BAB 15

Romance Completed 11098

Langit kian suram. Sebentar lagi pasti langit akan menangis. Badanku dibongkokkan. Aku menekur tanah. Tidak mahu orang yang berpapasan denganku menyedari aku sedang menangis. Bibirku diketap. Hatiku remuk melihat adegan mesra sebentar tadi. Tak pernah sekalipun aku berhenti daripada menantinya. Berharap dia akan datang menemuiku. Berharap dia akan datang merawat luka di hati ini.

Sayang seribu kali sayang. Dia sudah berkahwin! Malah sudah punya anak.

Bilqis Huraiyah, anda sudah tewas.

Cinta tak semestinya bersama. Ini yang dinamakan kehidupan.

Rasa di hati tak berubah tapi orang mungkin akan berubah.

Zahil Maalik tidak pernah mencintaiku. Dia hanya membantu seorang Zahil Ikhlas untuk merebut cintaku dan akhirnya, aku yang merana.

Tika itu juga, langit menangis sepi. Orang mula bertempiaran lari. Aku masih membeku. Menangis sepuas-puasnya tanpa siapa sedari. Jika mampu, ingin saja aku menjerit. Bibirku mengoyak segaris senyuman nipis.

Kelopak mataku tertutup rapat. Membiarkan diri ini basah namun tidak lama kerana dirasakan ada seseorang memayungi diriku. Terus mataku terbuka dan wajahku didongakkan. Jantungku berdetak laju. Lelaki itu tersenyum sebelum melabuhkan punggung di hadapankuku. Tidak dihiraukan dirinya yang kian basah. Lidahku kelu.

Ingin saja aku pergi meninggalkan dia namun langkahku mati begitu saja.

“Kenapa menangis?” soalnya lembut.

Suara itu yang aku rindukan. Suara itu yang ingin aku dengar.

Aku kembali menunduk. Langsung tidak mahu memandangnya.

Aku membisu.

“Kenapa my Bilqis diam?”

My Bilqis…

“Kenapa masih ada di sini?”

Perit!

Hanya dia yang terkena hujan. Dia masih tekun memayungi diriku.

Perlukah aku memarahinya? Tidak, Bilqis Huraiyah. Ini jalan yang aku tidak sangka. Ini jalan yang harus aku tempuh. Mungkin dia bukan untukku.

“My Bilqis, jangan diamkan diri,” tuturnya tidak jemu.

“Habis Lik nak saya buat apa? Membebel? Menengking Lik?” soalku bertalu-talu.

Lelaki itu menggeleng. Pandanganku dan lelaki itu bertaut. Sepasang mata bening yang takkan pernah aku lupakan.

Tapi dia bukan milikku…

“Saya lebih rela melihat my Bilqis membebel. Saya lebih rela melihat my Bilqis tengking saya daripada lihat my Bilqis menangis.”

“Kalau boleh, saya nak mati sekarang ni,” gumamku perlahan.

Matanya membuntang. Rahangnya turun naik. Jelas sekali dia tidak menyukai kata-kataku.

“Jangan pernah my Bilqis cakap macam tu lagi.” Keras saja suara itu menampar gegendang telingaku.

Bibirku mengorak senyuman sinis.

Esakanku terhenti begitu saja. Hatiku sakit. Tika ini hati mati. Zahil Maalik tidak mengerti segalanya. Dia tidak mengerti mengapa aku masih di sini. Dia tidak mengerti rasa di hati ini.

“Lik pernah faham perasaan saya? Lik tahu apa yang saya rasa saat lihat bukan Lik yang bakal jadi suami saya? Lik ingat saya ni patung ke? Saya ada perasaan, Zahil Maalik.”

“Maafkan saya,” pintanya perlahan.

“Maaf? Selepas apa yang berlaku, Lik minta saya suruh maafkan Lik?”

Permainan yang dicipta oleh seorang Zahil Maalik melukakan hatiku. Jika aku tahu semua ini akan berlaku, aku akan pergi. Melarikan diri daripada kenyataan ini.

Mana mungkin tika ini aku ingin meraih cintanya lagi. Dia sudah beristeri. Dia sudah mempunyai anak. Aku bukannya perampas! Aku faham apa yang isterinya rasa di kala sang suami mencintai wanita lain. Bilqis Huraiyah bukannya kejam.

Seraut wajah itu berubah riak.

“Saya buat semua tu sebab saya nak bantu Zahil dapatkan cinta my Bilqis,” terangnya kesal.

“Bantu? Ya. Lik mungkin membantu dia tapi Lik dah lukakan hati saya. Dulu saya mencintai seorang Lik dan bukannya seorang Zahil Ikhlas. Wajarlah saya ragu saat Lik beritahu yang Lik ni seorang Zahil Ikhlas. Ternyata Lik bukan dia!”

“Dulu? Sekarang my Bilqis dah tak cintakan saya?” Suara itu tenggelam timbul. Bagaikan susah untuk menuturkan kata.

Memang aku masih mencintainya namun dia sudah berpunya.

Cinta ini mungkin sampai di sini saja.

“Tak!”

“Tipu,” nafinya.

“Sekurang-kurangnya saya tak seperti Lik yang hanya berpura-pura mencintai saya.”

Zahil Maalik menggeleng.

Nafas dihela panjang. Dirasakan seperti terlalu lambat detik ini berlalu. Biar segalanya diselesaikan sekarang ini supaya aku boleh mulakan hidup baru. Supaya aku boleh mengejar kebahagiaan.

“My Bilqis rasa apa yang saya cakap dulu hanya mainan? My Bilqis rasa segala kata-kata saya dulu tipu? Bilqis Huraiyah, tak pernah sesaat pun rasa cinta tu hilang.”

Dadanya ditepuk berkali-kali.

“My Bilqis lupa apa yang saya cakap dulu? I want to make you smile. I want to make you laugh. I want to make you love me. I want to be with you. All I need is you. My heart is yours, my Bilqis,” sambungnya lagi.

“Jadi Lik benar-benar sukakan saya?” ajuku malu.

“Sejak kali pertama kita jumpa, saya dah cintakan my Bilqis tapi sayangnya, Zahil turut mencintai my Bilqis. Saya seorang abang. Haruslah mengalah. Hingga kini saya tetap cintakan my Bilqis. My Bilqis tak pernah hilang dari ingatan saya.

Saya tahu sampai sekarang my Bilqis tak kahwin lagi. Dulu saya pernah cakap yang mungkin saya akan jauh dari my Bilqis tapi hati saya tetap ada untuk my Bilqis. Saya tahu segalanya pasal my Bilqis. Saya perhatikan my Bilqis sejak kali terakhir kita berjumpa tapi my Bilqis tak perasan. Saya tak pernah lari ke hujung dunia. Saya tak pernah tinggalkan my Bilqis. Saya selalu berada dekat dengan my Bilqis tanpa my Bilqis sedar.”

Rupanya dia juga mencintaiku. Dan rupanya dia tidak pernah pergi ke mana-mana. Selalu ada dekat denganku tanpa aku sendiri sedar. Dia tidak pernah tinggalkan aku! Zahil Maalik mencintaiku seperti mana aku mencintainya. Bisakah aku dan dia bersama?

Ah! Semua ini tetap tidak boleh berlaku. Mana mungkin dia mencintaiku lagi. Cintanya sepatutnya untuk isterinya.

“Kenapa Lik hanya perhatikan saya? Kenapa Lik tak dekati saya?” keluhku.

“Saya….” Kata-katanya putus. Buntu!

Aku melarikan pandangan.

Hujan sudah berhenti. Mataku melingas kiri dan kanan. Di manakah agaknya isteri dan anak Zahil Maalik?

“Tak penting, my Bilqis. Yang penting, kita boleh bersama sekarang.”

“Tetap tak boleh.”

“Kenapa pulak?” ajunya tidak puas hati.

Dahinya berkerut.

Sanggupkah isterinya berkongsi kasih sang suami? Pasti tidak sanggup! Tiada siapa sanggup bermadu. Memang si isteri yang ikhlas dimadukan akan mendapat payung emas di syurga namun…. ikhlaskah si isteri?

“Lik dah berkahwin. Dah ada anak.”

“Tak apa. Dia mesti sanggup bermadu!”

Lambat-lambat aku menggeleng. Bilqis Huraiyah tidak sanggup melukai hati insan lain. Biarkan diri ini saja yang terluka.

Kini aku rela jika Zahil Maalik bukan untukku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience