BAB 8

Romance Completed 11098

Tercetus keluhan kecil dari bibirku. Aku pandang Lik yang sedang berdiri di hadapanku. Dahiku berkerut seribu namun bibirku tetap mengorak senyuman manis. Langkahku dihayun mendekatinya yang berpakaian kasual. Lik sangat pelik. Waktu jumpa aku tempoh hari, mood dia tak okey. Boleh senyum-senyum pulak sekarang.

“Buat apa di sini?” soalku perlahan.

“Saya akan selalu berada di sisi my Bilqis.”

Aku menggeleng.

Totte beg aku jinjing erat. Angin pagi mula bertiup sepi. Sang suria masih malu menunjukkan diri. Hari jumaat yang penuh barakah. Penghulu segala hari. Setiap minggu aku pasti akan datang ke sini. Datang ke tanah perkuburan Islam Pumpong. Menziarahi orang tuaku yang terlebih dahulu menghadap Yang Esa.

Lelaki itu mengekoriku. Langkahku terhenti. Aku berpaling.

“Kenapa Lik ikut saya?”

“Saya nak jenguk pusara orang tua my Bilqis. Nanti saya akan jadi suami my Bilqis jugak. Orang tua my Bilqis, orang tua saya jugak. Kita akan kongsi kehidupan my Bilqis,” tuturnya telus.

Lidahku kelu.

Terus aku melangkah dan berhenti di hadapan pusara orang tuaku. Kelopak mataku bergenang. Rasa rindu muka bertamu di hati.

Laju saja aku mengeluarkan surat khabar lama dari beg kain dan aku bentangkan di atas tanah. Lik hanya memerhati. Kemudian aku tanggalkan sandal yang aku pakai dan aku letakkan sandalku di sisiku. Aku mula melabuhkan punggung dan mengeluarkan Yasin.

Ekor mataku mengerling Lik. Tiba-tiba saja dia melabuhkan punggung tidak jauh dariku. Mataku jatuh pada wajahnya. Yasin yang dipegangnya dibuka. Tidak pula aku perasan dia turut memegang Yasin.

“Bacalah,” tegurnya.

Wajahku merona merah. Terlalu asyik memerhatikan dia.

Usai membaca Yasin, aku bingkas bangun. Lik baru saja habis. Dia berpaling. Mengukirkan senyuman manis seperti selalu.

Lelaki itu turut bangun. Aku mencapai surat khabar itu lalu aku lipat. Lik turut membantu.

“Terima kasih,” tuturku.

“Sama-sama, my Bilqis.”

Suka benar dengan perkataan my Bilqis.

Kakiku terus melangkah. Keluar dari kawasan perkuburan. Lik membuntuti langkahku. Aku meletakkan beg kain di dalam raga motorsikal. Lelaki tampan itu hanya memerhati sambil bersandar pada keretanya.

“My Bilqis…”

Aku memandangnya sekilas.

“Ya?”

Lelaki itu menapak mendekatiku.

“Macam mana kalau saya ni Zahil?” ajunya.

Darahku berderau.

“Tak, Lik bukan dia.”

“Tak. Ini memang Zahil. Zahil tipu Ai selama ni. Ai tak ingat Zahil?”

Aku bagaikan ingin rebah mendengar kata-katanya. Laju saja aku menggeleng. Menafikan segala aksara yang menutur keluar dari bibirnya.

Sepasang mata bening itu terlalu asing. Aku yakin lelaki ini bukannya Zahil Ikhlas. Ah! Sebenarnya aku juga buntu. Seraut wajah milik Zahil ketika kecil hanya samar-samar di fikiranku. Sudah bertahun-tahun lamanya aku tidak berjumpa Zahil.

Bibirnya mengoyak senyuman kelat. Hujung daguku dipagut.

Saat aku mencintai lelaki ini, baru aku tahu dia seorang Zahil Ikhlas! Kecewakah aku?

“Tipu,” balasku sepatah.

“Zahil tak tipu. Ini Zahil!”

Jemari diletakkan di wajahnya pula.

“Tak. Lik bukan dia. Hari tu Lik sendiri cakap Lik bukan dia,” tuturku perit.

Sepasang mata bening itu melirikku sayu. Bagaikan segala kata-katanya benar. Ini satu kesilapan yang besar bagiku.

Mana mungkin aku mencintai seorang Zahil yang telah aku benci.

Tekakku terasa payau.

“Zahil tak tipu. Percayalah…”

“Saya tak percaya Lik ni Zahil Ikhlas.” Aku tetap menafikan kenyataan itu.

“Jom ikut Zahil. Zahil akan buktikan segala-galanya.”

SEKALI lagi aku bertandang ke rumah ini. Dia mengarahku mengekor langkahnya dan aku tidak mampu membantah. Langkahku dan dia terhenti di hadapan sebuah bilik. Terus bilik itu dibuka dan suis lampu ditekan. Sebuah bilik tidur yang kemas. Aku masuk ke dalam bilik itu dan aku terpana. Jemariku menekan pelipis. Kepalaku jatuh ke sebelah kanan.

Ada foto Zahil Ikhlas ketika kecil.

“Zahil,” ucapku tanpa sedar.

Dia mengangguk.

Kelopak mataku tertutup seketika. Aku rasa semua ini terlalu cepat. Mengenalinya, mencintainya dan tiba-tiba saja dia mengaku dia seorang Zahil.

“Kenapa baru sekarang Lik beritahu saya?” ajuku kesal.

“Sebab baru sekarang Zahil yakin yang Ai cintakan Zahil.”

“Saya benci Zahil. Benci!”

Rasa benci masih bertamu di hati. Dia, Zahil Ikhlas! Insan yang menyebarkan khabar bahawa orang tuaku menghidap HIV kepada sahabat-sahabatku. Hati mana yang tidak terluka?

Dia berdiri di hadapan. Mata bening itu bercahaya. Dia mengoyak senyuman sekali gus mempamerkan barisan giginya yang tersusun rapi. Rasa cinta di hati semakin mekar meskipun aku masih membencinya.

“Maafkan Zahil. Dulu Zahil beritahu semua orang pasal orang tua Ai bersebab,” terangnya lemah.

Aku ukir senyuman sinis.

“Sebab apa?” Keras saja suaraku.

“Sebab nanti orang takkan kawan dengan Ai. Hanya Zahil yang akan ada untuk Ai. Zahil tak nak Ai kawan dengan orang lain. Zahil hanya mahu Ai kawan dengan Zahil. Zahil sayangkan Ai dan sekarang Ai sayangkan Zahil.”

“Saya mencintai seorang Lik dan bukannya seorang Zahil.”

Aku menapak ke belakang dan pergi meninggalkan dia. Langsung aku tidak hiraukan laungannya. Lik ialah Zahil!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience