BAB 16

Romance Completed 1960

Air mata mengalir lesu. Bersama kesalan yang tidak pernah berkesudahan. Bersama sayu. Bersama sendu.

"Aku dah tak sanggup nak bela emak. Kalau kau orang nak, ambik! Bawak balik ke rumah kau orang!"

Senyum hambar terlakar. Inilah takdirnya!

Kerana sudah tidak sanggup, anak-anaknya berpakat menghantar dia ke sini. Di pusat jagaan orang-orang tua di Ipoh, Perak. Anak-anak yang bekerja sebagai doktor, lawyer dan arkitek punya banyak duit. Demi menjauhkan dia daripada mereka, mereka sanggup mengeluarkan wang beribu-ribu, konon supaya dia selesa hidup di sini.

Yalah tu! Macam dia tak tahu? Siapakah yang lebih selesa tanpa dirinya? Hmm, konon!

Kalaulah suaminya masih hidup?

Dia ingin bangun. Dia ingin mendapatkan suaminya. Dia sudah kehilangan. Kaca dianggap permata, menyebabkan kini dirinya diguris luka oleh kaca-kaca yang pecah berderai itu. Permata? Permatanya sudah hilang! Dia yang membuangnya dengan kata-kata hinaan. Dia yang merelakan permata hatinya pergi.

“Maafkan, mak, Rizky. Mak malu hendak menatap wajah kamu. Mak tak layak menunggu kamu. Mak tak layak!”

Sedang Rizky, Bella, Melrose, Pak Maon dan Mak Cik Minah sampai, pihak pengurusan sedang gawat, terkejut dengan pemergian Mak Intan.

Rizky menangis lagi. Kelmarin, dia pulang hanya untuk melihat kubur arwah ayahnya, Pak Sood. Hari ini, dia hanya dapat merenung sayu pada jasad kaku Mak Intan.

Ya, dia terlewat lagi. Terlewat dalam menyedari bahawa ibu bapa, walaupun hanya bergelar ibu bapa angkat, tetaplah merupakan mereka yang pernah mencurahkan kasih sayang yang penuh kepadanya. Janganlah diambil hati dengan segala kata-kata mahupun umpat keji kerana marah mereka tidak akan lama. Kenapa dia lupa?

Bilakah rasa kesal ini akan berakhir?

“Abang, apabila mati anak Adam, ada 3 perkara akan mengiringinya ke sana. Ilmu yang dimanfaatkan. Sedekah jariah yang diberi. Dan,”

Kata-kata Bella bersambut, “Dan doa daripada anak yang soleh. Tapi Bella, layakkah abang?”

Bella tersenyum, menyeka air mata yang bergenang di tubir mata suaminya.

“Tugas kita sebagai hamba-Nya ialah mengerjakan apa yang Dia suruh. Layak atau tidak kita bergelar anak yang soleh, biar Dia yang menentukan. Layak atau tidak kita masuk ke syurga-Nya, biar Dia saja yang menentukan."

"Tapi, abang kesal. Kalaulah abang pulang lebih awal?"

"Berdoalah untuk mereka. Doakan kesejahteraan roh mereka di sana. Abang anak mereka yang baik. Mereka tahu dan mereka redha dengan abang. Yakinlah, Allah ada. Dia tahu apa yang ada dalam hati abang tu."

Pujukan isteri disambut deraian air mata kesalan seorang anak. Meskipun dia tahu yang ibu dan ayah sudah memaafkan namun rasa terkilan ini akan dibawa sehingga ke akhir hayatnya.

"Tuhan, ampuni dosa-dosaku. Aku lalai menjalankan tanggungjawab kepada orang tuaku sewaktu mereka hidup. Aku tahu aku berdosa kepada mereka. Aku menyesal! Menyesal sangat! Ya Allah, terimalah taubatku. Izinkan aku berbakti dalam doaku kepada mereka. Izinkan aku menjadi anak yang soleh kepada mereka. Cucurilah rahmat ke atas roh emak dan ayah di alam barzakh. Bahagiakanlah! Sesungguhnya, aku sayang sangat pada mereka!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience