan di Islamkan secara rasmi dan seterusnya diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak kuketahui siapa. Kedua-dua peristiwa penting tersebut akan disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.

Selepas solat Jumaat, rombonganku bertolak dari rumah ke Masjid Pulau Melaka yang letaknya tidak berapa jauh dari rumahku. Kak Zu, mama, papa, Stewart dan isterinya serta beberapa orang kawan Kak Zu. Ramai juga ahli jemaah yang ingin turut serta menyaksikan majlis tersebut. Aku jadi lebih gementar bila semua pasang mata tertumpu ke arahku yang berjalan masuk ke ruang solat masjid tersebut.

Aku dikelilingi para jemaah yang hadir. Ahli keluargaku berada dibelakang, manakala Kak Mai pula berada dikananku. YAB Dato Tuan Guru betul-betul berhadapan denganku.

"Sebelum kita mulakan majlis ini, saya ingin bertanyakan kepada saudari beberapa soalan. Saya ingin mendengar jawapannya dengan penuh jujur dan ikhlas" Tuan Guru merenung kearahku. Para hadirin memerhati dengan penuh tumpuan. Aku hanya sekadar mengangguk.

"Adakah saudari pasti ingin memeluk Islam?" Soal Tuan Guru.

"Saya yakin dan pasti Tok Guru." Jawabku.

"Tiada yang memaksa?" Soalnya lagi.

"Tiada."

"Adakah saudari yakin tiada tuhan yang patut disembah selain Allah."

"Ya, saya yakin."

"Adakah saudari yakin bahawa Nabi Muhammad itu rasul akhir zaman utusan Allah?"

"Ya, saya percaya."

"Jika begitu, ikut apa yang saya ucapkan." Arah Tuan Guru.

Aku menutur perlahan-lahan dan penuh yakin Dua Kalimah Syahadah yang diajar oleh Tuan Guru. Selesai sahaja aku mengucap Dua Kalimah Syahadah, Kak Mai memelukku dengan perasaan terharu. Serentak dengan itu, para jemaah melaungkan takbir bersama linangan air mataku. Aku juga memeluk mama yang kelihatannya terkejut dan terharu. Kemudian Tuan Guru menadahkan tangan membacakan doa. Para jemaah turut mengaminkan doa tersebut. Air mataku semakin laju menuruni tubir mata kerana doa yang Tuan Guru baca itu adalah dalam Bahasa Melayu.

"Sudikah saudari untuk dikahwinkan dengan lelaki ini?" Pertanyaan Tuan Guru itu menyedarkan aku bahawa aku masih punya satu lagi upacara penting.

Aku mengangkat wajahku dan memandang kearah lelaki yang dimaksudkan oleh Tuan Guru itu. Betapa aku amat terkejut melihat lelaki tersebut. Aku terus berpaling kearah Kak Mai yang berada disampingku.

"Sudikah Sylvia jadi adik buat akak dunia dan akhirat?" Tanya Kak Mai dengan mata yang berkaca-kaca. Aku terkedu dengan pertanyaan itu. Tidak aku sangka sama sekali.

"Akak ikhlas?" Tanyaku kembali secara berbisik.

"Ya kerana Allah." Jawabnya.

"Kalau begitu, saya sudi menjadi adik akak dunia dan akhirat kerana Allah." Balasku. Kami berpelukan antara satu sama lain disaksikan puluhan pasang mata yang turut terharu diatas pengorbanan yang telah dibuat itu.

"Saya sedia menerimanya sebagai suami, peneman dan pelindung saya dunia dan akhirat kerana Allah." Itulah jawapan muktamad kuberikan kepada Tuan Guru.

"Aku nikah dan kahwinkan dikau Qaiser Anuar bin Azman dengan Nurul Hidayah binti Abdullah berwakil walikan daku dengan mas kahwin seribu ringgit tunai." Ijab Tuan Guru.

"Aku terima nikahnya Nurul Hidayah binti Abdullah dengan mas kahwin sebanyak yang tersebut." Lafaz qabul yang diucapkan oleh Abang Syamsul. Semua hadirin menjawab 'sah'.

Sekali lagi Kak Mai memelukku erat. Aku membalas pelukan tersebut dengan penuh hiba. Sudah banyak pengorbanan yang dilakukan dua insan ini padaku. Kini mereka berkorban lagi buatku demi kebahagiaanku serta demi kesejahteraan agamaku. Terlalu sedikit wanita yang dengan ikhlas membenarkan suami mereka berpoligami. Terlalu sedikit isteri yang sudi berkongsi kasih suaminya dengan wanita lain kerana Allah.

Abang Qaiser mendekati kami berdua. Dia menghulurkan tangan, aku menyalaminya dan kemudiannya dia mencium dahiku.

"Terima kasih atas segala pengorbanan abang dan akak. Abang dan akaklah saudara saya dunia dan akhirat." Ujarku sebagai tanda terima kasih. Abang Qaiser memeluk kami berdua.

“Abang telah dianugerahkan dua permata yang tiada tandingan dengan seisi dunia. Semoga Allah merahmati dan memberkati keluarga kita.” Ucap Abang Syamsul.

Ya Allah, telah kutemui cahayaMu, maka kekalkanlah sinarnya dalam hidupku. Telah kutemui jalanMu, maka luruskanlah ia buatku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience