BAB 1

Family Completed 22164

SALMAH dikejutkan dengan berita kematian Pak Andak yang terlibat dalam kemalangan maut ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia terduduk lemah selepas Razak, iaitu salah seorang pekerja di ladang sawit tempat suaminya bekerja menyampaikan berita tersebut. Dunia seakan berhenti berputar. Esakan mula kedengaran.

"Betul ke Razak? Kamu jangan main-main soal mati ni," kata Mariah yang sedari tadi berada di rumah Salmah.

"Betul, saya tak tipu. Pak Andak meninggal di tempat kejadian. Dia orang dah bawa Pak Andak ke hospital. Baik kak Salmah pergi hospital. Saya nak kena balik dulu," ujar Razak lalu menghidupkan mosikalnya dan berlalu pergi.

Mariah mengangguk. Dia duduk disamping Salmah. "Mah, sabar yer. Ya, aku faham," pujuk Mariah lalu merangkul tubuh Salmah.

"Abang Andak, Mariah. Abang Andak dah tak ada," kata Salmah disusuli dengan tangisan yang semakin kuat.

Mariah mengusap perlahan bahu Salmah. "Banyakkan istighfar Salmah. Dah ajal Andak, kita tak boleh buat apa. Kita kena pergi hospital sekarang."

"Tapi anak-anak aku macam mana?" tanya Salmah. Air mata yang mengalir diseka dengan hujung lengan baju.

"Nanti aku mintak abang Man tolong ambil dia orang. Kita pergi hospital dulu," Mariah membantu Salmah untuk berdiri.

Terhuyung-hayang kaki Salmah menapak ke arah kereta. Dia terasa seperti dunianya gelap. Sepanjang perjalanan ke hospital, air matanya tidak berhenti mencurah-curah. Pandangannya dialihkan ke luar tingkap. Mariah, jirannya itu turut bersimpati dengan apa yang menimpa Salmah. Tangan Salmah di sentuh perlahan.

Sebaik sahaja mereka tiba di hospital, Mariah bergegas ke kaunter pertanyaan. Seorang nurse menunjuk ke arah bilik mayat yang berada tidak jauh dengan kaunter pertanyaan.

"Salmah, jom aku temankan kau," ujar Mariah.

Salmah mengangguk lemah.

Mereka menapak ke bilik mayat. Langkah diatur perlahan-lahan. Sampai sahaja di depan bilik mayat, Salmah tiba-tiba berhenti melangkah.

Salmah menggeleng. "Aku tak boleh. Aku tak mampu. Aku tak sanggup nak tengok dia Mariah," ujar Salmah disusuli dengan tangisan.

"Kau kena sabar, Salmah. Kau tak boleh lemah macam ni. Kita kena tengok dia," pujuk Mariah. "Kau tarik nafas dalam-dalam. Kita masuk bila kau dah bersedia…"

Setelah agak lama berdiri, Salmah membuat keputusan untuk masuk ke dalam bilik mayat tersebut. Suara tangisannya semakin perlahan. Dia mencari kekuatan untuk melihat jenazah arwah suaminya.

Berdiri sahaja di hadapan jasad tidak bernyawa itu, tangisan Salmah kembali kedengaran. Penjaga yang menjaga bilik mayat tersebut membuka kain yang digunakan untuk  menutup mayat. Tangisan Salmah semakin kuat. Mariah juga turut menangis.

"Abang Andak. Mariah, abang Andak dah takda. Abang," Salmah meraung kuat. Dia menekup mulutnya dengan tangan.

"Mengucap Salmah. Mengucap," minta Mariah apabila melihat keadaan Salmah yang seperti orang kerasukan.

"Kenapa abang tinggalkan Sal. Kenapa abang pergi dulu. Kenapa abang tinggalkan anak-anak kita," kata Salmah dengan tangisan yang masih tersisa. "Abang janji dengan Sal yang abang nak tengok anak-anak kita berjaya tapi kenapa abang tipu Sal, kenapa abang?"

Mariah memeluk bahu Salmah dan menggosok bahu itu perlahan. Dia turut bersimpati dengan nasib Salmah yang baru sahaja kehilangan suaminya dia usia yang masih muda.

"Abang, macam mana Sal nak teruskan hidup Sal dengan anak-anak kita. Kenapa abang kena tinggalkan Sal? Tolong lah bangun. Sal tahu abang tak mati kan, abang tolong bangun. Bangun!" jerit Salmah kuat.

"Astaghfirullahalazim. Salmah, bawa mengucap, tak baik kata macam tu," Mariah mengeratkan pelukannya.

"Macam mana Sal nak hidup lepas ni. Macam mana Sal nak jaga anak-anak. Sal tak mampu abang. Abang, tolong lah bangun. Tolong lah," rayu Salmah perlahan.

Mariah memapah Salmah keluar daripada bilik mayat. Dia juga meminta supaya jenazah Pak Andak diuruskan oleh pihak hospital dan jenazah arwah Pak Andak telah dikebumikan pada hari yang sama selepas asar.

Salmah memeluk ketiga-tiga orang anaknya yang masih kecik. Anak sulung mereka, Farid berusia 10 tahun. Fariz pula berusia 8 tahun. Manakala Liya ialah anak angkat mereka yang berusia 6 tahun. Dia dijaga oleh Salmah dan arwah Pak Andak sejak masih bayi.

Salmah memandang ketiga-tiga anaknya itu. Entah apa lah nasib mereka selepas ini dia juga tidak pasti. Kehilangan seorang ketua rumah tangga, ibarat kehilangan sebuah kehidupan. Sebelum ini, cuma arwah Pak Andak sorang sahaja yang bekerja. Salmah pula menjadi suri rumah sepenuh masa tetapi kini, dia terpaksa memikul tanggungjawab yang besar demi kelangsungan hidup mereka anak beranak.

"Ibu, mana ayah? Kenapa ayah tak balik lagi?" tanya Fariz.

"Ayah kan pergi kerja. Angah tunggu jer lah kat rumah. Ayah kata nak belikan kita baju baru," kata Liya pula.

Farid hanya diam memerhatikan adik-adiknya. Dia tahu, ayahnya telah tiasa dan tidak akan pernah kembali. Ayahnya telah pergi ke dunia abadi. Dia merenung wajah Salmah. Ternampak jelas kesedihan diwajah ibunya itu.

"Adik, baby. Jom kita pergi makan. Tadi balik sekolah adik dengan baby tak makan lagi kan?" soal Farid ingin menarik perhatian mereka.

Fariz dan Liya menggeleng. Mereka turun ke bawah rumah dan menapak ke rumah Mariah yang berada tidak jauh dengan rumah mereka.

Salmah memerhatikan sosok tubuh ketiga-tiga anaknya sehingga kelibat mereka hilang daripada pandangan matanya. Air mata kembali mengalir. Dia tidak tahu bagaimana hendak menyara anak-anaknya kelak.

Mariah mendekati Salmah yang masih duduk termenung di dapur. "Salmah, kau okay ke?"

"Entah lah Mariah, aku pun tak tahu aku okay ke tak," Salmah mengeluh kasar.

"Kau fikir pasal belanja anak-anak kau ke?

Salmah mengangkat wajahnya dan pandangan dilemparkan ke luar rumah. "Budak-budak tu baru jer masuk sekolah Mariah. Banyak belanja. Aku mana mampu. Kalau dulu masa arwah ada, boleh la jugak kami simpan duit, sekarang ni, arwah pun dah takda, macam mana aku nak hidup?"

"Salmah, kau tak boleh fikir macam tu. Kau kena lawan. Takpa, buat masa ni aku tolong kau. Lagi pun aku dah anggap dia orang tu macam anak-anak aku sendiri," Mariah duduk mengadap Salmah. "Kau jangan lah risau sangat. Aku tolong kau. Yang penting kau jaga kesihatan kau," sambungnya lagi.

Salmah hanya diam sahaja. Angguk tidak. Geleng pun tidak. Fikirannya buntu. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa kerana takut terhutang budi.

Sebulan berlalu selepas arwah Pak Andak meninggal dunia. Berbekalkan gaji terakhir arwah, Salmah mulakan perniagaan kuih-muih dan nasi lemak. Ada kalanya dia akan meletakkan nasi lemak di kedai makan yang berhampiran. Sedikit sebanyak dapat lah juga duit belanja harian.

"Farid, nanti nak pergi sekolah, tolong ibu letak nasi lemak kat kedai Pak Leman yer," minta Salmah. Nasi lemak di masukkan ke dalam plastik.

"Yer ibu. Ibu, esok cikgu minta beli baju sukan. Tak mahal pun ibu, RM30.00 jer. Ibu belikan tau," beritahu Farid sambil memakai kasut sekolah.

Salmah tiba-tiba terdiam. Nasi lemak di dalam plastik ditenung lama.

"Ibu, ibu. Farid nak pergi sekolah," Farid memanggil Salmah yang masih termenung. "Ibuu…"

"Hah? Oh yer. Nanti ibu belikan okay. Nah nasi lemak ni. Masa balik jangan lupa ambil duit. Belajar rajin-rajin tau," katanya lalu mengucup dahi Farid.

Fariz yang telah lengkap berpakaian sedang menunggu abangnya di bawah rumah. Dia menghampiri Salmah apabila di panggil dan satu kucupan pula singgah didahi Fariz.

"Hati-hati jalan tu. Jaga adik tau," pesan Salmah.

Farid dan Fariz melambai-lambai ke arah Salmah yang masih berdiri dimuka pintu. Salmah masuk ke dalam bilik dan mendekati Liya yang masih tidur nyenyak.

"Baby, bangun sayang. Kita nak pergi sekolah," Salmah menepuk bahu Liya perlahan-lahan.

"Hermm…"

Salmah tersenyum melihat wajah Liya yang sedang menguap. "Baby sayang, cepat bangun. Baby taknak pergi sekolah jumpa kawan-kawan ke?"

"Nakk…" rengek Liya.

"Kalau nak jumpa kawan, kena cepat bangun pastu pergi mandi. Nanti ibu hantar baby pergi sekolah," ujar Salmah sambil tersenyum.

"Okay…" balas Liya lalu bangun dan berlari ke bilik air.

Selepas menghantar Liya ke sekolah, Salmah mula membuka kedainya. Nasi lemak dan kuih-muih di susun di atas meja kayu sederhana besar. Dia duduk termenung sambil menunggu pelanggan datang.

Pagi itu, ramai pelanggan yang membeli nasi lemak dan kuih-muih Salmah dan kesemuanya habis terjual.

"Alhamdulillah, dapat belikan baju sukan untuk Farid," ucap Salmah lalu memasukkan wang kertas RM20 dan RM10 ke dalam beg dompetnya.

Salmah menyusun bekas kuih-muih ke dalam bakul dan berjalan ke arah rumahnya yang tidak jauh daripada tempat dia berniaga. Dia perlu menyiapkan makan tengahari untuk anak-anaknya pula. Begitulah rutin harian Salmah setiap hari.

"Salmah, nasi lemak kau dah habis ke?" soal Mariah yang baru sahaja keluar daripada perut kereta.

"Alhamdulillah. Semua dah habis, berbaki dua bungkus yang kau pesan tadi. Nah," Salmah menghulurkan nasi lemak kepada Mariah.

Mariah menyambut pemberian Salmah. "Terima kasih. Eh nanti aku hantarkan lauk. Aku saja jer nak masak daging masak kurma, mesti anak-anak kau suka kan…"

"Terima kasih lah, buat susah-susah jer," ujar Salmah.

"Tak apa, lagipun kat rumah aku ni bukannya ada siapa. Aku dengan abang Man kau jer," Mariah mengukir senyuman. "Aku masuk dalam dulu lah. Nanti aku hantar lauk," sambungnya lagi.

"Ha yer lah. Saya jual yer," kata-kata Salmah dibalas dengan anggukan. "Nampaknya hari ini boleh la aku berjimat," desisnya.

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Keadaan Salmah ketika ini ada kalanya menjadi sabut tetapi ada ketikanya menjadi batu tetapi dia tetap bersyukur.

Selepas pulang sahaja daripada mengambil Liya di tabika, mereka singgah di kedai runcit yang berhampiran untuk membeli barang keperluan harian. Duduk dua orang pemuda dalam linkungan lewat 20an di hadapan kedai tersebut.

"Hai Sal. Sal sunyi tak tidur sorang malam-malam? Nak abang temankan?" kata salah seorang pemuda tadi yang bernama Syah lalu ketawa.

"Sal sunyi lah bang, boleh tak malam ni abang temankan sal?" kata Mirul pula. Dia sengaja melunakkan suaranya.

Maka ketawa lah mereka berdua terbahak-bahak sambil memerhatikan Salmah. Salmah tidak menghiraukan mereka, malah berjalan laju ke arah kedai tetapi belum sempat Salmah dan Liya masuk, Syah bangun dan menarik tangan Salmah.

"Kau buat apa ni? Lepaskan aku!" jerit Salmah kuat.

"Sal nak pergi mana ni, temankan abang sekejap. Kita duduk lepak dulu," kata Syah sambil menjilat bibir atas.

"Lepas lah! Korang ni dah gila ke hah? Tolong! Tolong!" laung Salmah kuat. Dia cuba merentap tangannya tetapi tidak berdaya.

Liya yang sedari tadi hanya melihat perlakuan dua orang pemuda tersebut terhadap Salmah, kini mula menangis teresak-esak.

Pak Leman iaitu tuan kedai runcit berlari mendekati mereka. "Kamu buat apa ni? Lepaskan Salmah. Jangan buat kacau dekat depan kedai aku!" marah Pak Leman lalu mengambil penyapu yang tersandar pada dinding.

Syah melepaskan tangan Salmah lalu ketawa terkekek-kekek. "Hahaha rilex la Pak Leman. Bukan kami buat apa pun. Sal ni kan janda, setakat pegang-pegang tak luak pun lah…"

Kata-kata Syah itu disambut dengan suara ketawa Mirul. Mereka mendekati motosikal mereka tetapi belum sempat motosikal itu bergerak tiba-tiba Syah menjerit kuat.

"Aduh!" Pemuda itu memegang kepalanya.

Salam ramadhan dan selamat berpuasa. Semoga puasa tahun ini lebih bermakna. Insyaallah ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience