BAB 10

Romance Completed 14815

Bik Suharti memegang erat sepucuk sampul surat berwarna biru yang telah sekian lama dalam simpanannya. Saat dia mengotakan janjinya telah tiba. Tetapi kekuatannya seakan hilang. Dia takut Balqis akan kembali bersedih setelah membaca warkah yang dikirimkan ibu kandungnya beberapa tahun dahulu. Ketika itu Balqis masih kecil mungkin kerana itu dia memberontak. Tapi sekarang anak itu sudah mencapai usia yang sepatutnya jadi haruslah Bik Suharti melaksanakan amanat bekas Puan Besarnya itu. Dia tidak tahu apa isi yang terkandung di dalam warkah itu. Dia takut kalau isinya akan melukakan hati Balqis. Dia tidak mahu Balqis bersedih setelah bahagia yang datang dalam kehidupannya setelah Raina hadir sebagai pengganti Mona.

Sudah berbelas tahun dia berkerja dengan keluarga itu. Dia mahu bersara. Mungkin dengan terlaksana amanatnya itu, maka dia akan mengakhirkan pengorbanannya untuk keluarga itu selama ini. Dia mahu pulang ke Indonesia, negara asalnya. Dia juga ada anak di sana yang harus dijejaki semula selepas dia bertekad beberapa tahun lalu semata-mata ingin berkerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Sampul itu masih dipegang dan direnungnya. Peristiwa hitam beberapa tahun lalu bermain semula di fikirannya. Ketika itu dia sedang mencuci pinggan di dapur. Hujan lebat dengan kilat berdentam dentum membingitkan telinga. Mona tidak ke pejabat kerana pening kepala.

Syafiq selaku bos di tempat kerjanya menyuruh isterinya itu berehat saja di rumah. Ketika itu Balqis sedang lena di dalam kamarnya. Tiba-tiba pintu diketuk seseorang. Bik Suharti bergegas ke ruang tamu untuk membuka pintu. Seorang lelaki yang sudah basah kuyup meminta ruang untuk tumpang berteduh. Sudah memang sifatnya mudah bersimpati dengan seseorang, Bik Suharti membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumah.

Ketika itu Mona sedang lena di sofa dan tidak sedar dengan kehadiran lelaki itu. Tidak sampai hati Bik Suharti ingin mengejutkan Puannya itu. Dibiarkan Mona terus lena. Bik Suharti hilang di dalam biliknya untuk mendapatkan tuala buat lelaki yang tidak dikenali itu.

Sedang dia mencari tuala kering di biliknya almarinya dia terdengarkan bunyi tamparan yang kuat di ruang tamu. Bergegas dia ke ruang tamu melihat apa yang sedang terjadi. Mona sudah terduduk di depan Syafiq. Syafiq memaki hamun Mona dengan panggilan yang tidak sepatutnya. Dia mencari lelaki yang menjadi tetamu tak diundang sebentar tadi, sudah hilang entah ke mana. Datin Sofia dilihatnya berpeluk tubuh merenung Mona bagai hendak ditelan. Datuk Halim terduduk di sofa. Sementara Balqis merengek memeluk pintu biliknya di tingkat atas. Cepat-cepat Bik Suharti pergi mendapatkan Balqis. Apa yang terjadi sebenarnya ketika itu dia kurang mengerti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience