BAB 13

Romance Completed 11098

?Daun pintu diketuk berkali-kali. Aku membisu. Langsung tidak menyahut panggilan nenek. Hatiku benar-benar kosong. Mataku sudah lebam kerana terlalu banyak menangis. Bibirku sudah pecah dan wajahku muram sepanjang masa. Tika ini hati mati. Hati yang baru ingin hidup sudah mati semula. Lik pergi meninggalkan aku dengan seribu satu teka-teki yang tidak dapat diselesaikan.

Jari-jemariku disulamkan sesama sendiri. Aku kemudian merebahkan diri di atas katil. Kelopak mataku tertutup rapat. Penat rasanya menempuh jalan yang berliku. Penat rasanya apabila terluka.

“Ai kalau tak buka pintu, nenek masuk.” Lidahku tetap kelu. Kelopak mataku terus terbuka.

Dan sesaat kemudian, daun pintu dikuak. Tersembul wajah nenek dengan segaris senyuman di bibirnya. Wajahku dipalingkan.

Kakiku menapak mendekatiku dan nenek melabuhkan punggung di birai katil.

“Sampai bila Ai nak jadi macam ni?” soal nenek sayu.

Soalan itu aku biarkan tidak bersambut.

Tiada jawapan untuk soalan itu!

Sejujurnya, aku tidak tahu apa yang berlaku. Aku tidak tahu mengapa ada lelaki lain menggantikan tempat dia di kala aku hampir menjadi Puan Bilqis Huraiyah. Mujur aku cam suaranya. Jika tidak, pasti aku sudah bergelar seorang isteri.

“Nenek tak suka tengok Ai macam ni. Ai nampak lemah. Makan pun tak nak. Sudahlah. Mungkin dia bukan jodoh Ai.”

Terus air mataku merembes keluar. Nenek menghela nafas lemah.

“Ai, tak payahlah nangis.”

Kata-kata nenek langsung tidak membuatkan esakanku terhenti malah semakin menjadi-jadi. Dulu saat pernikahanku dan Inayat tidak terjadi, aku tidak seperti ini. Kejadian yang sama berulang namun perasaan yang berbeza.

Inikah Bilqis Huraiyah yang sebenar?

Aku rindukan dia. Aku ingin bersamanya.

Namun mengapa dia harus menghukumku sebegini rupa?

Dulu dia datang berikan cinta di saat aku tidak mampu menerima sesiapa. Kini dia pergi meninggalkan cinta di saat aku sedang bahagia.

Adakah ini yang dia inginkan?

“Bilqis Huraiyah, Zahil datang,” ujar nenek lagi.

Esakanku mati. Aku bingkas bangun. Mataku membulat. Segaris senyuman tersungging di bibirku.

“Nenek tak tipu Ai kan?” ajuku menginginkan kepastian.

Laju saja nenek mengangguk. Hujung jemariku mengesat untaian hangat yang kian kering. Nenek hanya memerhati tanpa sepatah kata. Aku mengorak senyuman manis.

SEPASANG mata milikku pasti bercahaya tika ini. Aku mengatur langkah mendekati dirinya yang berdiri membelakangiku. Senyumanku semakin mekar. Hatiku berdetak laju juga berbunga riang. Akhirnya dia datang juga. Aku tidak akan menyalahkan dia. Aku tidak akan membenci dia.

“Lik…”

Terus lelaki itu berpaling. Senyumanku mati.

Laju saja aku memalingkan tubuhku dan melangkah namun dia menyambar pergelangan tanganku. Langkahku terus mati. Aku merentap tanganku kembali. Lelaki itu menghalang laluanku. Aku merengus kasar.

“Ai, duduk dulu. Ada benda Zahil nak cakap,” tuturnya lembut.

“Saya tak ada benda nak cakap dengan awak,” ujarku keras.

“Kalau pasal Lik?” duganya.

Aku terdiam. Lambat-lambat aku melabuhkan punggung di atas sofa. Bibirnya mengorak senyuman senang.

Hatiku resah menanti lelaki ini memuntahkan aksara. Aku ingin tahu soal Lik. Dan siapa sebenarnya lelaki ini? Seraut wajahnya ada iras wajah Lik namun mereka punya mata dan alis yang berbeza. Sepertinya aku pernah melihat wajah ini. Ya! Wajah ini bagaikan wajah Zahil Ikhlas ketika kecil. Aku semakin keliru.

“Ai kenal saya siapa?”

Bahuku dijongketkan. Dia tersenyum.

“Ni Zahil. Zahil Ikhlas,” terangnya.

“Tipu!”

“Zahil tak tipu. Selama ni, yang ada di depan mata Ai bukan Zahil tapi dia.”

Sungguh aku mengerti siapa si dia yang dimaksudkan itu.

Lik yang aku suka, Lik yang aku cinta. Lik yang memanggilku sebagai my Bilqis.

“Kalau ini memang Zahil, Lik tu siapa?” soalku perlahan.

Lelaki tampan itu membisu seketika. Lengannya digaru berkali-kali. Memang lelaki ini bagaikan Zahil Ikhlas ketika kecil. Ya! Aku tidak dapat mencari seorang Zahil Ikhlas dalam diri Lik namun aku diamkan saja.

Dia menghela nafas lemah. “Zahil Maalik.”

Keningku bertaut. Menagih penjelasan daripada lelaki di hadapanku ini.

“Dia tu Zahil Maalik. Orang panggil dia, Lik. Dia abang Zahil,” tutur lelaki itu.

“Jadi awak ni Zahil Ikhlas?”

Laju saja lelaki itu mengangguk.

Aku menghela nafas lemah. Tubuhku aku sandarkan pada sofa. Berpinar kepalaku mendengar penjelasannya. Semua ini hanya membuatku semakin keliru. Zahil Ikhlas, Zahil Maalik. Benarkah apa yang diperkatakan ini?

Jika benar insan yang aku cinta itu bernama Zahil Maalik, mengapa aku tidak mengenalinya?

“Kenapa saya tak tahu Zahil ada abang?” gumamku rendah.

“Dulu dia tak duduk dengan mama dan papa. Dia duduk dengan nenek.”

Bibirku diketap.

“Zahil tak tipu saya kan?”

“Ai, Zahil tak tipu. Dia memang Zahil Maalik. Zahil sebenarnya baru balik dari Jepun masa dia suruh Zahil gantikan dia masa perkahwinan tu. Zahil rasa bersalah. Dia terlalu banyak berkorban demi Zahil. Dan Zahil tahu dia buat semua ni demi Zahil meskipun Zahil tak minta semua ni berlaku.

Mujur Ai perasan apa yang berlaku. Kalau tak, kita dah jadi suami isteri. Zahil tak boleh bersama dengan orang yang tidak mencintai Zahil.”

Zahil Maalik. Sebaris nama yang asing dalam hidupku namun aku kenal dia. Mengenali dia sebagai seorang Zahil Ikhlas! Aku tidak pasti mengapa dia tidak memberitahu perkara yang sebenar. Aku tidak tahu mengapa dia pergi meninggalkan aku sendiri.

Memang aku mencintai seorang Lik dan bukannya seorang Zahil Ikhlas.

“Kenapa dia cakap dia Zahil Ikhlas?”

“Semua ni salah Zahil. Dulu Zahil pernah cakap dekat dia yang Zahil cintakan Ai. Dia beritahu Zahil yang dia akan bantu Zahil. Dia akan pura-pura jadi Zahil dan Ai akan jatuh cinta pada Zahil yang palsu. Lepas tu, waktu akad nikah dia suruh Zahil pergi dan bukannya dia.

Dia suruh Zahil duduk membelakangi Ai waktu akad nikah supaya Ai takkan perasan tapi Ai tetap perasan. Zahil rasa bersyukur sangat Ai perasan. Hati Ai bukan milik Zahil tapi milik dia,” tuturnya sambil mengoyak senyuman nipis.

Mungkin kerana itu, dia menyuruhku mencintainya sebagai Zahil Ikhlas dan bukannya sebagai seorang Lik. Kenapa aku tidak perasan? Kenapa terlalu mudah aku menganggap dia seorang Zahil Ikhlas? Bilqis Huraiyah terlalu mudah untuk dibohongi.

Aku meraup wajahku. Berat kepalaku tika ini. Luluh hatiku. Pengorbanan seorang Zahil Maalik yang hanya membuatkan aku terluka. Tika ini hati mati. Mati gara-gara perbuatannya!

Soal hati dan perasaan tidak boleh dipaksa.

“Maknanya, lukisan di bilik kat rumah Zahil, Zahil yang lukis?”

Zahil menggeleng.

“Dia yang lukis.”

“Dan sebenarnya dia tak pernah cintakan saya selama ni? Dia pura-pura cintakan saya bukan?” tebakku dalam pilu.

“Zahil tak tahu.”

Zahil Maalik hanya berpura-pura selama ini. Berpura-pura mencintaiku. Berpura-pura selalu ada untukku. Ah! Bilqis Huraiyah terlalu naif. Dia hanya menipu dan senang-senang saja aku percaya. Saat dia melamarku, mudah saja aku terima.

Mengapa harus melukaiku?

Mengapa harus membiarkan hati ini kembali mati?

Mungkin ini yang terbaik, Bilqis Huraiyah.

“Zahil tahu dia kat mana sekarang ni?”

“Maaf. Zahil tak tahu. Lepas dia suruh Zahil gantikan tempat dia, dia terus pergi hilangkan diri.”

“Tak apa. Kalau jumpa dia nanti, beritahu dia yang saya ucapkan terima kasih,” tuturku sambil melebarkan senyuman.

Perlahan-lahan aku bangun.

“Untuk apa?” tanya Zahil Ikhlas hairan.

“Sebab dah buat hati saya mati semula.”

Kemudian aku mengatur langkah meninggalkan lelaki itu.

Terima kasih, Zahil Maalik kerana buat saya macam ni. Sebelum ucapkan sayang dulu, awak sepatutnya fikir. Kalau awak tak ucapkan sayang dulu, mungkin hati saya tak sesakit ini. Sudah dua kali akad nikah dibatalkan. Salah sayakah semua ini terjadi? Sampai hati awak buat saya macam ni. Saya bukannya barang mainan.

“Ai…”

Tubuhku dipalingkan. Zahil bangun dan mendekatiku. Dia keluarkan sesuatu dari kocek jeans yang dia pakai. Sorotan matanya buat aku terdiam. Lelaki itu senyum dan aku kaku. Jari-jemariku jadi dingin. Tubuhku menggeletar.

“Abang Lik suruh saya bagi balik cincin ni.”

Cincin milik arwah ibu diletakkan di atas telapak tanganku berhati-hati supaya tak tersentuh telapak tanganku.

“Though I love you, I don’t own your heart.”

“Abang Lik owns your heart, Ai.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience