BAB 15

Spiritual Completed 1275

"Dalam keadaan seperti Sylvia sekarang ni, akak rasa adalah terlebih baik Sylvia kahwin selepas peluk Islam nanti."

"Ada ke lelaki Islam yang baik sudi menerima saya sebagai isteri sedangkan saya tidak lagi suci?" Air mataku tergenang ditubir mata bila mengenangkan peristiwa itu.

"Sylvia jangan risau, pasti ada lelaki yang baik sudi menerima Sylvia kerana Allah." Yakin Kak Zu.

"Tapi macam mana saya nak kahwin, saya sendiri tidak tahu tentang perkahwinan dalam Islam?" Mana mungkin aku mencari lelaki untuk mengahwiniku seperti perigi mencari timba.

"Serahkan pada akak, biar akak je yang uruskan untuk Sylvia ." Beban fikiranku sedikit hilang dengan janji Kak Mai itu.

Setelah semua persoalan yang menghantui benak fikiranku dirungkai satu persatu dan aku memperolehi jawapannya, tekadku untuk memeluk Islam semakin membara. Kak Mai menghidupkan enjin keretanya dan bertolak untuk menghantarku pulang. Dalam perjalanan Kak Mai singgah sebentar di gerai menjual akhbar dan majalah yang terletak di tepi jalan. Dia membeli dua buah akhbar tempatan. Dia memberikannya kepadaku sementara dia terus memandu.

Aku membelek helaian-helaian akhbar tersebut mencari berita yang menarik. Tiba-tiba mataku terpandang satu tajuk berita di ruangan tempatan "Dua Lelaki Maut Dipanah Petir." Aku meneruskan pembacaan dan sekali lagi ianya membuatkan aku terkejut. Lelaki yang dipanah petir itu adalah seorang sami dan seorang lelaki yang dikenali sebagai Micheal. Aku termenung memikirkan tentang kejadian tersebut. Adakah ianya satu mimpi atau merupakan sebuah realiti? Semasa aku tidak sedarkan diri, memang aku lihat mereka berdua telah dipanah petir sewaktu berlawan dengan Abang Syamsul. Aku fikir ianya hanya sekadar peristiwa yang berlaku dalam kotak fikiran sahaja. Tidak kusangka sama sekali ia merupakan gambaran kejadian yang sebenar.

Terlalu sukar untuk kuluahkan pada mama dan papa mengenai keputusanku yang tekad untuk memeluk Islam. Sebelum ini pun mereka telah menunjukkan sikap konfrantasi mereka terhadapku apabila kunyatakan hasratku itu. Aku pun tidak tahu kenapa mereka terlalu prejudis terhadap Islam. Sedangkan ketika abangku, Stewart memilih Kristian sebagai cara hidup, tiada pun bantahan yang mereka kemukakan. Petang ini aku berkumpul sambil minum petang bersama keluargaku. Stewart pun ada bersama.

"Papa, saya dah tekad untuk peluk Islam." Beritahuku. Papa yang sedang menghirup teh panasnya serta-merta terhenti dan merenung tajam ke arahku. Semua pasang mata merenung tajam ke arahku.

"Apakah kamu dah habis fikir?"Soal papa sambil meletakkan cawan tehnya.

"Ya pa."

"Habis tu macam mana hubungan kita?"Tanya mama pula.

"Mama tak perlu risau. Saya tetap anak mama sampai mati. Islam tak pernah putuskan hubungan antara anak dan kedua ibu bapanya." Aku meminjam kata-kata Kak Mai tempoh hari.

"Tapi kamu tak boleh makan apa yang kami makan." Mama mengemukakan hujah.

"Betul. Ada makanan yang Islam haramkan makan seperti arak, babi dan semua binatang yang tak disembelih. Tapi tak boleh makan makanan tersebut tidak semestinya kita perlu putuskan hubungan kekeluargaan mama." Jawabku.

"Habis tu macam mana kehidupan kamu selepas ini?" Tanya papa pula.

"Selepas peluk Islam, saya akan berkahwin papa." Sekali lagi jawapanku itu membuatkan mereka semua seolah-olah terkejut.

"Kamu nak kahwin dengan siapa?" Soal papa lagi.

"Hanya tuhan yang tahu siapa jodoh saya papa. Setakat ni belum ada lagi." Telah aku serahkan urusan tersebut pada Kak Zu.

"Kalau itulah keputusan kamu, kami tak dapat halang. Tapi kami harap kamu tidak akan buang kami." Jawapan papa itu membuatkan aku tidak dapat membendung perasaanku, lalu tubir mataku digenangi air. Aku bangun memeluk papa dan mama sebagai tanda syukur atas kehendak hatiku itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience