BAB 9

Romance Completed 11098

Nenek melabuhkan punggung di birai katil. Aku tahu mengapa nenek berada di dalam bilikku tika ini. Wajahku dipalingkan. Tiada guna jika nenek datang semata-mata memujukku untuk memaafkan Lik. Hatiku tawar!

“Sampai bila nak suruh dia melutut di depan rumah?”

Kata nenek, sedari tadi Lik melutut di hadapan rumahku. Biarkan saja. Memang aku mencintai dia. Memang hati ini untuknya namun setelah aku tahu dia seorang Zahil Ikhlas, rasa sakit menghentak hatiku. Kenapa dia harus menipuku dulu? Katakan saja dia Zahil. Aku tidak suka orang menipuku.

Terus nenek menggeleng. Mengerti betapa aku degil.

“Tak baik buat dia macam tu,” tegur nenek.

“Habis dia tipu Ai tu kira baiklah?”

“Dia buat semua tu bersebab, Ai.”

Aku terdiam.

Meraih cintaku menggunakan nama Lik dan kini dia seorang Zahil Ikhlas! Asbab yang hanya menyakitkan hatiku.

Tapi jika dia berterus-terang, pasti aku akan menjauhi dia.

“Biarkan dia,” gumamku perlahan.

“Bilqis Huraiyah, keluarlah. Suruh dia balik. Nenek tak nak dia melutut sampai esok pagi. Dah berjam-jam dia melutut.”

Langsung aku tidak pedulikan kata-kata nenek. Kelopak mataku tertutup rapat. Membiarkan masalah demi masalah yang menimpaku berlalu pergi meskipun aku tahu masa tidak mampu merawat segalanya. Bilqis Huraiyah rasa penat. Rasa lelah. Alangkah indahnya jika semua ini hanya mimpi buruk yang akan hilang sebaik saja terjaga.

Terasa lenganku ditampar kuat namun aku masih dalam mendiamkan diri. Mataku tetap tidak terbuka.

Kedengaran nenek mengeluh. Pasti mati akal.

“Kenapa Ai benci dia?”

Bibirku diketap. “Dia beritahu kawan-kawan Ai yang ibu dengan ayah ada HIV.”

Aku tahu nenek sudah mengerti mengapa aku begitu membenci Zahil sehingga sekarang.

Dulu aku dan Zahil teman rapat meskipun di kala aku belum lahir lagi, dia sudah berusia tiga tahun. Segala susah dan senang kami kongsi bersama. Aku menganggapnya tidak lebih daripada seorang sahabat meskipun aku tahu dia mencintaiku. Entahlah. Dan tika ini aku mencintai dia. Rasa cinta yang hadir tanpa mampu aku sangkal.

“Kalau dia tak beritahu pun, ibu dengan ayah Ai tetap tiada. Terimalah kenyataan. Tak guna Ai terus marah dia. Pergi jumpa dia,” ucap nenek lembut.

Lambat-lambat aku mengangguk.

BIBIR kemerah-merahan itu sudah pucat. Aku tahu dia kesejukan. Angin malam mula menampar dua lekuk pipiku. Kasihan pula melihatnya. Sudah berjam-jam lamanya dia melutut. Langkahku dihayun mendekatinya dan jantungku berdetak laju. Tanpa sebarang asbab, aku jadi tak tentu arah melihat wajahnya. Kenapa aku harus jadi lemah seperti ini?

Wajahnya diangkat. Sepasang mata bening itu merenungku dalam.

“Bangun dan balik.”

Dia menggeleng.

Aku menghela nafas lemah. Degil rupanya.

“Zahil takkan balik selagi Ai tak maafkan Zahil.”

“Kalau macam tu, duduklah kat sini sampai siang,” ucapku sebelum berlalu.

PINTU rumah dikuak. Aku menghela nafas panjang. Hari baru, semangat baru meskipun masalah demi masalah menimpaku. Darahku berderau tatkala pandanganku dan Lik bersabung. Air liur terasa kesat!

“Tak balik lagi?” soalku hairan.

Lemah saja dia menggeleng. Bibir itu sudah kebiruan. Rasa bersalah mula menyentuh tangkai hatiku. Lelaki itu tetap melutut seperti semalam. Jika nenek tahu soal ini, pasti akan membebel. Ah! Bukan salahku semua ini terjadi.

“Kenapa tak balik?”

“Zahil hanya akan pulang kalau Ai maafkan Zahil.”

Aku terdiam seketika. Mencerna kata-katanya.

Bukankah aku mencintai dia? Mengapa begitu susah untuk aku terima kemaafannya? Adakah kerana ego?

Hatiku keliru. Berada di antara dua persimpangan. Antara cinta dan benci, mana satu yang harus aku dahulukan? Fikir, Bilqis. Satu kesilapan akan mencacatkan segalanya. Satu pilihan yang benar akan membuatkan hati ini hidup semula.

Fikirlah….

“Balik. “Terima kasih,” laungnya.

Sama-sama, Lik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience