BAB 15

Romance Completed 14815

Bagaikan terhenti degupan jantung saat mata mereka saling bertentangan. Melihat wanita yang masih jelita di atas kerusi roda. Kini fahamlah mereka kenapa dia tidak mampu menjejaki Balqis di bumi Malaysia. Balqis berlari memeluk Mona. Ketika itu tiada kata yang terucap selain air mata yang mengalir deras.

Balqis memeluk erat tubuh Mona. Syukurlah masih belum terlambat untuk dia bertemu dengan ibu yang paling disayanginya itu. Raina yang melihat dari jauh merasa sebak. Begitu juga Elisa yang sudah teresak-esak melihat kakaknya yang menangis dalam pelukan ibu kandungnya.

Mona lesu. Hanya mampu tersenyum dan membalas pelukan anaknya di atas kerusi roda. Dia tidak berdaya untuk berdiri. Nun dari jauh, seorang lelaki yang masih segak datang mendekati. Mona tidak mampu merenung mata itu. Dia malu untuk berhadapan dengan Syafiq. Dia tahu Syafiq membencinya. Dia bersedia seandainya Syafiq masih ingin mengherdiknya. Tambahan pula ketika itu matanya bertemu mata dengan Raina. Isteri bekas suaminya begitu cantik dan sempurna berbanding dirinya yang berkakikan kerusi roda. Dia malu dilihat seperti seorang pengemis. Dia tahu tempatnya di hati Syafiq sudah berganti dengan kehadiran Raina. Dia tidak kisah semua itu kerana apa yang penting kini adalah Balqis. Puteri itu nampaknya sudah memaafkannya dan menerima dirinya semula. Sebak dia ketika Balqis lari ke dalam dakapannya.

"Mona... maafkan abang!" betulkah apa yang didengarinya.

Balqis meleraikan pelukannya dan mengangguk kepada Mona. Dia juga mahu memohon keampunan kerana pernah menyimpan benci terhadap ibu yang mulia itu. Mona tidak mengerti, bukankah aku perempuan yang kau anggap curang?

"Abang dah tahu segala-galanya!"

Syafiq melutut di hadapan Mona. Mata mereka saling bertentangan. Tidak dihiraukan Raina dan Elisa yang memerhati dari jauh. Syafiq tidak mampu membendung rasa rindunya terhadap wanita itu. Dia menarik Mona ke dalam pelukannya. Mona terkedu. Dalam kepalanya sarat dengan pertanyaan.

"apa yang abang tahu?" Soal Mona.

"Semuanya! Bik Suharti dah ceritakan segalanya. Maafkan abang!"

Syafiq terus memeluk erat bekas isterinya. Mona kurang selesa. Dia cuba menolak tubuh bekas suaminya itu.

"Kita bukan muhrim lagi..." sayu Syafiq mendengarnya.

Terasa jauh dirinya dengan Mona. Bagi Mona, kalau benar pun segala rahsia telah terbongkar dan siapa yang membongkarkan, itu tidak penting. Hatinya hancur luluh saat Syafiq menjatuhkan talak ke atasnya dulu tanpa mendengar penjelasannya.

Suaminya ketika itu langsung tidak mempercayainya. Sedangkan dia jatuh cinta pada Syafiq bukan setakat diri Syafiq malah agama yang dianuti Syafiq. Mana mungkin dia melakukan maksiat di belakang suami.

Setelah diceraikan, dia membawa diri ke bumi asal dia dilahirkan. Dengan susah payah dia mempelajari kecantikan islam itu tanpa bantuan sesiapa melainkan Al-Quran pemberian Bik Suharti.

"Mama... please dont do this to us..." rayu Balqis sedih melihat Mona seperti tidak sudi menerima papanya.

Dia mahu melihat papa dan mamanya kembali bersatu. Itu harapannya selama ini. Walaupun dia bahagia ada ibu seperti Raina, tapi tidak sama jika dibandingkan dengan nilai seorang ibu yang melahirkan dirinya.

"Bukan begitu... mama dengan papa bukan lagi suami isteri seperti dulu Balqis, mama tak boleh peluk papa!" tegas Mona berbicara tetapi dalam nada perlahan.

"Kalau begitu, kita kahwin!" laju saja ayat itu lahir dari bibir Syafiq.

Mona dan Balqis kelihatan terkejut dengan tindakan drastik Syafiq. Entah akal mana yang menjengah dia sendiri tak pasti. Dia hanya mahu Mona kembali semula dalam hidupnya. Dia tidak pernah dapat membuang rasa cinta terhadap Mona yang wujud dalam dirinya walaupun dulu dia marah terhadap wanita itu.

Apatah lagi kini wanita itu terbukti tidak bersalah, bertambah-tambah keinginannya untuk bersama Mona semula. Bagaikan tidak sedar yang Raina berada di belakangnya. Balqis merenung Raina. Mungkin Raina terluka mendengar lamaran Syafiq terhadap bekas isterinya. Mungkin juga Raina cemburu.

Tapi Raina perlu menerima kenyataan bahawa Mona wanita pertama di hati Syafiq dan perpisahan mereka bukan kerana niat di hati. Balqis mahu mama dan papanya bersatu semula. Tapi dia juga tidak mahu mama Rainanya kesedihan.

"what are you talking about? Between me and you, we are over! Just look at your wife."

Tegas Mona malu dilihat Raina dan Elisa. Pantas Balqis mengangkat kepalanya merenung Mona. Tergamak Mona menolak papanya. Menolak papa bererti menolak dirinya juga. Balqis berdiri.

"Mama tak sayang Balqis? If mama tak mahu accept papa it means that you do not love me too!"

Balqis sedih. Dia tahu Mona terluka dengan tuduhan palsu papanya suatu ketika dahulu, tapi tidakkah dia sebenarnya masih menyintai bekas suaminya itu? Atau Mona cemburu dengan kehadiran Raina?

Mona serba salah. Dia sebenarnya malu diperlakukan begitu. Dia tidak harapkan pertemuan ini untuk bersatu semula dengan bekas suaminya. Cukup dengan mendapat semula Balqis dalam kehidupannya. Itu lebih bermakna. Dia tidak perlukan suami setelah hampir berbelas tahun dia hidup menjanda.

"Mona...please.. terima lamaran Syafiq..." tidak diduga, Raina bertindak sedemikian.

Menjadi pemujuk agar Mona berkahwin dengan suaminya. Elisa tercengang melihat ibunya yang melutut di sisi Syafiq. Syafiq senyum memandang Raina. Kagum dia dengan isterinya itu.

Raina jauh sekali dengan Raina sebelum menjadi isterinya dulu. Raina selepas menjadi isterinya seorang yang matang dan lemah lembut.

"awak tak sayangkan dia ke?" soal Mona ingin tahu.

Isteri mana yang sanggup melamar wanita lain untuk suaminya?

"of course i do. But he loves you more than anything! Trust me..."

Raina menyentuh jari jemari Mona. Cantik benar rupa paras wanita ini. Patutlah sehingga kini Syafiq masih tak dapat melupakannya. Raina tidak menafikan kecantikan itu. Apatah lagi wajah yang anggun dan bersih itu dihiasi dengan sehelai selendang berwarna hitam. Menyerlahkan lagi keayuan di wajah yang cerah itu. Terpegun Raina dengan kecantikan Mona. Terbit rasa cemburu, tapi untuk apa?

"betul cakap mama saya auntie..." Sokong Elisa.

Dia tidak takut mempunyai ibu tiri kalau ibu tiri itu adalah wanita di hadapannya. Mona nampak baik dan lemah lembut. Balqis mewarisi kecantikan yang ada pada Mona. Mona mengangkat kepalanya bertentang mata dengan Elisa.

Tersenyum dia ketika itu. Gadis muda ini tentunya anak Syafiq dengan Raina. Mona menduga. Dia tidak mahu Elisa mempunyai ibu tiri. Dia sudah lama memaafkan Syafiq. Tapi tak perlu rasanya menyatukan semula ikatan yang sudah bertahun terhurai.

"Mona... kita kahwin semula?"

Sekali lagi Syafiq melamar setelah lama membisu. Mereka mengelilingi Mona mengharapkan jawapan yang positif darinya. Mona jadi malu. Namun terpandangkan wajah Balqis yang mengharap dan wajah lembut Raina dan Elisa, hatinya sedikit terusik. Syafiq juga nampak beria-ia. Tapi...

"Mama awak bencikan saya! Nanti akan apa-apakan anak-anak bibik" benar, bagaimana kalau dendam itu bangkit semula? Datin Sofia tak mustahil bertindak di luar jangkaan.

"Mama saya dah pun terima balasannya Mona. Dia kena strok dan sekarang lumpuh satu badan. Dia juga jadi bisu sekarang akibatnya penyakitnya tu. Dia hanya terbaring saja di katilnya. Dia tak mampu buat apa-apa. Mona tak perlu risau..." jelas Syafiq.

Begitulah balasannya kalau ada niat jahat. Tuhan itu Maha adil. Setiap perbuatan jahat pasti ada balasannya.

"tak ada gunanya Syafiq, saya tak mampu bahagiakan awak lagi. Saya cacat sekarang!"

Mona merendah diri. Sebak Balqis melihat Mona. Dia tahu mamanya itu menderita.

"Abang tetap cintakan Mona. Walau bagaimanapun keadaan Mona, Mona tetap wanita terhebat di mata abang!" bersungguh-sungguh Syafiq ingin menawan hati Mona semula.

Raina mengangguk setuju. Dia tidak perlu cemburu dengan wanita sebaik Mona. Malah dia kagum dengan kekuatan dan ketabahan wanita itu. Balqis memeluk Mona untuk memberi kekuatan kepada ibunya itu.

"Mona tak boleh berjalan..."

"Abang akan jadi kaki untuk Mona berjalan..."

Mona menangis lagi mendengar ungkapan Syafiq. Syafiq nampak ikhlas. Raina dan Elisa juga seperti berharap. Akhirnya, perlahan-lahan Mona mengangguk setuju. Syafiq begitu terharu. Bertambah dalam rasa cintanya untuk Mona. Setelah berbelas tahun dia berdosa kepada wanita itu, Dia masih sudi menerima dirinya. Dia mengucup jari jemari Mona. Bahagia tidak terucap dengan kata-kata.

"Thank mama!"

Balqis memeluk erat mama kesayangannya itu. Bahagia sungguh dia dengan keputusan Mona. Mona turut menarik Raina dan Elisa ke dalam pelukannya. Tidak mustahil di zaman ini masih ada isteri yang sanggup berkongsi kasih dan saling berkasih.

Dalam diam Syafiq mengucap syukur ke hadrat Ilahi. Dia dapat semula kekasih hatinya. Dia berjanji, sisa-sisa hidup kali ini tidak akan dipersiakan lagi. Tidak akan dilukai lagi hati wanita sehebat Mona.
Untuk Mona diberi kasih dan cinta yang dalam sedalam air di lautan malah lebih dalam lagi. Buat Raina diberi sayang yang sungguh bermakna.Kedua-duanya begitu bermakna buatnya. Tetaplah Mona menjadi bintang hatinya, kekasih awal dan akhir, isteri tercinta dan semoga dia menjadi bidadari untuknya di Jannatul Firdausi nanti.

‘’Hanya kamu yang satu sayangku,’’ bisik hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience