BAB 10

Romance Completed 11098

Aiskrim coklat dihulurkan kepadaku. Bibirku melakar senyuman manis. Lik turut melemparkan senyuman.

“Jangan tenung Zahil lama-lama. Nanti Zahil pengsan sebab Ai cantik sangat,” guraunya.

Bibirku dicebik. Terus aku mencapai aiskrim meskipun aku tiada selera untuk makan. Mataku melingas kiri dan kanan. Memandang gelagat lautan manusia pada hujung minggu di Star Parade.

Sudah beberapa bulan aku cuba menghilangkan rasa benci di hati dan kini aku berjaya.

“Ai tahu kan yang Zahil sayangkan Ai?” soalnya lembut.

Lambat-lambat aku mengangguk.

“Ai tahu kan yang Zahil sanggup buat apa saja demi Ai?”

“Tahu.”

Wajahnya tidak aku pandang. Aku melontarkan pandangan ke depan. Entah apa yang aku rasa ketika ini namun kata-katanya benar-benar membuatkan aku tidak sedap hati.

Pandangan yang kosong. Aku tahu lelaki itu cintakan aku. Aku tahu lelaki itu sanggup melakukan apa-apa saja untukku. Di mana saja aku melangkah, pasti dia akan ada sama. Dia bagaikan sebahagian dariku.

Bagaikan bayang-bayang Bilqis Huraiyah yang lebih kuat dan romantis.

“Janji dengan Zahil walau apa pun yang terjadi, Ai harus hidup bahagia. Jangan pernah nangis dan derita lagi,” tuturnya lembut.

“Janji!”

Dia tersenyum.

“Kenapa Lik pelik sangat ni?” ajuku hairan.

“Ai, jangan panggil Lik. Panggil Zahil,” tegurnya.

“Tak nak. Nak panggil Lik juga. Saya kenal Lik sebagai Lik dan bukannya sebagai Zahil Ikhlas.”

Jujurnya, aku tidak suka memanggilnya Zahil. Aku lebih betah memanggilnya sebagai Lik. Lik yang aku suka. Lik yang aku cinta. Lik yang memanggilku, my Bilqis. Aku rindukan Lik dan aku tidak inginkan Zahil Ikhlas meskipun mereka orang yang sama.

Getar di hati sangat berbeza.

“Ai, Lik dan Zahil orang yang sama.”

“Saya tahu tapi saya lebih selesa panggil Lik,” balasku keras.

Lidahnya bagaikan kelu. Terus dia mendiamkan diri. Aku juga begitu. Leka melayan perasaan masing-masing.

Rambutnya dilurut kasar. Aku pandang aiskrim yang belum terusik dan sudah cair.

“Kenapa saya rasa Lik macam berubah?”

Keningnya dijongketkan.

“Kenapa Ai cakap macam tu?”

“Dulu Lik panggil my Bilqis. Sekarang Lik panggil Ai,” jawabku telus.

Pecah tawanya. Dahiku berkerut.

Aku rasa aku bukannya bergurau. Serius saja nadaku sebentar tadi dan kini dia tertawa. Soalan yang sepatutnya dijawab dan bukannya dibiarkan sepi dengan tawa yang masih berbaki. Aku merengus geram.

Aiskrim di tanganku dirampas lalu dimakan. Seketika kemudian, dia memandangku.

“Sekarang dan dulu berbeza.”

“Apa yang beza?”

“Dulu Ai tak tahu yang Zahil ni Zahil Ikhlas. Sekarang Ai dah tahu jadi dan sebenarnya Zahil lebih selesa panggil Ai.”

Bibirku mengoyak senyuman kelat. Aku lebih suka jika dia memanggilku my Bilqis. Mungkin kerana selama ini tiada siapa memanggilku begitu.

“Kenapa Lik beritahu siapa Lik tiba-tiba saja?”

Hairan juga. Tiba-tiba dia mengaku dia seorang Zahil Ikhlas meskipun hatiku masih waswas dengan kata-katanya. Namun aku harus percaya dengan kenyataan itu. Aku mencintai seorang Zahil Ikhlas! Ya. Aku cintakan dia.

Kakiku terjuntai jatuh dari bangku. Sudah lama aku dan dia berada di sini.

“Kerana bagi Zahil, sudah tiba masanya untuk Zahil beritahu Ai yang Zahil ni sebenarnya Zahil Ikhlas.”

Dahiku berkerut.

“Tak rasa Lik beritahu terlalu cepat?”

Lelaki itu menggeleng.

“Sudah tiba masanya, Ai. Ai, esok kita jumpa depan Masjid Zahir boleh?”

“Depan Masjid Zahir?”

“Seberang jalan Masjid Zahir. Tempat orang duk buat photoshoot tu. Boleh? Waktu malam. Tapi Ai jangan datang dulu. Nanti Zahil suruh orang pergi ambik,” ujarnya serius.

“Okey.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience