BAB 7

Romance Completed 11098

Air mineral menuruni kerongkongku. Baju sudah basah dengan peluh dan kepalaku berpinar dek terlalu panas. Penat rasanya. Kala aku sudah pulang ke rumah, mataku tertancap pada motorsikal milikku yang tersadai elok di halaman rumah. Entah macam mana Lik boleh membawa motorku pulang tanpa kunci. Dia punya seribu satu akal.

Dalam diam, ada satu rasa bertamu di hati. Rasa yang tidak mampu aku bendung.

“Nenek tengok muka Lik tu, nenek teringat seseorang,” tutur nenek tiba-tiba.

Dahiku berkerut.

Aku tidak dapat mencari kebenaran di sebalik kata-kata nenek. Benar aku tidak pernah melihat seorang Lik. Dia insan asing yang hadir di kala aku tidak mampu menerima sesiapa. Tika ini hati mati. Tika ini aku terluka dengan perbuatan Inayat.

“Maksud nenek?” soalku tidak mengerti.

“Dia macam Zahil.”

Darahku berderau. Riak wajahku berubah.

“Zahil dah lama mati bagi Ai,” tuturku keras.

Lik bukan Zahil Ikhlas. Dia dan Zahil terlalu berbeza!

Sudah lama sebaris nama itu aku lupakan. Aku terlalu bencikan Zahil! Dia yang menyebarkan berita bahawa orang tuaku menghidap HIV sehingga tiada siapa ingin berteman denganku. Aku benci dia. Hingga kini rasa benci itu tidak pernah hilang meskipun sesaat.

Lagipun aku yakin dia bukan Zahil Ikhlas. Lik lelaki yang berbeza.

“Tapi dalam masa yang sama, nenek yakin dia bukan Zahil. Zahil takkan rosakkan majlis akad nikah Ai. Zahil seorang yang sopan.”

Terus aku terdiam.

Memang itu hakikatnya. Aku kenal Zahil dari kecil. Aku masak benar dengan sikapnya. Dia takkan sama sekali membuatkan orang lain merana. Dia terlalu menjaga perasaan orang lain. Malah dia lebih baik berbandingku. Ah! Pedulikan semua itu. Sebaris namanya telah aku padam dan kini nenek tiba-tiba menyebut namanya.

Dan Zahil memanggilku sebagai Ai. Hanya ahli keluargaku dan keluarganya saja memanggilku Ai. Dia dan Lik terlalu berbeza. Hatiku terlalu yakin mengatakan dia dan Lik bukan orang yang sama. Lagipun, nama lelaki tampan itu Lik. Lik! Tiada langsung iras dengan nama Zahil Ikhlas.

Nenek mengorak senyuman kelat. Pasti dia tahu aku tidak suka dengan Zahil Ikhlas.

“Kenapa Ai benci Zahil sangat?”

“Dia beritahu orang lain yang ibu dan ayah ada HIV, nek.”

Laju saja nenek menggeleng.

“Itu hakikatnya, Ai.”

Aku merengus kasar. “Memang itu hakikat tapi dia tak sepatutnya beritahu orang lain sehingga Ai tak ada kawan langsung. Ai benci dia!”

Tapi macam mana kalau Lik memang Zahil? Setahuku, hanya Zahil yang tahu tentang cincin arwah ibu.

LAJU saja aku menolak pintu kaca dan keluar dari 7 Eleven. Kakiku pegun tatkala melihat Lik sedang berdiri di hadapanku sambil melebarkan senyumannya. Mataku jatuh pada wajahnya. Cuba mencari persamaan antara dia dan Zahil. Keningku bertaut seketika. Aku sudah lupa seraut wajah milik Zahil ketika kecil dan aku tidak pernah berusaha untuk mengingati seraut wajah itu.

“My Bilqis kena ingat muka saya sampai bila-bila. Ni muka seorang lelaki yang mencintai my Bilqis.”

“Zahil?” soalku payah.

Dahinya berkerut.

“Kenapa my Bilqis kena sebut nama dia?” Wajahnya masam.

Wajahnya sudah merah tanda menahan amarah. Senyumannya mati begitu saja. Rahangnya turun naik. Mata itu sudah mencerun memandangku. Bibirnya diketap. Langsung dia tidak pedulikan orang yang lalu-lalang.

Aku mati kata.

“Lik ni Zahil ke?” tebakku.

Lelaki itu menyeringai.

“My Bilqis mengarut apa ni?” Suaranya naik satu oktaf.

“Lik ni Zahil ke?” Aku mengulangi soalanku.

“Bukan. Saya bukan dia.”

“Habis nama penuh Lik siapa?”

“Lik,” balasnya sebelum pergi meninggalkan aku sendiri.

Jelas sekali dia marah tatkala aku menyebut nama Zahil. Lik…. siapakah awak sebenarnya? Kenapa masih perlu berahsia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience