BAB 14

Romance Completed 11098

Tahun demi tahun berlalu. Meninggalkan detik yang menyakitkan dulu. Kali terakhir aku berjumpa Lik ketika aku berusia 24 tahun. Kini aku sudah 26 tahun. Mungkin dia bukan untukku lagi. Mungkin sudah tertulis, dia bukan jodohku.

Zahil Maalik. Sebaris nama yang tidak pernah padam dari ingatanku.

“Bila Ai nak kahwin? Ai tu bukan makin muda. Makin tua!” Sedari tadi nenek membebel.

Aku membisu. Wajahku dipalingkan. Pandanganku kosong. Tiada langsung rancangan yang menarik di kaca televisyen.

Bagaimana aku ingin kahwin jika hatiku sudah mati? Bagaimana aku ingin kahwin jika sebaris nama itu tidak pernah terpadam? Waktu tidak mampu merawat segalanya. Malah waktu tidak mampu membuatkan aku melupakan dia.

Sukar rasanya menjalani hidup ini. Terlalu sukar.

“Ai, lupakan saja si Lik tu. Entah-entah dia dah kahwin.”

Bibirku mengoyak senyuman kelat.

“Sampai bila Ai jadi macam ni?” keluh nenek lemah.

“Sampai bila-bila,” gumamku rendah.

Mata nenek membulat.

Salahkah aku berharap?

Bilqis Huraiyah sudah rebah. Sudah terjatuh mungkin.

Jari-jemariku dicapai lalu diletakkan di atas ribanya. Wajah yang sudah dimamah usia itu aku pandang sekilas. Aku tahu nenek mahu aku hidup bahagia. Aku tahu nenek mahu aku menjadi seorang isteri tapi semua itu bagaikan tidak boleh berlaku.

“Dia mungkin dah kahwin, Ai. Mungkin dah ada isteri. Dah ada anak. Ai pun kena jadi macam tu. Kena ada suami, kena ada anak.”

“Ai tak mampu!”

“Ai mampu kalau Ai lupakan dia. Lik tu mungkin bukan jodoh Ai,” ujar nenek lagi.

“Ai nak keluar.”

Aku bingkas bangun dan mengatur langkah meninggalkan nenek. Jika nenek berbicara soal ini, pasti aku akan melarikan diri. Lari daripada kenyataan yang menyakitkan!

AKU menyeringai. Mataku jatuh pada telapak tanganku yang sudah terluka gara-gara terkena tar. Bibirku diketap. Cuba menahan sakit yang ditanggung. Simbahan sang suria terkena wajahku. Kepalaku berpinar lagi.

“Maafkan saya,” ujar suara yang melanggarku.

Wajahku diangkat sedikit. Seorang wanita yang aku agak sebaya denganku melutut di hadapanku. Ada nada bersalah dalam bicaranya. Seraut wajah yang manis.

Laju saja aku menggeleng. Bibirku mengoyak senyuman nipis.

“Saya tak apa. Sikit je ni.”

“Mari saya tolong,” tuturnya di kala melihat aku terkial-kial bangun.

Tangannya dihulurkan untuk membantu aku bangun. Mataku mengerling hujung kainku yang terkoyak sedikit.

“Terima kasih.”

“Sama-sama. Saya pergi dulu ya. Sekali lagi saya minta maaf.”

Aku mengangguk. Kemudian wanita cantik itu melangkah pergi. Ekor mataku menghantar kepergiannya. Dari jauh aku lihat dia sedang mendekati seorang lelaki yang sedang berdiri sambil mendukung anak kecil.

Tanpa sedar, aku mengoyak senyuman mekar. Pasti wanita itu sedang diulit bahagia. Tidak sepertiku. Hanya rasa sakit yang bertamu di hati ini.

Langkahku mati di sini. Masih leka memerhati wanita itu.

Darahku berderau di kala lelaki itu berpaling. Kelopak mataku kian hangat. Tidak aku pedulikan manusia yang berpapasan denganku. Air liur terasa kesat. Segaris senyuman tersungging di bibirku. Aku menggeleng. Menafikan segala apa yang terbias di kornea mataku.

Pandanganku dan lelaki itu bertaut lama. Bibirnya digerakkan. Seperti menyebut sebaris namaku. Jika dia sendirian tika ini, pasti aku akan mendekati lelaki itu.

Kata-kata nenek bermain di fikiranku.

“Dia mungkin dah kahwin, Ai. Mungkin dah ada isteri. Dah ada anak. Ai pun kena jadi macam tu. Kena ada suami, kena ada anak.”

Lelaki itu tidak berubah. Masih sama seperti dulu. Hanya hatinya yang berubah.

“Terima kasih kerana dah buat hati saya mati,” gumamku sebelum berpaling dan tidak menoleh lagi.

Untaian hangat mula merembes laju. Dia sudah kahwin. Sudah ada anak. Sudah ada isteri. Inikah takdirku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience