BAB 5

Family Completed 22161

RAMADHAN berlalu tanpa hadirnya Fariz di rumah Salmah. Farid juga sudah pulang ke kampus. Tidak dapat digambarkan perasaan rindu terhadap anak-anaknya. Belum puas dia melepaskan rindu terhadap Farid, kini Farid sudah meninggalkannya.

"Ibu, Farid minta maaf sebab buat keputusan tanpa bertanya kepada ibu terlebih dahulu. Farid taknak lepaskan peluang yang ada ni, mana tahu nanti Farid dapat ubah nasib keluarga kita…"

Masih terngiang-ngiang kata-kata Farid sebelum ini. Banyak yang telah Salmah korbankan untuk keluarga mereka tetapi masih tidak dapat puaskan hati anak-anaknya, malah kehidupan mereka juga tidak bertambah baik.

Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan. Fariz tiba-tiba sahaja pulang ke kampung dengan tergesa-gesa.

"Ibu. Ibu kena tolong Fariz." Kata Fariz sebaik sahaja masuk ke dalam rumah.

"Eh kenapa ni Fariz? Kenapa tak beritahu nak balik?"

"Ibu kena tolong Fariz."

"Kalau yer pun cuba kamu duduk. Cakap dengan ibu, Fariz nak ibu tolong apa?"

Fariz melabuh duduk di atas kerusi. Bola matanya bergerak ke kiri dan ke kanan. "Err macam ni ibu, Fariz nak beli kereta tapi err duit Fariz tak cukup. Jadi, hurm kalau ibu tolong pinjamkan Fariz duit dulu, boleh kan?"

"Berapa yang kamu nak?" soal Salmah tanpa teragak-agak.

"Tak banyak pun ibu, dalam err dalam 5 ribu jer…"

"Hah? 5 ribu?"

Fariz mengangguk laju. "Fariz tahu, ibu mesti ada duit kan. Boleh la ibu. Fariz perlukan kereta sangat-sangat. Senang nanti kalau Fariz nak balik kampung," ujarnya. Dia berlutut di hadapan Salmah. Jemari Salmah diraih. "Ibu, tolong Fariz yer. Fariz tahu ibu ada duit tu."

"Fariz. Hurm. Ibu mana ada duit sampai 5 ribu. Kamu pun tahu kan berapa lah sangat yang ibu dapat selama ibu berniaga ni."

Fariz bangun. Dia bercekak pinggang. "Ala ibu ni. Takkan la setakat 5 ribu pun takleh nak bagi."

"Betul, Fariz. Ibu memang tak ada duit banyak tu." Beritahu Salmah jujur.

Liya dan Jamil yang kebetulan baru sahaja berjalan masuk ke kawasan rumah terdengar perbualan Salmah dan Fariz. Hatinya bagai disiat-siat apabila mendengar kata-kata Fariz.

"Boleh lah ibu. 5 ribu jer." Fariz memicit kepalanya. "Ha, Fariz ada idea. Apa kata ibu jual jer tanah ni. Duit tu ibu bagi Fariz, nanti lebih-lebih ibu simpan lah. Fariz cuma nak 5 ribu jer."

"Astaghfirullahalazim…"

Salmah dan Fariz menoleh ke arah pintu melihat kelibat orang yang baru sahaja masuk ke dalam rumah.

"Abang Fariz dah gila ke sampai sanggup mintak ibu jual tanah ni?" Kata Liya sebaik sahaja masuk ke dalam rumah.

Jamil membuntuti Liya tanpa sepatah kata.

"Abang Fariz tahu tak apa yang abang cakap ni?"

"Liya. Mesti lah aku tahu, kenapa pula tak tahu?"

"Ya lah. Yang abang nak ibu jual tanah tu dah kenapa? Sebab abang nak beli kereta?"

"Liya. Jangan biadap dengan abang kamu." Tegur Salmah.

Liya mendekati Salmah yang masih duduk di atas kerusi. "Ibu, abang tak patut lah mintak ibu jualkan tanah ni. Ni tanah pusaka arwah ayah." Ujarnya lagi. "Abang Fariz usaha lah cari duit sendiri," sambungnya lagi.

"Kau jangan nak menyibuk lah Liya. Apa salahnya kalau jual tanah ni. Takpun gadaikan jer lah, nanti ada duit tebus jer balik. Setakat tanah sekangkang kera ni berapa lah sangat." Fariz mencebik.

"Eh abang. Abang ingat senang ke hah nak gadai pastu nak tebus balik. Abang ingat kita ni kaya ker hah?"

"Kau ni bising lah Liya. Aku cakap pasal tanah arwah ayah aku. Kau orang luar jangan nak menyibuk boleh tak?"

Liya mendekati Fariz. "Apa abang merepek ni? Abang cakap pasal tanah arwah ayah kita. Kenapa Liya tak boleh masuk campur. Ni tanah ibu Liya. Tanah arwah ayah Liya."

"Hahaha…" terhambur ketawa Fariz.

Salmah tidak senang duduk. Dia bangun mendekati Fariz. "Fariz, nanti ibu cuba usahakan macam mana. Nanti kita bincang pasal ni. Liya, kamu pergi masuk dalam." Arah Salmah.

"Ibu, beritahu jer lah Liya ni siapa dia yang sebenar. Biar dia sedar diri sikit."

"Fariz, apa yang kamu merepek ni?" Marah Salmah. Bola matanya memandang wajah Liya.

"Fariz? Merepek?"

"Ibu, kenapa dengan Liya? Ibu ada rahsiakan apa-apa dengan Liya ke?"

"Dah dah. Ibu taknak cakap pasal ni. Jamil, kamu bawa Liya balik!"

Jamil terpinga-pinga. Dia menarik lengan Liya. "Liya, jom kita balik."

"Tak. Ibu, apa yang ibu rahsiakan dengan Liya? Ibu beritahu lah Liya…" ujar Liya separuh merayu.

Fariz senyum sinis. "Kalau kau nak tahu sangat, biar aku jer yang beritahu. Kau ni sebenarnya…"

"Fariz! Ibu kata diam!" Tengking Salmah.

"Aaahhhh. Dia patut tahu! Kau ni sebenarnya anak angkat ibu dengan arwah ayah jer. Bukannya anak kandung dia orang!"

Liya tersentak. Matanya terbeliak.

Jamil juga terkejut mendengar kata-kata Fariz.

"Tak. Liya tak percaya. Betul ke ibu? Betul ke Liya ni anak angkat?" soal Liya ingin tahu. Dia memaut lengan Salmah.

Salmah menggeleng. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Wajahnya sayu memandang lantai rumah. Rasa bersalah mula muncul dalam dirinya.

"Ibu, betul ke Liya ni anak angkat ibu? Tak kan?" Liya masih lagi merayu. Kali ni dia berlutut di hadapan Salmah sambil mengoncang lutut ibunya itu.

"Kau ingat aku nak tipu kau ke? Aku dah lama tahu yang kau ni anak angkat sebab tu aku tak suka bila kau masuk campur dalam hal keluarga aku. Ibu bagi kau tumpang kat rumah ni pun dah cukup bagus tau. Sekarang, kau nak tunjuk hebat. Huh, silap orang lah Liya."

Mata Liya berkaca. Air jernih mula mengalir membasahi pipinya. Dia masih lagi berlutut di hadapan Salmah.

"Liya…" panggil Jamil lembut. Dia memapah Liya supaya berdiri tetapi Liya menolaknya.

"Ibu, betul ke apa yang abang Fariz cakap? Ibu beritahu Liya, betul ke Liya ni anak angkat ibu dan arwah ayah?" rayu Liya dengan tangisan yang teresak-esak.

Salmah mengangguk lemah.

"Tak, Liya tak percaya. Ibu tipu Liya. Liya anak ibu…" raung Liya kuat di atas lutut Salmah.

"Liya, jangan macam ni…" pujuk Jamil.

Liya menggeleng laju. "Tak, Liya anak ibu. Liya tahu Liya anak ibu."

"Eh Liya. Kau jangan buat drama lah. Kau blah sekarang. Ibu pun dah taknak la tengok muka kau. Menyibuk jer dalam hal keluarga orang."

Jamil memapah Liya supaya bangun. "Liya, jom kita balik dulu."

Liya menurut sahaja. Wajah ibunya dipandang.

Salmah masih lagi menunduk.

Liya dan Jamil perlahan-lahan keluar daripada rumah Salmah. Mereka menuju ke arah kereta yang di letakkan di tepi pokok rambutan. Setelah masuk ke dalam kereta, perlahan-lahan kereta Jamil meninggalkan perkarangan rumah ibu mentuanya itu.

"Fariz, patut ke kamu cakap macam tu dengan adik kamu?"

"Biar lah ibu. Dia patutnya dah lama tahu. Tak payah dia nak berlagak. Biar dia sedar sikit siapa dia tu." Kata Fariz tanpa fikirkan perasaan ibunya itu.

Salmah menggeleng lemah. Air mata yang mengalir diseka dengan hujung lengan baju.

"Selama ni dia yang jaga ibu, Fariz. Ibu yang banyak terhutang budi dengan dia. Lagi pula, kamu dengan dia membesar bersama-sama. Takda ke rasa simpati kamu dengan dia, Fariz."

Fariz mendengus kasar. "Fariz tak kisah lah pasal dia. Kalau dah anak angkat tu, sangat ke mati lah anak angkat. Tak payah la cakap pasal dia, sekarang ni Fariz nak tahu ibu boleh tak bagi Fariz 5 ribu tu?"

Salmah mendongak melihat wajah Fariz. "Kamu tahu kan ibu tak ada duit, mana ibu nak cari 5 ribu tu?"

"Sebab tu lah Fariz tak suka balik kat rumah ni. Sebab kita miskin. Setakat 5 ribu pun tak boleh nak bagi. Baik ibu tak payah jadi ibu lah!" Kata Fariz lalu berjalan masuk ke dalam bilikya. Pintu dihempas kuat.

Bahu salmah terangkat kerana terkejut dengan bunyi pintu yang agak kuat. Tangisannya semakin kuat kedengaran.

"Astaghfirullahalazim…" ucapnya lemah.

LIYA dan Jamil sampai ke rumah mereka. Tangisan Liya sudah tidak kedengaran. Sepanjang perjalanan balik ke rumah mereka, pandangan Liya hanya tertumpu ke luar tingkap. Dia tidak percaya dengan apa yang diberitahu oleh Fariz sebentar tadi.

"Sayang, jom kita masuk dalam." Kata Jamil sebaik sahaja mematikan enjin kereta.

Liya mengangguk lemah. Dia keluar daripada perut kereta dan perlahan-lahan masuk ke dalam rumah. Sofa menjadi tempat dia melabuh duduk.

"Sayang…"

Liya mendongak melihat wajah Jamil.

"Sayang jangan sedih yer."

Liya menggangguk perlahan. Dia tidak dapat menahan kesedihan. Esakan kecil mula kedengaran.

"Abang, kenapa ibu tak pernah beritahu yang Liya ni anak angkat…"

Jamil memeluk bahu Liya. "Sayang, mungkin sebab ibu nak jaga hati sayang. Ibu taknak sayang sedih."

"Tapi ibu tipu Liya. Patut lah ibu tak bagi Liya sambung belajar. Ibu taknak Liya berjaya cam abang-abang Liya, rupanya Liya bukan darah daging ibu. Sampai hati ibu…"

"Sayang, tak baik kata macam tu kat ibu. Ibu yang membesarkan Liya. Ibu yang bagi Liya makan, bagi Liya pakaian. Liya kena bersyukur," tutur Jamil lembut.

"Tapi Liya sedih. Liya malu dengan semua orang. Liya taknak harta ibu, Liya cuma nak ibu bahagia."

"Ya sayang, abang tahu. Liya betul-betul ikhlas jaga ibu. Jangan salahkan ibu yer. Kesian ibu. Kita pun dah takda siapa-siapa selain ibu. Maafkan ibu yer," ucap Jamil sambil menepuk bahu Liya.

"Lepas ni ibu izinkan Liya pergi rumah ibu lagi ke? Macam mana kalau abang Fariz paksa ibu jual tanah tu?"

Jamil memandang wajah Liya. "Hurm… Abang pun risau juga," katanya. "Apa kata kejap lagi kita pergi rumah ibu."

Liya menggeleng. "Taknak. Nanti kalau abang Fariz halau kita lagi macam mana?"

"Eh, takkan la Fariz nak buat macam tu."

"Abang tengok lah tadi apa dia kata kat Liya. Macam Liya ni hina sangat kat mata dia." Liya mencebik.

"Sayang, mungkin dia stress tu atau pun memang dia tak sengaja…"

Liya memukul lembut lengan Jamil. "Iskk abang ni, mudah sangat percayakan orang."

"Bukan percayakan orang tapi berbaik sangka dengan orang…"

Liya memerhatikan wajah suaminya. Mungkin benar kata suaminya itu. Memang abang Fariz sedikit kasar tetapi belum pernah dia menyakitkan ibu mereka. Kali ini, perlu ke dia berlembut dengan Fariz demi menjaga hati ibu, fikirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience