BAB 9

Romance Completed 14815

Episod itu berlalu bagaikan angin yang bertiup membawa dedaunan kering berterbangan dari tempat asalnya. Balqis kini membesar sebagai anak gadis yang cantik dan comel dengan wajah ala-ala kebaratan mewarisi kecantikan asli ibu kandungnya. Setiap kali terpandangkan wajah ayu itu, ingatan Syafiq akan kembali kepada bekas isterinya dahulu. Ke mana agaknya Mona sekarang? Entah kenapa dia rindukan Mona setiap kali memandang wajah puteri sulungnya itu. Walaupun Mona bersalah dan telah menghancurkan hatinya suatu ketika dahulu tapi Mona tetap ibu kepada Balqis. Dia sepatutnya menghargai Mona dan memberi peluang kepada Mona untuk memberi penjelasan.

Ketika itu usianya muda, panas barannya tidak dapat dikawal. Teringat lagi ketika dia melempang Mona sehingga jatuh ke lantai. Lelaki yang bersama Mona di dalam rumah mereka ketika itu lintang pukang lari membawa kasut meninggalkan banglo itu sebelum mukanya pula merasa penangan Syafiq. Ketika itu laju saja mulutnya melafazkan talak 3 sekaligus ke atas Mona dengan bersaksikan Datin Sofia, Datuk Halim, Balqis dan Bik Suharti. Mona tidak diberi peluang memberi penjelasan. Ketika itu dia merasakan untuk apa disimpan isteri yang tidak punya harga diri seperti itu.

Depan bukan main sayang tapi bermain kayu tiga di belakang. Lebih memalukan apabila rumah mereka sendiri dijadikan kandang maksiat. Kemarahan Syafiq begitu meluap-luap ketika itu.

"Morning Papa!" ciuman yang singgah di pipi kanannya mematikan khayalan Syafiq.

Terbang segala apa yang bermain di fikirannya tadi. Kenapa dia boleh berkhayal sejauh itu sedangkan sudah hampir 10 tahun peristiwa itu dilupakan. Balqis tersenyum sambil menarik kerusi di sebelah papanya. Sarapan pagi yang terhidang nampak menyelerakan. Raina keluar dari dapur menatang semangkuk sosej kegemaran Elisa.

"Mana Elisa ni?"

Raina merungut sendiri sambil menoleh ke arah pintu bilik Elisa yang masih tertutup. Berkali-kali dia menggeleng kepala dengan perangai anak bongsunya yang susah hendak bangun pagi itu. Balqis dan Syafiq saling menyengih melihat Raina yang sedang berjalan menuju ke bilik Elisa.

"Papa tak kerja hari ini?"

Soal Balqis sambil mencapai sosej yang masih panas dan disuapkan ke dalam mulutnya.

"Papa nak cuti hari ni, nak bawak Balqis jalan-jalan makan ais krim!" jawab Syafiq sambil tergelak.

Bulat mata Balqis mendengar kata-kata papanya.

"Pa! Balqis dah besarlah. Janganlah cakap macam tu!" rungut Balqis.

Macam budak kecil rasanya mendengar usikan papanya. Dia tahu papanya sengaja mengusik kerana sejak kecil kalau merajuk dia gemar dipujuk dengan dibelikan ais krim. Tapi kini dia sudah besar dan tidak merajuk lagi jadi tak perlu memujuknya dengan ais krim lagi. Buat malu saja kalau didengari kawan-kawan.

"Panjang papa termenung tadi, papa teringat seseorang ke?" seolah-olah dapat membaca fikiran papanya sebentar tadi.

Lama dia berdiri di sebelah Syafiq tadi tetapi Syafiq langsung tidak mengendahkannya. Jadi dengan sekali ciumannya barulah Syafiq kembali ke dunia nyata.

"Eh, pandai-pandai je nak kenakan papa balik!"

Dipulas manja telinga Balqis. Syafiq cuba mengawal perasaannya. Risau jika Balqis dapat membaca apa yang bermain di fikirannya tadi.

"Alah... Balqis dah besarlah pa, Balqis boleh tahu macam mana muka orang yang tengah berangan!"

Balqis ketawa mengekek dengan kata-katanya sendiri. Dia menjeling manja papa di sebelahnya. Syafiq meletakkan cawan kopinya dan menoleh ke arah anaknya itu.

"Balqis, Balqis tak rindukan mama?" berkerut dahi Balqis mendengar pertanyaan itu.

Syafiq merengus kasar. Bodohnya dia mengajukan soalan itu. Untuk apa dia mengembalikan ingatan Balqis yang telah hilang terhadap Mama kandungnya.

"Lupakan, makanlah!"

Syafiq kembali mencapai cawannya dan cuba mengawal emosinya.

"Rindu yang tak ada gunanya papa..."

Terkejut Syafiq dengan kata-kata puterinya itu. Rupanya Balqis memahami maksud di sebalik soalannya tadi. Balqis tersenyum pahit sambil mengunyah perlahan baki sosej di dalam mulut.

"Balqis, papa..." tak sempat dia hendak menghabiskan kata-katanya, perbualan itu terhenti sebaik melihat Raina datang dengan Elisa yang masih berbaju tidur.

Syafiq cuba menghadiahkan senyuman buat isteri dan anak bongsunya itu bagi menutup rasa kalut yang hadir dalam dirinya sebentar tadi. Sementara Balqis di sebelah diam merenung air di dalam cawan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience