BAB 3

Family Completed 22186

"ABANG Fariz, kenapa dengan ibu?" soal Liya sebaik sahaja mendekati ibunya yang terbaring lemah.

"Kau jangan banyak bunyi lah. Cepat tolong aku angkat ibu bawa masuk dalam bilik," ujar Fariz.

Mereka memapah Salmah masuk ke dalam bilik dan tubuh itu dibaringkan di atas katil.

"Abang, kita nak panggil doktor tak?"

"Tak payah la. Sikit jer ni. Nanti okay lah," kata Fariz. Dia bangun lalu meninggalkan Liya bersama Salmah di dalam bilik.

Liya duduk termenung sambil menilik wajah tua ibunya. Dia menyeka air jernih yang jatuh membasahi pipi dengan hujung jarinya.

"Ibu, ibu…"

Salmah masih tidak sedarkan diri. Tiba-tiba sahaja Salmah pengsan dan kepalanya terkena bucu kabinet. Liya membersihkan luka di dahi Salmah, nasib baiklah lukanya tidak serius. Liya menemani Salmah sepanjang malam sehingga keesokan paginya.

Fariz mengemas pakaiannya. Dia mahu pulang ke kampus tanpa pedulikan Salmah yang sedang berbaring lemah. Baginya, keadaan Salmah tidak lah terlalu parah sehingga dia terpaksa menemaninya.

"Abang taknak tunggu ibu bangun ke? Nanti kalau ibu cari abang macam mana?" soal Liya sambil memaut lengan Fariz.

Fariz menyarungkan kasutnya. "Kau cakap la yang aku dah balik kampus. Aku tak boleh lama-lama kat kampung. Kau pun tahu kan. Lagipun luka ibu tu sikit jer, esok lusa okay lah. Kalau aku ada pun aku nak boleh buat apa, aku bukannya doktor pun," ujar Fariz panjang lebar.

"Tapi sekurang-kurangnya ibu taklah sedih sangat. Kesian ibu selalu jer sebut nama abang."

"Biasa lah orang tua-tua memang macam tu. Kau ada kan, kau lah ya g jaga ibu. Dah la, cakap dengan kau lagi banyak masa aku habis. Aku pergi dulu," kata Fariz. Dia meninggalkan rumah mereka.

Liya hanya memerhatikan sosok tubuh Fariz sehingga kelibat itu hilang daripada pandangannya. Liya berlalu ke dapur. Dia masakan bubur buat Salmah kerana risau keadaan ibunya yang masih tidak menjamah makanan sejak semalam.

"Fariz… Fariz…" panggil Salmah sebaik sahaja tersedar daripada pengsan.

"Eh ibu dah sedar ke?" tanya Liya sebaik sahaja masuk ke dalam bilik. Dulang yang berisi bubur dan air di letakkan di tepi katil.

"Liya, mana Fariz?" soal Salmah sambil bola matanya menjenguk ke luar bilik.

"Err abang Fariz dah balik kampus dah. Dia kata… ada kerja nak kena siapkan," beritahu Liya lambat-lambat.

Salmah mengeluh. "Hurm kenapa dia tak tunggu ibu?"

Liya menyentuh jemari ibunya. "Dia kata dia ada kerja. Nanti dia balik lagi. Ibu, Liya ada buatkan bubur untuk ibu, ibu makan sikit yer?"

"Hurm yer lah."

Liya perlahan-lahan membantu Salmah bangkit daripada perbaringan. Salmah hanya menjamah sedikit sahaja bubur yang dimasak oleh Liya. Dia lebih banyak termenung.

Lita meninggalkan Salmah sendirian di dalam bilik. Dia menuju ke dapur dan menyiapkan makanan untuk makan malam. Sejak Farid dan Fariz tak ada di rumah, Salmah jarang menjamah makanan yang dimasak oleh Liya. Dia lebih suka termenung atau sibukkan diri menyiapkan tempahan yang dipesan oleh penduduk kampung.

SEMINGGU berlalu, pagi itu Salmah dan Liya sedang membalut nasi lemak di dapur. Puas Liya memujuk Salmah untuk berehat sahaja di dalam bilik tetapi Salmah tidak mahu, dia tetap berdegil ingin menyiapkan tempahan yang dipesan oleh orang kampung.

"Ibu, rehat jer lah dalam bilik. Biar Liya jer yang buat. Ibu kan tak sihat lagi."

"Takpa lah Liya. Aku sihat jer ni. Bukannya kerja berat pun. Aku mampu lagi," ujar Salmah.

Liya tersenyum hambar. "Err ibu, keputusan spm Liya dah keluar, Liya dapat 6A. Err kalau Liya nak sambung belajar boleh? Takpa pasal duit ibu jangan risau, nanti Liya cari sendiri…"

Salmah terdiam. Wajah anaknya dipandang. "Huh. Buat apa lah kau nak sambung balajar Liya. Ada baiknya kalau kamu kahwin jer."

"Kan bagus kalau Liya sambung belajar macam abang Farid dan Fariz. Liya pun ada cita-cita jugak," kata Liya Lagi.

"Tak payah la Liya. Orang miskin macam kita ni cita-cita apa sangat yang nak dicapai. Hari tu ada lah si Jamil kat hujung kampung sana tanya pasal kamu. Mak setuju jer kalau kamu kahwin dengan dia. Lagipun dia tu duda, isteri dah takda."

"Tapi mak, Liya nak sambung belajar. Lagi pun Liya kan muda lagi. Liya taknak lah kahwin dengan dia tu. Dia tu tua pada Liya," ucap Liya sambil muncungkan mulutnya.

"Kamu ni kan. Buat apa kamu nak sambung belajar? Nanti-nanti kamu duduk kat dapur jugak. Buat habis duit jer hantar kamu belajar, lepas kahwin nak jaga anak lah, jaga laki lah. Buang masa. Dah dah, tak payah nak merepek. Cepat bungkus, nanti kang tak sempat nak letak kat kedai."

"Ibu…"

Salmah meninggalkan Liya di dapur berseorangan. Esakan kecik daripada Liya mula kedengaran. Salmah buat tidak endah. Anak gadis sepatutnya duduk di dapur, bukannya ke sana ke sini, desisnya.

Mariah yang hendak menghantar bekas makanan ke rumah Salmah tiba-tiba terdengar perbualan dua beranak tersebut. Dia hanya mempu menggeleng sahaja mengenangkan sikap Salmah terhadap Liya. Dia bersimpati dengan Liya kerana tidak dapat mencapai cita-citanya hanya kerana dia seorang wanita.

"Assalamualaikum…"

"Waalaikumsalam, eh Makcik Mariah. Masuk lah." Liya menyeka air mata dengan hujung jari.

"Ibu kamu mana? Ni Makcik hantarkan bekas ni. Baru saja teringat. Mana tahu kalau kamu nak pakai," ujar Mariah sambil menepuk lembut bahu Liya.

"Ibu ada kat depan sana."

"Makcik pergi tengok ibu kamu," kata Mariah langsung berjalan ke ruang tamu.

Liya mengangguk lemah.

Mariah duduk mengadap Salmah yang jauh termenung. "Sal, kau kenapa?"

"Eh Mariah. Takda apa lah."

"Hurm aku ada terdengar kamu berbual dengan Liya. Kenapa dihalang cita-cita budak tu Sal. Dia muda lagi, biar dia belajar." Ucap Mariah. Dia menyentuh bahu Salmah perlahan.

Salmah menoleh mengadap Mariah. "Aku bukannya apa, kalau dia belajar tinggi sekali pun, dia tetap tak ke mana. Lepas kawen nanti, tempatnya dekat dapur juga…"

"Kau fikir pasal duit ke? Takpa aku boleh pinjamkan kau duit. Kesian dia Salmah. Biar lah dia kejar masa depan dia. Kita sebagai orang tua ni, doa yang baik-baik untuk anak-anak." Tutur Mariah sedaya upaya ingin memujuk Salmah.

"Tak payah la Mariah, hutang kau yang lama pun aku belum habis bayar lagi. Entah bila nak habis. Biar jer lah Liya tu duduk dengan aku, boleh la jugak tolong apa yang patut," jelas Salmah.

Terdengar Mariah mengeluh. "Ikut kau lah Salmah, cuma aku tak suka cara kau layan si Liya tu."

"Aku tahu apa aku buat Mariah. Aku tahu macam mana nak ajar anak-anak aku." Tegas Salmah.

"Yer lah…" Mariah hilang kata-kata. Salmah terlalu degil untuk mendengar nasihat. Mungkin ini yang terbaik untuk Liya, fikirnya.

MAJLIS perkahwinan antara Liya dan Jamil diadakan secara kecil-kecilan sahaja memandangkan Jamil ialah anak yatim piatu dan dia tidak mempunyai saudara mara di kampung tersebut.

Salmah orang yang paling gembira sekali kerana tanggungjawabnya sebagai ibu sudah terlepas. Dia tidak perlu risaukan Liya kerana sudah ada yang akan menjaganya nanti.

Farid dan Fariz juga tidak datang ke kenduri kahwin Liya kerana tidak dapat bercuti sementelah kampus mereka yang agak jauh.

Selesai sahaja majlis, penduduk kampung juga sudah beransur pulang. Yang tinggal hanyalah Salmah tiga beranak.

"Liya, kamu tu dah berkahwin. Nanti kamu tinggal dengan suami kamu," kata Salmah.

Liya yang sedang mengemas pinggan mangkuk mendekati ibunya. "Ibu, biar la Liya tinggal dengan ibu kat sini. Lagipun Liya boleh tolong ibu buatkan kuih."

Salmah memandang tepat ke wajah Liya. "Tak payah la Liya, aku larat lagi ni. Tempat kau di sisi suami. Takkan kamu nak biar si Jamil tu duduk sorang-sorang kat rumah dia. Tak pernah dibuat orang."

"Takpalah ibu kalau Liya nak duduk dengan ibu, saya tak kisah. Lagi pun boleh jer Liya tu balik sana bila-bila pun. Ibu ada lah juga peneman, takda lah sunyi sangat," ujar Jamil yang baru sahaja masuk ke ruang dapur. Dia melabuh duduk di atas tangga.

"Eh mana boleh macam tu. Suami isteri kenalah duduk sekali. Takkan la dah kahwin pun Liya nak duduk dengan ibu. Merepek lah kamu ni. Ibu boleh jer siapkan semua sendiri. Ibu bukannya tua sangat pun."

"Kalau macam tu nanti Liya hari-hari datang tolong ibu. Hehehe," celah Liya menunjukkan muka seposen.

"Ikut suka kamu lah Liya. Jangan sampai kamu lupakan suami kamu sudah. Kamu tu baru saja kahwin. Tanggungjawab kamu dekat suami kamu," nasihat Salmah.

Liya memandang wajah Jamil. Dia menunduk pabila Jamil juga memandangnya. Dia malu hendak menatap wajah lelaki yang baru sahaja bergelar suami itu.

Jamil bangun dan berlalu ke bilik. Salmah memberi isyarat supaya Liya mengekori Jamil. Liya muncungkan mulutnya tetapi tetap menuruti arahan ibunya walaupun hatinya terasa berat.

Salmah menggeleng apabila melihat sikap anaknya itu. "Budak-budak zaman sekarang ni memang degil," katanya disusuli dengan keluhan kecil.

Selepas Liya berlalu ke dalam bilik, Salmah duduk termenung. Dia rindukan Farid dan Fariz. Sudah lama mereka berdua tidak balik ke kampung. Sesibuk apakah mereka sehingga melupakan seorang ibu yang sentiasa mendoakan mereka siang dan malam. Air mata yang mengalir dibiarkan membasahi pipi. Tiba-tiba bayangan arwah Pak Andak muncul di fikirannya.

"Abang, anak kita, Liya dah kahwin. Kalau abang ada, mesti abang orang yang paling gembira. Abang ingat lagi tak masa kita mula-mula ambil Liya di rumah kebajikan, abang gembira sangat sebab akan dapat anak perempuan. Abang tatang dia walaupun dia cuma anak angkat kita tapi sekarang abang dah tak ada. Abang tak boleh tengok Liya kahwin. Tapi abang jangan risau, Liya akan bahagia. Sal dah jumpa orang yang boleh jaga Liya. Insyaallah Liya akan hidup senang nanti…" ucap Salmah lalu menyeka air mata yang mengalir di pipinya.

Kesunyian malam menyelubungi hati Salmah. Kerinduan terhadap suami tercinta tidak dapat diterjemahkan melalui kata-kata. Kini, kerinduan terhadap anak-anaknya pula yang menghantui dirinya. Dia hanya mampu menangis dalam diam, berharap suatu hari nanti, dia dapat meluangkan masa bersama lagi dengan anak-anaknya seperti mereka masih kecil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience