BAB 15

Romance Completed 17880

“ Aina, masuk bilik saya.” Interkomnya berbunyi. Dia baru saja melabuhkan duduknya di kerusi tapi Benjamin dah memanggilnya masuk.

Aina ketuk pintu dulu sebelum masuk. Baru saja dia melangkah ke bilik Benjamin tubuhnya sudah disambar ke dalam pelukan.

“ Ben…” Aina terkejut. Pelukan Benjamin cukup erat sehingga sukar dia hendak bernafas.

“ Abang rindu. Baru sekejap tak tengok sayang tapi abang dah rindu sangat-sangat.” Benjamin mengadu manja membuatkan Aina tergelak perlahan.

Siapa sangka lelaki yang dahulunya begitu serius dan garang boleh bertukar menjadi lelaki yang begitu manja sekali.

“ Tapi kita kan baru sampai ofis, Aina baru je duduk kat kerusi tu abang dah panggil masuk.”

“ Abang tahu tapi abang tak boleh tahan. Rasa sakit je dada ni bila tak nampak sayang.” Benjamin merenggangkan pelukannya tapi dia tidak meleraikan pelukannya. Tangannya masih kemas berada di pinggang Aina.

“ Abang?” Aina pelik bila Benjamin membahasakan dirinya abang.

Benjamin ketawa. Dia membetulkan sedikit tudung Aina agar nampak lebih kemas.

“ Dah lama sebenarnya abang nak bahasakan diri sebagai abang. Teringin nak dengar sayang panggil abang. Sedap didengar dan abang rasa macam… entahlah tapi abang memang nak sayang panggil abang ‘abang’.”

Aina tersenyum. Dia menyangkut tangannya di leher Benjamin.

“ Aina pun dah lama sebenarnya nak panggil abang ‘abang’. Tanda hormat Aina pada seorang suami. Dan Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga impian Aina.”

Benjamin cium pipi kiri Aina sekilas.

“ Semalam Syafiq hantar kad jemputan kahwin dia. InsyaAllah hujung tahun ni majlis dia berlangsung.”

“ Dengan siapa?”

“Dengan kawan kitorang masa sama-sama belajar dulu. Pandai dia sembunyikan hubungan dia daripada abang. Abang ingatkan dia ada hubungan dengan sayang, rupa-rupanya dia cuma nak buat abang cemburu je.”

“ Kenapa dia nak buat abang cemburu.”

“ Dia tahu yang abang sayang Aina tapi dia geram bila abang selalu tunjuk yang abang benci Aina. Abang pun tak tahu macam mana dia boleh tahu perasaan abang.”

Tidak hairanlah Syafiq selalu saja rapat dengannya. Rupanya dia ingin buat Benjamin cemburu.

“ Abang minta maaf.” Benjamin berkata perlahan.

“ Kenapa tiba-tiba minta maaf?”

“ Abang tuduh sayang ada hubungan dengan lelaki lain padahal abang tahu yang sayang bukan macam tu.” kata Benjamin kesal.

Aina mengusap pipi Benjamin. Dia geleng kepala.

“ Masa tu memang Aina marah sangat sebab abang tuduh Aina buat kerja terkutuk tu. Sabar Aina rabak. Aina jadi putus asa dengan hubungan kita sampaikan Aina bertekad untuk berlalu pergi dari hidup abang.

Tapi… Aina dah maafkan abang. Biarpun berkali-kali hati Aina terluka, Aina tetap sayangkan abang. Selamanya perasaan ni akan terpahat kukuh di hati Aina. Aina hanya mahukan abang, bukan lelaki lain. Sebagaimana Aina tak mahu abang berpaling dari Aina, macam tu juga la Aina tak akan berpaling dari abang.”

Benjamin merengkuh Aina ke dalam pelukan.

“ Terima kasih sayang sebab terima abang walaupun abang dah lukakan hati sayang berkali-kali. Abang janji dengan nyawa abang yang abang akan jaga sayang sampai ke nafas abang yang terakhir. Abang cintakan sayang dan selamanya cinta ni akan terus kekal di hati abang sebab abang juga hanya mahukan sayang. Bukan orang lain.”

Benjamin mencium ubun-ubun Aina.

Aina tersenyum bahagia. Benjamin merupakan lelaki pertama yang dia sayang dan dia harap agar perasaannya terhadap Benjamin akan terus kekal mewangi di hati. Dia berdoa agar sampai ke akhir hayat Benjamin akan tetap cintakannya.

Tiada lagi duka, tiada lagi kesunyian dan tiada lagi air mata seperti dulu, di saat insan yang sepatutnya menjadi pembela dan pelindung, mencintai dirinya dan memartabatkan dirinya sebagai seorang isteri menyisih dan menyakitkannya.

Episod duka sudah berlalu kerana dia kini sudah menemui soulmate, menjadi wanita terbahagia dan eksklusif untuk insan baru yang mencintai dan menghormatinya setulus hati.

Tiada apa lagi yang dimahukannya selain memohon doa agar hubungan ini sentiasa harmoni seiringan dengan jalan yang diredhai-NYA.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience