BAB 4

Romance Completed 11098

Wajahku disembamkan ke meja. Rambut yang beralun dan panjang aku biarkan lepas. Fikiranku kusut tika ini. Seribu satu persoalan tentang lelaki itu masih belum terungkap. Masih aku ingat dengan jelas senyumannya dan renungannya. Gayanya menyebut namaku seperti dia sudah lama mengenaliku.

Aku hanya seorang wanita biasa yang berumur 24 tahun. Dibesarkan dengan kemewahan dan di saat aku mencecah umur 14 tahun, orang tuaku mati kerana menghidap HIV. Kerana kemewahan, mereka terjebak ke dalam kancah derita. Terlibat dengan najis dadah!

Malah aku pernah melihat mereka menggunakan dadah yang disuntik secara perkongsian. Aku tahu HIV boleh terjadi kerana perkongsian jarum atau syringe yang mengandungi darah yang tercemar dengan HIV, hubungan seksual dengan pembawa HIV, jangkitan daripada ibu yang dijangkiti dengan HIV dan AIDS kepada bayi, transfusi darah dan produk darah yang mengandungi HIV, dan pemindahan organ yang dicemari HIV.

Akhirnya, mereka meninggal dan tika itu juga aku kehilangan segalanya. Aku bukan lagi Bilqis Huraiyah yang bisa memiliki apa saja yang diinginkan. Aku mula belajar untuk hidup susah bersama nenek. Aku mula belajar untuk tegar.

Mula belajar bahawa wang bukan segalanya.

Namun bukan mudah untuk aku melalui hidup ini. Kawan-kawan yang selalu ada di sisi mula meminggirku dek fitnah seorang lelaki dan kebencian yang bertandang di hati ini masih belum hilang.

“Ai.” Terus wajahku dipalingkan. Nenek mengatur langkah mendekatiku.

Bibirku mengoyak senyuman kelat.

“Tadi Inayat datang,” tutur nenek perlahan.

Lidahku kelu. Perit rasanya apabila nenek berbicara soalnya. Aku masih ingat macam mana dengan mudahnya dia membatalkan perkahwinan. Seharusnya lelaki itu mengerti yang aku punya perasaan. Aku hanya manusia biasa.

Inayat Amin hanya masa lalu yang menyakitkan bagiku!

“Dia datang buat apa?” soalku keras.

“Dia minta maaf.”

Aku melakar senyuman sinis.

“Maaf? Selepas apa yang terjadi, dia minta maaf? Dia ingat Ai ni tunggul ke? Dia ingat Ai ni tak ada perasaan ke?”

Jemariku menunjal-nunjal dadaku sendiri. Pedih!

Maaf yang dia hulurkan tidak mampu menghilangkan atau memperbaiki segalanya. Semuanya sudah berakhir. Semuanya sudah musnah. Hatiku sudah mati. Dia tidak memberi waktu untukku supaya aku boleh memberikan penjelasan.

Mudahnya dia mempercayai lelaki yang datang merosakkan majlis akad nikah itu.

“Ai, mungkin ini yang terbaik,” ujar nenek lembut.

“Terbaik? Hati Ai sakit, nenek cakap ini yang terbaik?”

“Bilqis Huraiyah, jangan lupa segalanya. Cara terbaik untuk menghilangkan rasa sakit di hati bukannya marah tetapi memaafkan kesalahannya.”
Sekali lagi aku kehilangan kata.

Pintu rumah diketuk bertalu-talu membuatkan aku dan nenek saling berpandangan. Aku menghela nafas lemah. Entah siapa yang datang tika ini. Yang pasti, aku tidak suka!

DUA orang lelaki yang bertubuh tegap dan seorang wanita yang aku agak dalam lingkungan pertengahan 30-an berdiri di muka pintu. Dahiku berkerut. Tidak aku kenali siapa mereka. Muka mereka bertiga kosong tanpa sebarang riak wajah. Aku meramas hujung baju kurung yang tersarung di tubuhku.

“Cik Bilqis kan?” aju wanita itu perlahan.

Lambat-lambat aku mengangguk.

“Tuan saya nak jumpa cik.”

“Tuan kakak tu siapa?”

“Cik tak perlu tahu.”

Aku menggeleng. Gila! Saat aku cuba untuk menutup ambang pintu, salah seorang daripada lelaki bertubuh tegap itu menahan pintu dengan kakinya. Aku cuba untuk tidak menjerit. Tidak mahu membiarkan nenek risau.

Wanita itu menolak ambang pintu dan berdiri di hadapanku. Jantungku berdetak laju. Pucat wajahku. Khuatir mereka melakukan perkara yang tidak diingini kepadaku dan nenek. Aku menapak ke belakang dan mula untuk mengatur langkah namun dirasakan seperti benda tajam mencucuk pinggangku. Nafasku tidak teratur. Peluh dingin mula merenik di dahiku.

“Cik jangan takut. Kami bukannya nak buat apa pun. Kami hanya nak bawak cik jumpa tuan. Itu saja.” Wanita itu cuba berdiplomasi denganku.

Terus aku menggeleng.

“Saya tak nak.”

Bibir wanita itu didekatkan dengan pelupuk telingaku yang terselindung dek tudung yang dipakai.

“Kalau cik tak nak, mungkin nenek cik yang ada di bilik tu akan mati dalam masa beberapa saat lagi dan saya tak jamin cik pun akan hidup,” bisiknya lembut namun penuh dengan nada ugut. Wajah itu kosong tanpa riak.

Kerongkongku terasa perit mendengar ugutannya. Aku tahu wanita ini tidak membohongiku. Tanganku sudah ketar.

“S… saya ikut.”

Tika itu juga benda tajam yang singgah di pinggangku diturunkan. Aku menghela nafas lega.

“Nek, Ai keluar kejap,” laungku dalam resah.

“Jangan balik lewat!”

“Baik, nek.”

Wanita itu mencapai jemariku lalu menarikku. Memaksa aku membuntuti langkahnya dan dua orang lelaki yang bertubuh tegap berjalan di belakangku. Benar-benar membuatkan rasa takut menghentak tangkai hatiku.

Entah apa yang bakal terjadi nanti. Adakah tuan yang dimaksudkan ialah lelaki yang merosakkan majlid akad nikahku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience