BAB 11

Romance Completed 14815

Kenapa Syafiq marah-marah? Sejak bila Syafiq pulang dan kenapa Datin Sofia dan Datuk Halim ada bersama? Kenapa Mona menangis? Di mana lelaki tadi? Adakah bunyi tamparan sebentar tadi adalah bunyi Syafiq menampar Mona? Apa yang telah terjadi? Bik Suharti bingung sejenak.

"Abang! I tak salah, please trust me!" meronta-ronta Mona minta diberi kesempatan untuk memberi penjelasan.

Dia menarik-narik kaki Syafiq. Syafiq hilang pertimbangan dan menolah Mona sehingga sekali lagi wanita itu tersungkur. Balqis semakin kuat menangis apabila melihat mamanya diperlakukan sedemikian.

"Isteri tak guna! Tak ada maruah diri! Pening kepala konon, rupanya ada jantan lain!" herdik Syafiq sambil berlari ke dalam biliknya di tingkat atas.

"Kau memang menantu sial! Dalam rumah anak aku kau buat maksiat dengan lelaki lain!" giliran Datin Sofia menempelak Mona.

Datuk Halim diam tak terkata. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Berkali-kali dia menggelengkan kepalanya. Tak sampai 5 minit Syafiq datang semula dengan sebuah beg pakaian dan dilemparkan ke kaki Mona.

"Mulai hari ini, Aku ceraikan kau dengan talak 3! Berambus kau dari sini!!"

Syafiq berpaling ke belakang. Tidak sudi lagi melihat Mona. Bik Suharti ketika itu cuba menyimpulkan apa sebenarnya yang terjadi. Mungkin lelaki yang datang sebentar tadi cuba melakukan sesuatu kepada Mona yang sedang tidur. Dalam masa yang sama Syafiq pulang dari pejabat. Syafiq telah salah sangka!

"Tuan..."

Bik Suharti cuba membuka mulut. Ketika itu Syafiq sudah berlalu dan tidak mengendahkan panggilan Bik Suharti. Hatinya marah. Dia mahu bersendirian. Sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan, dia memandu laju meredah hujan lebat. Menggigil Bik Suharti ketika itu. Dia tahu Mona tak bersalah. Mona teraniaya!

"Bu..."

Dia cuba meraih simpati Datin Sofia supaya mendengar penjelasannya. Melihat pandangan Datin Sofia yang mengerikan dia tidak jadi membuka mulut. Mungkin sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia memberi penjelasan. Simpati dia melihat Mona yang merangkak mencapai beg pakaian yang dilemparkan Syafiq sebentar tadi. Dengan tangan kanan memegang pipi. Mungkin bisa akibat tamparan Syafiq masih terasa. Balqis berlari ke dalam pangkuan Mona. Mona dipeluknya erat dan dicium pipi Mona.

"mama sakit ya?"

Balqis mengusap pipi Mamanya seolah-olah turut merasakan kesakitan itu.

"Papa jahat! Papa pukul mama" dia menangis lagi.

Sebak Mona melihat anaknya menangis di situ. Datuk Halim yang sejak tadi membisu berdiri menghadap Datin Sofia.

"jom balik, saya tak sanggup nak tengok semua ni..."

Datuk Halim berjalan terlebih dahulu ke arah keretanya di luar rumah. Datin Sofia cuba memastikan Datuk Halim sudah masuk ke dalam kereta. Pandangannya tajam ke arah Mona dan Bik Suharti bersilih ganti.

"Padan muka kau! Ini akibatnya berani nak kahwin dengan anak aku!"

Datin Sofia ketawa. Dia cepat-cepat menutup mulutnya takut didengari suaminya yang sedang menunggu di dalam kereta. Mona cuba mencari maksud di sebalik kata-kata ibu mertuanya itu. Adakah Datin Sofia yang merancang semua ini?

"Suharti! Kau ingat, kalau kau cuba buka mulut, aku akan pastikan anak-anak kau di Indonesia musnah di tangan aku!" ugutan terakhir itu menyentak pendengaran Bik Suharti dan Mona.

"Dan kau pula Mona, kalau kau tak mahu anak-anak Suharti mati di tangan aku, baik kau berambus dari hidup anak aku!"

Dia merenung tajam ke arah Mona. Rupa-rupanya ini semua telah dirancang dan dalangnya adalah ibu mertuanya sendiri. Balqis yang tidak tahu apa-apa masih memeluk erat mamanya.

Datuk Halim dan Datin Sofia meninggalkan rumah itu. Menggigil Bik Suharti selepas mendengar ugutan itu. Dia tidak mahu terjadi perkara buruk kepada anak-anaknya. Dia memandang Mona. Cuba meraih simpati dari Mona. Menitis air mata mereka saat itu.

"Bik jangan risau ya, Ibu Sofia hanya mahu Mona pergi dari hidup anaknya... "

"tapi..."

"Jangan risau, Mona akan pergi. Dengan cara itu anak-anak bik tak akan diapa-apakan. Ibu simpan saja rahsia ini, ya?" bertambah deras air mata yang mengalir.

Balqis yang mendengar kata-kata Mona meronta-ronta. Walaupun masih kecil, dia faham maksud kata-kata mamanya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience