BAB 7

Romance Completed 17880

Aina memeluk tubuh. Badannya basah lencun kerana terkena hujan semasa ingin pergi ke pondok menunggu bas.

Siulan beberapa lelaki yang turut berada di situ meresahkan hatinya. Aina gugup. Jantungnya bagaikan mahu pecah bila salah seorang dari mereka mula menghampiri dan cuba menyentuhnya.

“ Awak nak buat apa ni?!” soal Aina dengan nada tinggi. Matanya mencerun marah. Dia menjauhkan badannya daripada mereka. Jika tiada pilihan lain, dia akan berlari balik ke ofis. Dia lebih rela tidur di ofis daripada terpaksa menunggu bas dalam keadaan tidak selamat!

“ Cik adik seorang je? Nak abang temankan?” kata-kata lelaki tersebut mendapat sokongan daripada rakan-rakannya. Mereka langsung tidak takut dengan suara tinggi yang Aina lontarkan.

Aina mengetap bibir. Menahan takut dan sejuk yang sudah menguasai diri.

“ Cik adik tak sejuk ke? Kalau sejuk sinilah, abang boleh hangatkan dengan pelukan abang.” Soal lelaki yang berkumis nipis. Dia cuba menyentuh lengan Aina dan dia tergelak sinis bila Aina menepis kasar tangannya.

“ Sayang… kenapa tak tunggu abang?” soal satu suara berserta dengan rangkulan di pinggangnya. Aina terkejut. Pantas dia menoleh. Benjamin!

“Ben…” hanya itu yang mampu Aina sebut. Rangkulan erat Benjamin di pinggangnya membuatkan suaranya tersekat di kerongkong.

“ Habis sayang basah. Kalau sakit nanti siapa yang susah? Abang jugak…” lembut Benjamin berkata sambil mengelap muka Aina yang basah terkena hujan dengan menggunakan sapu tangan.

Jika ini mimpi, dia lebih rela tidak bangun kerana ingin menikmati saat ini. Detik yang cukup dia impikan iaitu kasih sayang dari seorang suami.

“ Diorang kacau sayang ke?” Benjamin bertanya. Mata Benjamin sudah beralih ke arah tiga orang lelaki yang mengacaunya tadi. Pandangannya tajam.

“ Eh, kitorang tak buat apa-apa pun bang. Kan Arif?” lelaki yang berkumis nipis itu menjawab takut-takut.
Dia menyiku kawannya meminta pertolongan.

“ Aah. Erk… ni isteri abang ke? Kitorang ingat anak dara tadi. Bahaya betul abang biar isteri abang seorang diri. Dah la cantik, saya tengok pun terpikat.” Lelaki yang bernama Arif tersenyum sambil menggaru belakang kepalanya.

“ Betul ke diorang tak kacau sayang tadi?” Benjamin bertanya Aina lagi berserta sebuah elusan di pipi Aina. Tergaris sebuah senyuman di bibir Benjamin.

Aina menahan debar di dada. Apa niat Benjamin perlakukan dirinya sebegini rupa? Kenapa Benjamin perlu hadir pada saat ini setelah melukakan hatinya tadi? Dan yang tak masuk akalnya, Benjamin memanggilnya sayang? Sudah hilang tabiatkah suaminya ini? Ah, jangan beranganlah Aina. Benjamin langsung tak memaksudkannya.

“ Eh betul lah bang. Kitorang tak sentuh pun isteri abang ni. Tak pe lah bang. Kitorang balik dulu.” Pantas mereka menjawab sebelum berlari keluar dari pondok menunggu bas tersebut meninggalkan Aina dan Benjamin berdua.

Benjamin meleraikan pegangannya di pinggang Aina. Dia mendengus kasar. Tangannya dikepal geram.
Aina senyap. Dia hanya menundukkan mukanya. Bibir bawah digigit perlahan. Dia rasa sangat kekok dengan kehadiran Benjamin di sisinya.

Dengan tidak semena-mena Benjamin merentap tangannya.

“ Ben…” Aina terkejut.

Benjamin mengetatkan pautannya bila Aina cuba melepaskan cengkaman Benjamin di pergelangan tangannya. Lalu, dengan langkah yang berat Aina hanya mengikut ke mana Benjamin mahu membawanya pergi bersama meredah hujan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience