Belle memejam mata, fikirannya hanyut memikirkan bumi Malaysia yang sudah beribu batu ditinggalkan. Tidak dapat dibayangkan amukan Daddy saat menyedari dia lari dari rumah. Ya, dia lari dari rumah di hari pernikahannya. Layaknya dia digelar the runaway bride. Selama 21 tahun dia hidup di dunia, ini kali pertama dia mengingkari arahan Daddy. Selama ini dia turutkan saja walaupun di hati dia ingin menyuarakan pendapatnya tetapi ditelan saja kerana dia tahu, Daddy seorang yang tegas, jika hitam katanya maka hitam lah. Daddy terlalu possessive terhadap dia. Mungkin disebabkan itu, Mummy dan Daddy tidak sehaluan dan akhirnya mereka berdua membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Dia menjadi saksi betapa hancurnya hati melihat keluarga bahagia mereka berpecah belah, dan Mummy pergi meninggalkan dia. Ternyata cinta dan kemewahan yang mereka miliki masih tidak mampu menjamin kebahagiaan. Kisah Mummy dan Daddy merupakan salah satu sebab dia membuat keputusan ini. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang kepadanya.
Bagaimana dia ingin membina hidup dengan seorang yang tidak pernah dia kenali, bahkan nama bekas bakal suaminya itu pun dia tidak pernah ambil tahu. Yang dia tahu, lelaki itu bukan calang-calang orang. Salah seorang pewaris daripada keluarga Reid. Antara keluarga yang paling berpengaruh, bukan sahaja kerana kekayaan mereka tetapi juga kerana darah keturunan diraja yang mengalir di dalam badan mereka. Belle nekad melarikan diri untuk menyelamatkan masa depannya daripada tergadai. Dia punya cita-cita untuk dikejar, punya impian yang perlu direalisasikan. Hidupnya bukan hanya untuk menjadi boneka Daddy dan bakal suami yang dia tidak kenal!
Share this novel