BAB 3

Romance Completed 14815

"Mama jahat! Mama tipu Balqis! Mama mungkir janji!"

Praanngg!! Pecah berkecai frame gambar Mona dilemparnya. Kaki dihentak-hentak ke lantai. Bik Suharti yang kelam-kabut jadinya. Lekas-lekas dia mengutip kaca yang bersepah takut kalau-kalau terpijak oleh si kecil itu nanti. Walau sudah sebulan Mona meninggalkan rumah, Balqis masih memberontak. Pening Syafiq tidak tahu bagaimana hendak memujuknya. Sudahnya dia pasang enjin kereta dan menghilang. Datin Sofia menjeling tajam cucunya itu. Hendak dipukul tidak sanggup, hatinya sayang pada anak itu. Tapi geram juga dia bila Balqis tak henti-henti mengamuk.

"Balqis, mama Balqis memang jahat! Buat apa Balqis nak ingatkan dia lagi!" Bentak Datin Sofia. Datuk Halim yang sedang membaca surat khabar di ruang tengah menggeleng kepala. Runsing dia dengan situasi itu. Dia mengangkat punggungnya membawa surat khabar ke luar banglo. Sunyi sedikit berbanding di dalam rumah.

"Mama tak sayang Balqis!!" jerit Balqis selantang-lantangnya. Datin Sofia menghampiri Balqis.

"Sudahlah sayang, nendakan ada...biarlah mama Balqis tu nak pergi mana pun, dia memang tak sayang Balqis sebab tu dia tinggalkan Balqis! Tapi nenda sayang Balqis, nenda tak akan tinggalkan Balqis." diusapnya rambut Balqis yang masih menangis.

Balqis memeluk nendanya itu. Dia mula membenci Mona. Mamanya itu telah memungkiri janji yang dilafazkan. Tertikam Bik Suharti mendengar kata-kata Datin Sofia itu. Tidak sepatutnya seorang nenek berkata begitu tentang menantu yang juga ibu kepada cucunya. Kalau bukan kerana pangkat Datin Sofia sebagai ibu kepada tuannya dalam rumah itu, mahu sahaja dia menendang perempuan itu keluar dari situ.

"Balqis tak nak sayang mama lagi!"

Balqis terus menangis. Datin Sofia tersenyum di sebalik pelukan Balqis yang erat. Puas dia mendengar ungkapan itu. Memang itu yang dia mahukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience