BAB 16

Romance Completed 11098

Disember, 2012

Maizan Balqis masih lena dibuai mimpi. Jemariku menyapa pipinya yang hangat. Aku membongkokkan tubuhku lalu mengucup ubun-ubunnya lembut. Langsung dia tidak terjaga. Terus saja tidur usai menyusu.

“My Bilqis….”

Aku berpaling. Lik mendekatiku dan pinggangku dirangkulnya. Sepasang mata bening itu bercahaya. Matanya jatuh pada wajah Maizan Balqis. Bibirnya mengorak senyuman manis. Kemudian jemarinya singgah di pipiku.

“Muka dia sama macam my Bilqis,” bisik Lik lembut di cuping telingaku.

“Memanglah sama. Kan Bilqis ibu dia.”

Laju saja dia mengangguk. Rambutku yang terjatuh di dahi diselakkan ke belakang telinga. Leka saja dia memerhatiku.

Zahil Maalik. Satu-satunya insan yang memanggilku my Bilqis. Satu-satunya insan yang berjaya membuatkan hati ini hidup semula. Ada di kala susah dan senang. Bapa kepada anakku, Maizan Balqis. Suami kepada diriku, Bilqis Huraiyah.

Daun pintu diketuk berkali-kali. Dahiku berkerut. Lik menepuk dahinya.

“Abang terlupa yang Zahil datang,” keluhnya sebelum meleraikan pautan dan mengatur langkah ke pintu.

Aku capai tudung dan sarungkan ke kepalaku.

Tersembul wajah Zahil, Nadrah dan si kecil, Safra.

Mujur tudungku masih melekat di kepala. Aku mendekati mereka. Tangan dihulurkan untuk bersalam dengan Nadrah.

“Apa khabar, maduku?” usiknya.

Pecah tawa Zahil dan Lik. Aku menggeleng.

Masih geram dengan Lik sebenarnya. Kata-kata Lik saat aku dan dia bertemu masih terngiang-ngiang di telingaku.

“Tak apa. Dia mesti sanggup bermadu!”

Walhal Nadrah bukannya isteri Lik dan Safra bukan anak mereka berdua. Sebenarnya anak Nadrah dan Zahil Ikhlas! Suka benar Zahil Maalik mengusikku.

Tika itu aku sudah berjanji kepada diriku sendiri untuk tidak mencintai Zahil Maalik lagi namun beberapa hari kemudian, aku terserempak dengan Zahil Ikhlas, Nadrah dan Safra yang sedang memilih pakaian di mall.

“Boleh pulak Ai percaya,” tokok Zahil Ikhlas.

“Masa tu dia dah tolak Along tau. Along blur gila. Lepas tu teringat yang dia jumpa Along tengah dukung Safra sambil cakap dengan Nadrah.

Patutlah menangis sorang-sorang tengah hujan.”

Laju saja tanganku singgah di lengannya. Dia menyeringai.

Wajah milik Lik sudah merah padam menahan tawa.

Kan bagus kalau tika itu dia terangkan dia masih belum berkahwin. Ini tidak. Berkata-kata seperti dia sudah mempunyai anak dan isteri.

“Kesian Ai. Tak baik Along buat dia macam tu.” Nadrah pula berkata-kata.

“Dia yang mula dulu. Along tambah perisa je.”

“Abanglah. Sakit hati Bilqis,” rungutku.

“Janganlah sakit hati. Nanti abang pun sakit hati sama.”

Hidungku dicuitnya. Zahil dan Nadrah menggeleng. Faham sangat dengan perangai Zahil Maalik.

Inilah kebahagiaan yang aku tunggu selama ini. Larilah ke hujung dunia, jika dia jodoh kita, pasti akan bertemu jua. Aku bahagia dengan takdir-Nya. Aku jangka aku tidak akan bersamanya namun dia tetap bersama denganku hingga kini.

Kasih sayang yang tidak pernah hilang meskipun sesaat malah semakin bercambah.

“Ni yang malas datang sini. Asyik tengok Along dengan Ai beromantika.”

“Nak buat macam mana. Berpisah lama sangat.”

“Selama ni Zahil suruh Along tegur Ai, tak nak. Duk perhati dari jauh. Padan muka. Diri sendiri yang rugi!”

“Biarlah. Sekurang-kurangnya sekarang aku dah kahwin. Betul tak, my Bilqis?” soalnya manja.

Aku mengangguk. Mengiyakan kata-katanya. Selama ini dia hanya memerhatiku dari jauh. Bertahun-tahun waktu terbuang begitu saja hanya kerana takut untuk menyapaku. Ada juga rasa takut meskipun aku mengenalinya sebagai seorang lelaki yang tegar dan pantang mengalah.

DARI jauh aku memandang Maizan Balqis. Masih lagi tidur. Terus aku melarikan pandangan dan menengadah langit malam. Jemariku memegang hujung bangku. Angin mula menyapa dua lekuk pipi. Malam yang indah dan tenang.

Pinggangku dirangkul dari belakang. Langsung aku tidak menoleh. Tahu benar insan yang merangkul pinggangku ialah Lik. Seketika kemudian dia mengambil tempat di sisiku. Aku memandang wajah tampan itu sekilas. Bibirnya mengorak senyuman manis. Senyuman yang takkan pernah aku lupakan meskipun sesaat.

“My Bilqis cantik sangat,” pujinya.

“Tahu!”

Mulutnya dijuih.

“Tak baik tau perasan.”

“Abang yang cakap Bilqis cantik. Bilqis pun iyakan saja,” jawabku petah.

Lelaki itu menggeleng mendengar kata-kataku. Bahuku ditarik dan terus kepalanya terlentok di dadanya yang bidang. Rasa selesa tika ini. Rasa aman. Jemarinya singgah pula di kepalaku. Rambutku dielus lembut. Hanya kedengaran desahan nafasku dan dia.

Zahil Maalik suamiku. Hadir dengan menggunakan nama Zahil Ikhlas dalam hidup seorang Bilqis Huraiyah. Malangnya aku tetap mencintai dia sebagai seorang Lik.

Dia melepaskan tawa kecil. “My Bilqis memang cantik pun. Sebab tu dia jadi isteri abang.”

“Abang kahwin dengan Bilqis sebab Bilqis lawa eh?” tebakku.

“Tak, sayang. Abang kahwin dengan my Bilqis sebab my Bilqis jodoh abang.”

“Bilqis tahu. Saja je tanya,” tuturku perlahan.

Kepalaku diusap berkali-kali.

“My Bilqis suka abang sejak bila?”

Bahuku dijongketkan.

Sebenarnya tiada jawapan untuk soalan itu. Tiba-tiba saja aku mencintainya. Rasa yang hadir tanpa aku sangka mahupun halang.

Aku menoleh ke belakang. Memandang segenap ruang bilik yang digantung dengan potretku. Indah benar hasil kerjanya. Berjiwa seni. Aku hanya mampu menghargai setiap lukisan kerana aku tidak pandai melukis.

Ini kisah cinta aku dan Zahil Maalik. Bertemu buat kali pertama di kala aku hampir menjadi isteri Inayat Amin. Inayat. Sudah berkahwin dan mempunyai anak. Aku tidak menyalahkan dia atas apa yang berlaku. Ini yang ditakdirkan untukku.

“Abang cintakan Bilqis sejak bila?” ajuku ingin tahu.

“Sejak kecil. Saat pertama kali my Bilqis lahir ke dunia ini, abang dah sukakan my Bilqis. Tapi sayangnya my Bilqis tak kenal abang. My Bilqis hanya kenal Zahil Ikhlas.”

“Tipulah suka Bilqis sejak kecil,” nafiku sebelum tertawa.

Lelaki itu menggeleng. Bagaikan dia serius dengan kata-katanya.

“Tak tipu, sayang. Masa di hospital, abang pergi tengok dengan mama dan papa. Masa tu abang baru umur lima tahun. Abang cakap kat diri sendiri yang abang nak kahwin dengan my Bilqis bila besar nanti namun banyak rintangan yang harus abang lalui sebelum dapat bersama my Bilqis.

Dan sekarang abang bahagia menjadi suami my Bilqis,” terangnya. Sepasang mata bening itu bercahaya.

Wajahku diangkat. Ubun-ubunku tersentuh hujung dagunya. Anak mata itu menerobos dalam anak mataku.

Memang aku hanya mengenali Zahil Ikhlas dulu. Nama Zahil Maalik sangat asing dalam hidupku. Dan Zahil Ikhlas tidak pernah bercerita dia mempunyai seorang abang yang penyayang dan prihatin. Ah! Mungkin juga kerana aku tidak pernah bertanya.

Zahil Maalik menunduk dan mengucup ubunku lama. Kelopak mataku tertutup rapat. Pelukan dieratkan.

“Abang cintakan my Bilqis. Abang hadir dalam hidup my Bilqis di kala my Bilqis tidak mampu menerima sesiapa. Abang pernah buat hati my Bilqis mati dan sekarang, abang buat hati my Bilqis hidup semula. Abang bahagia.”

“Bilqis pun bahagia.”

Lidahku kelu seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri.

“Abang….”

“Ya, my Bilqis.”

“Bilqis teringin nak dengar abang nyanyi lagu masa abang lamar Bilqis dua tahun lepas. Tolong nyanyi,”pintaku lembut.

Aku pasti tika ini bibir itu sedang mengorak senyuman.

Mengenali seorang Zahil Maalik bukan satu kesilapan. Bukan juga satu kebetulan. Takdir…

“Sekeping hati itu telah dicuri. Namun dalam diam hati itu mati. Dan aku datang berikan cinta. Di kala dia tidak mampu menerima sesiapa.” Gemersik suara itu menampar gegendang telingaku.

Sekeping hati milikku telah dicuri. Namun dalam diam hati ini mati. Dan dia datang berikan cinta. Di kala aku tidak mampu menerima sesiapa.

“Aku bukan sempurna. Jauh sekali punya harta. Tapi aku akan selalu ada. Di saat hatinya terluka,” sambungnya lagi.

Dia bukan sempurna. Jauh sekali punya harta. Tapi dia akan selalu ada. Di saat hatiku terluka.

“Oh… tika itu hati mati. Tika itu dia menangis hiba. Malam ini, dia harus gembira. Dan hatinya akan hidup semula.”

Tika itu hati mati. Tika itu aku menangis hiba. Malam ini, aku harus gembira. Dan hatiku akan hidup semula.

“Bilqis Huraiyah…. sudikah menerima cintaku ini? Supaya nanti kita akan bersama. Bercinta hingga ke akhir nyawa.”

Nyanyiannya tamat dalam sepi malam. Kelopak mataku terus terbuka. Aku menepuk tanganku berkali-kali. Lagu yang sama, rasa yang sama. Hatiku berbunga-bunga.

Dulu dia orang asing dalam hidupku. Orang asing yang aku cinta. Kini dia suamiku. Suami yang aku cinta hingga ke akhir usia. Hingga jantung ini berhenti berdegup dan nadi ini berhenti berdenyut. Tiada siapa yang mengerti rasa di hati melainkan Yang Esa.

Bibirku didekatkan dengan cuping telinganya. “Bilqis Huraiyah sudi menerima cinta seorang Zahil Maalik supaya kita akan bersama. Insya-Allah bercinta hingga ke akhir nyawa.”

“You’re my Bilqis Huraiyah.”

“And you’re my Zahil Maalik,” balasku.

Tika itu hati mati. Tika ini hatiku hidup semula.

Ya Allah, berkatilah rumah tangga aku dan dia. Tegarkanlah aku dalam meredah jalan yang berliku.

Ini kisah seorang Bilqis Huraiyah dan seorang Zahil Maalik. Berkali-kali diduga. Berkali-kali hati ini mati namun kini aku bahagia. Menjadi seorang isteri, menjadi seorang ibu kepada anak Zahil Maalik dan menjadi pendamping dirinya hingga ke akhir nyawa.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience