BAB 3

Romance Completed 11098

Langkahku pegun di hadapan rumah nenek. Bibirku koyak senyuman nipis. Lelaki berkaca mata itu terus pergi beberapa minit selepas dia tuturkan kata tanpa sempat aku tahu namanya. Sudah beberapa hari selepas kejadian itu berlaku tapi hatiku masih terluka. Aku tak peduli dengan persepsi orang lain. Kutahu banyak mulut akan mencanang kejadian tersebut tapi aku tak mampu menutup mulut orang lain.

“Ai, pergi masuk.” Nenek yang baru pulang dari pasar berdiri di sisiku.

Aku menghela nafas panjang sebelum menggeleng.

“Nenek masuklah dulu. Ai nak duduk kat luar kejap.”

Sejak aku pulang dari mall pagi tadi, aku langsung tak masuk ke dalam rumah.

Aku perlukan waktu untuk bertenang.

Gara-gara kedatangan seorang lelaki yang mendakwa dia ayah kepada anak yang aku kandung, akad nikah dibatalkan. Dalam sekelip mata, semuanya musnah. Inayat langsung tak mempercayaiku. Langsung tidak mendengar penjelasanku. Mungkin itu hak dia dan aku hanya mampu terima semua ini.

Takdir yang Allah bagi dah elok. Aku hanya hamba yang lemah yang tidak seharusnya mempersoalkan takdir Yang Esa.

“Ai jangan sedih-sedih. Kalau ada apa-apa masalah, beritahu nenek.”

Aku angguk.

“Nenek masuk dulu ya,” ujar nenek.

Nenek masuk ke dalam rumah dan aku duduk di atas kerusi. Kedua-dua belah tanganku diletakkan di atas riba. Hujung kakiku menyentuh lantai.

“Ai!”

Aku berpaling. Jeritan nenek membuatkan hatiku berdetak laju. Khuatir berlaku perkara yang tidak diingini kepada nenek. Aku hanya ada nenek. Jika dia pergi meninggalkan aku, aku pasti akan sendiri. Aku bingkas bangun.

Kakiku semakin pantas melangkah meskipun agak sukar rasanya kerana memakai kain senyum belakang. Daun pintu aku tolak. Nenek sedang duduk di atas lantai. Nafas dihela lega. Mujur dia tidak terluka. Sepasang mata bundar milikku membulat memandang keadaan ruang tamu yang bersepah. Dahiku berkerut. Lidahku kelu.

Ekor mataku kemudian beralih pada wajah nenek. Dia menggeleng.

“Kenapa ni?” soalku hairan.

“Nenek tak tahu tapi nenek rasa rumah kita kena pecah masuk.”

Terus aku kehilangan kata. Rumah telah dipecah masuk. Bibirku diketap. Tiada apa di rumah ini melainkan…

“Ai masuk bilik kejap,” tuturku sebelum menghilang dari pandangan nenek.

Air liur terasa berpasir. Kelopak mataku sudah bergenang. Sebentuk cincin milik arwah ibu yang aku letakkan di atas meja belajar sudah diambil. Tidak mungkin! Hanya itu yang aku ada. Hanya itu tanda kasih sayang seorang ibu untukku yang masih tinggal.

Langkah aku hayun ke meja belajar. Secebis kertas yang diletakkan di bawah botol bedak aku tarik.

Kalau nak cincin tu balik, sila datang ke alamat berikut :

Luxury Industries Sdn. Bhd,
Kawasan Perindustrian Mergong Barrage,
Jalan Lencong Barat,
05150 Alor Setar, Kedah.

Cebisan kertas itu aku renyuk lalu aku buang ke dalam bakul sampah. Hatiku mendongkol geram. Terus aku mencapai helmet dan keluar dari bilikku.

“Nek, Ai keluar kejap.”

PINTU kaca aku tolak. Tangan kananku memegang helmet. Puluhan mata memandangku namun aku tidak peduli. Mataku melingas kiri dan kanan. Kupasti orang yang mengambil cincinku ialah orang yang sama yang membuatkan aku dan Inayat tidak jadi berkahwin. Aku pasti telahanku tak silap tapi kenapa dia harus ambil cincin tersebut?

“Cik…” Satu suara menyapaku.

Wajahku diangkat. Seorang wanita dalam lingkungan awal 30-an berdiri di hadapanku.

“Cik nak cari siapa?” ujarnya takut-takut.

Aku garu kepala yang tidak gatal.

Macam mana nak beritahu dia? Nama lelaki itu pun aku tak tahu. Ngee… susah betul macam ni.

Jemariku memicit dahi dan wanita itu masih merenungku. Renungannya seperti meminta penjelasan.

“Dah sampai pun.”

Lelaki berkaca mata itu berjalan ke arahku. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek slack. Senyuman nakal meleret di bibirnya dan aku masih pegun di tempatku berdiri. Dia melabuhkan punggung di atas sofa. Jari-jemarinya disulamkan sesama sendiri dan tubuhnya dibongkokkan sedikit. Sepasang mata bening itu merenungku. Di kala dia koyak senyuman, dua lekuk lesung pipi jelas kelihatan.

“Cepat sampai.”

“Mana cincin saya?” soalku tinggi dan kami menjadi perhatian para pekerja lain.

Jari telunjuknya digoyangkan berkali-kali.

“Macam ni ke kalau nak minta barang kat orang?”

“Saya tak peduli! Kembalikan cincin saya.”

Bibirnya mengoyak senyuman nakal. Seolah-olah sengaja melengahkan masa.

Aku merengus kasar. Tiada guna berbicara dengan lelaki seperti ini. Hanya membuang masaku yang begitu berharga namun aku hairan, mengapa dia mengambil cincinku? Saat demi saat berlalu dan dia hanya mendiamkan diri.

Langkah aku buka dan di kala aku sibuk aturkan langkah, dia memintasku dan berdiri di hadapanku.

“Nak pergi mana?”

“Balik!”

“Macam mana dengan cincin ni?” ujarnya sebelum menayang sebentuk cincin milikku.

Darahku berderau. Dia memegang cincin milikku! Saat aku ingin mencapai cincin itu, dia melarikan tangannya.

“Cincin ni terlalu bernilai bagi awak.”

“Macam mana encik tahu?”

Bahunya dijongketkan. “I know everything about you, Bilqis Huraiyah. I know your past.” Aku tersentak dan dia senyum. “But I don’t care.”

Siapakah dia? Macam mana dia tahu cincin itu bernilai bagi aku? Kenapa aku rasa aku langsung tak mengenalinya. Wajah dia terlalu asing bagiku. Dan kenapa baru kali ini dia muncul? Kenapa dia rosakkan majlis akad nikahku?

“Bagi balik cincin saya!” marahku.

“I will but not now.”

Aku bengang. Bibir aku gigit.

“Saya saja panggil my Bilqis ke sini sebab rindu nak tengok muka my Bilqis. Well. Got to go. Need to do tons of things. Kita akan jumpa lagi. Simpan semua persoalan my Bilqis pasal saya. You don’t have to know my name to fall in love with me.”

Erk.

“Kak Ina, buatkan saya kopi,” arah dia kepada wanita yang menegurku tadi.

“Baik, encik.”

“Sayonara, Bilqis-san.”

Dan lelaki itu mengatur langkah pergi meninggalkanku seperti tempoh hari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience