BAB 10

Romance Completed 17880

Aina memeluk lutut. Dia merenung kosong cadar katil yang berwarna biru lembut. Jam sudah pun menunjukkan pukul 1 pagi tetapi matanya masih belum mahu lelap.

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata yang Benjamin lontarkan padanya petang tadi. Rasa bagaikan maruahnya diletakkan di bawah tapak kaki Benjamin! Begitu mudah Benjamin memijak maruahnya sesuka hati. Jika dahulu dia dapat bersabar dengan segala yang Benjamin lakukan padanya namun kini sabarnya runtuh.

Dia terluka bila orang yang dia paling sayang menghinanya sebegitu rupa. Dia fikir dia cukup kuat untuk menerima apa saja yang Benjamin lakukan. Ternyata dia gagal! Dia kalah dengan perasaan sendiri.

Sangkanya Benjamin akan berlembut dengannya jika dia turutkan saja kemahuan Benjamin. Hanya mengikut rentak Benjamin. Rupa-rupanya Benjamin masih tidak boleh menerima dirinya lagi setelah sekian lama. Perkahwinan yang sudah berusia 3 tahun ini langsung tidak bermakna.

Aina mengetap bibir menahan sebak yang melanda. Dia sayangkan Benjamin. Sayang sehingga perasaan ini melukakan hatinya sendiri. Apa gunanya perasaan ini jika rumah tangga mereka langsung tak bahagia sejak dari awak perkahwinan lagi. Mungkin perpisahan merupakan jalan yang terbaik buat mereka.

Nafas ditarik dalam-dalam menenangkan jiwa yang sedang berkecamuk. Dia membawa dirinya ke dapur. Tekaknya kering. Kepala yang berdenyut dipicit perlahan. Badannya juga panas membahang. Mungkin akibat terkena hujan tadi.

Bila dia sudah sampai di depan dapur tiba-tiba pandangannya berbalam. Tubuhnya hampir jatuh tersembam kalau tidak disebabkan ada tangan yang menghalangnya daripada terus tersungkur.

Aina kembali menegakkan badannya. Matanya dikerdipkan beberapa kali. Dia lihat ada wajah di hadapannya. Mula-mula kabur dan makin lama makin jelas. Wajah Benjamin yang berada di depannya saat ini. Dia melepaskan badannya yang berada di dalam rangkulan Benjamin. Dia mengundur beberapa langkah ke belakang.

“ Kau demam ni.” Tutur Benjamin. Tangannya sudah melekap ke dahi Aina.

Aina menepis tangan Benjamin yang singgah ke dahinya. Dia tersenyum sinis. Dia tak akan terpedaya dengan
Benjamin lagi. Pasti Benjamin sengaja berbuat baik dengannya, ingin menghinanya lagi selepas ini mungkin. Tidak puas melihat dia terluka.

“ Jom, aku hantar pergi klinik. Muka kau dah pucat sangat ni.” Terpamer kerisauan di wajah tampan Benjamin. Dahinya berkerut.

Kalau dia tidak mengenali Benjamin sudah pasti dia akan sangka yang Benjamin memang risaukan dirinya tetapi bila mengenali diri Benjamin yang sebenar dia jadi tawar hati.

Aina tidak menghiraukan Benjamin. Kaki terus dibawa melangkah untuk masuk ke bilik. Setelah Benjamin menghinanya tadi Benjamin masih ada hati lagi mahu menunjukkan kebaikan?

“ Kau nak pergi mana? Aku nak kau ikut aku pergi klinik.” Benjamin menghalang laluannya.

“ Kenapa?”

“ Kenapa apa? Kau sedar tak yang kau tengah demam sekarang ni?” muka Benjamin tegang.

“ Selama ni kalau saya sakit pun awak tak ambil peduli jadi kenapa sekarang awak tiba-tiba nak ambil berat.” Lirih Aina mejawab.

Selama ini pun Benjamin tidak pernah ambil tahu mengenai dirinya tetapi mengapa malam ini Benjamin berlagak persis seorang suami yang begitu prihatin terhadap dirinya.

Benjamin terdiam.

“ Awak tak payah risaukan diri saya. Saya tahu jaga diri saya sendiri. Kalau selama ini pun saya boleh hidup tanpa awak ambil berat tentang saya, sekarang pun saya masih mampu hidup tanpa awak.” Aina membalas. Hatinya turut terkesan bila wajah Benjamin berubah bila dia menuturkan kata itu.

“ Aku tahu yang aku salah tapi aku… aku…” suara Benjamin tersekat. Mukanya resah.

“ Saya faham. Kalau awak tak cakap pun saya tahu malah saya dah lama sedar. Awak terluka dengan perkahwinan ni. Awak tak pernah bahagia sepanjang kita berkahwin. Jadi saya rasa lebih baik kita berpisah.” Aina menghela nafas berat. Rasa sesak jantungnya. Tapi hanya ini saja pilihan yang ada. Tiada gunanya lagi dia mempertahankan perkahwinan ini.

“ Apa?” suara Benjamin bergetar.

Aina tunduk. Mungkin ini saja masa yang sesuai untuk mereka membicarakan tentang perkara ini.

“ Kita cerai.”

“ Aina Adira!!!”

Aina terkejut bila Benjamin merengkuh kedua belah bahunya.

“ Kau sedar tak apa yang kau tengah cakap ni?”

Aina tarik nafas sebelum menyambung kata.

“ Saya dah tak sanggup hidup macam ni lagi. Saya dah cukup terluka. Jadi saya nak awak…”

“ No!!!” suara Benjamin melengking kuat. Mukanya merah. Pautannya dibahu Aina semakin diketatkan.

“ Kenapa? Bukan ini ke yang awak nak selama ini? Dah lama awak nak saya pergi dari hidup awak kan? Malam ni saya akan tunaikan impian awak. Lepaskan saya.” Air mata yang mengalir lesu di pipi diseka perlahan. Esakannya hampir pecah. Dadanya berombak kasar melawan perasaan yang begitu bercelaru.

“ Kau nak kahwin dengan Syafiq lepas aku ceraikan kau?”

Aina meloloskan dirinya dari pegangan Benjamin. Agak tersentap bila nama Syafq disebut. Benjamin masih ingin menuduhnya ada hubungan dengan Syafiq?

“ Dengan siapa pun saya nak kahwin nanti saya rasa awak dah tak ada hak untuk tahu sebab masa tu saya dah bukan isteri awak. Kalau Syafiq sudi terima saya apa salahnya saya kahwin dengan dia.”

Benjamin menarik Aina ke dalam dakapannya. Tidak dihiraukan biarpun Aina meronta untuk dilepaskan.

“ Jangan harap aku akan lepaskan kau pada lelaki lain. Dengar sini baik-baik Aina Adira. Mungkin aku bukan suami yang baik untuk kau tapi kau jangan terfikir untuk keluar dari hidup aku. Sampai bila-bila pun kau akan jadi isteri aku.” perlahan Benjamin berbisik di telinga Aina. Sesekali tangannya mengusap rambut ikal mayang Aina.

Aina terkedu. Kenapa? Kenapa tiba-tiba Benjamin berubah laku. Dia sudah memberi Benjamin peluang untuk mencari kebahagiaan sendiri tetapi kenapa Benjamin enggan meleraikan ikatan ini? Aina buntu.

Share this novel

feya greenbriar
2019-07-21 07:47:13 

finally, ada comment


NovelPlus Premium

The best ads free experience