BAB 6

Romance Completed 1960

“Kita pindah, nak?” tanya Rizky kepada isterinya. Dia ingin lari daripada kehidupan yang tidak bahagia ini. Baginya, lebih baik dia menjauh daripada ibu, ayah dan adik-beradik yang tidak pernah menghargai dirinya.

Bella meletakkan jari telunjuk di bibir Rizky.“Jangan cakap macam tu. Nanti mak dengar, kecik hati dia.”

“Tapi,”

Bella meyakinkannya bahawa apa yang dilakukan sekarang adalah untuk suaminya. Pengorbanannya ini supaya Rizky disayangi ibu dan ayah. Dia rela melakukan selagi terdaya. Dengan syarat, kasih sayang Rizky hanya untuknya.

Namun, kenangan pada pagi hari raya 1421 H, amat melukakan. Isteri Along, Kak Rafidah kehilangan kalung berlian pemberian suaminya. Tanpa usul periksa, dia menuduh Bella dan Rizky yang mencuri kalung itu.

“Kak Long dah gila ke? Kami nak buat apa dengan kalung tu? Takkan saya nak hadiahkan pada Bella ? Bodoh sangat ke saya, nak bagi dia pakai dia dengan kalung Kak Long?” Rizky membentak demi terpandang wajah isteri yang sedih.

“Memanglah! Bodohlah kamu kalau kamu bagi dia pakai dengan kalung tu! Tapi, tentu kamu tak bodoh untuk jual dan beli barang kemas lain yang dah melekat pada badan dia tu, kan?”

Semua mata tertumpu kepada Bella. Masing-masing sedang memandang ke pergelangan tangan kiri isterinya. Ada seutas rantai tangan yang baru dibelinya sewaktu mereka ke pekan kelmarin.

Bella dan Rizky saling berpandangan sebelum Rizky bersuara lantang. "Maksud kak long, rantai tangan ni?"

"Mestilah! Jangan cakaplah kau beli rantai tangan tu dengan duit kau hasil kerja susun bata tu. Tak adanya kau mampu!" kutuknya.

Tiba-tiba, Mak Intan mengamuk. Belakang tubuh Rizky dipukul dengan batang penyapu yang sedang dipegang.

“Aku tak pernah ajar anak aku jadi pencuri, tahu! Aku tak pernah ajar anak aku jadi orang jahat! Itulah! Kalau dah anak pungut tu, anak pungut jugak! Tak sedar diri! Kita bagi dia tempat menumpang hidup, bagi dia madu, dibalasnya racun! Puas dididik untuk jadi manusia, tapi kalau dah memang keturunan tak baik, tak mahunya!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience