BAB 11

Romance Completed 21177

Aku merenung pen parker hitam di atas meja kecil tepi katil. Aku melepaskan keluhan berat. Biarlah segala kenangan lalu kulepaskan pergi. Kurenung pula cincin tunang yang tersarung kemas dijari manisku. Cincin yang tersemat dijariku sejak dua minggu lalu.

Tanpa kusedari airmataku gugur membasahi pipi yang baru disaluti mekap hasil sentuhan seni mak andam tadi. Sekelip mata air hangat itu mengalir deras membasahi kebaya songket ungu lembut yang tersarung ditubuhku. Perasaan apakah ini ya Allah?

Aku menangisi hari pernikahanku sendiri. Hari ini hari bersejarah buat diriku. Sebentar lagi aku akan bergelar isteri kepada seorang lelaki yang bernama Zulkifli. Aku akan dijabkabulkan dengan lelaki itu yang aku kenali hanya pada namanya sahaja.

Perkahwinan ini adalah perkahwinan drastik yang diaturkan oleh Along.Perkahwinan yang pada mulanya aku tentang, tetapi akhirnya kuterima juga semata-mata kerana Along.

Along sanggup berkorban untukku selama ini dan kenapa tidak pula aku sendiri yang berkorban untuk menjaga maruahnya kali ini. Perkahwinan ini adalah hadiahku kepada Along yang selama ini membesarkan aku dengan sempurnanya.

Aku sudah nekad. Inilah jalan yang kupilih. Selepas ini hidupku hanya untuk lelaki yang bernama Zulkifli. Dialah suamiku yang akan memimpinku dalam menjalani kehidupan di masa hadapan. Biar kupadam semua memori Syah dari ingatanku selamanya.

Tiada gunanya lagi aku mengenang kisah lama. Biar kubuang jauh-jauh daripada hidupku. Biar kututup kisah lama dan membuka lembaran baru dalam hidupku untuk membina rumah tangga yang sempurna bersama lelaki yang bergelar suamiku. Ini tekadku.

“Kak Dewi! Kak Dewi! Rombongan pengantin lelaki dah sampai!” Jerit Lyn, berlari menerpa masuk ke bilikku. Aku terkejut dan cepat-cepat menyeka airmata.

“Rombongan dah sampai ke?” Aku bertanya soalan bodoh. Lyn mengangguk. Serta merta jantungku berdegup kencang. Paluan kompang yang kuat menambahkan lagi degupan jatungku. Terasa seperti jantungku pula yang dipalu. Debaran apakah ini?

“Wei mak cik Syam, kenapa muka pucat je ni?” Soal Milah yang baru masuk bersama Siti. Mengambil tempat duduk di sisiku.

“Pengantin mana boleh buat muka monyok macam ni. Bakal suami dah ada kat luar tu. Senyumlah sikit cik pengantin oi...” Siti memandangku lalu pipiku ingin dicuitnya. Aku mengelak.

“Uish..luntur mekap aku nanti. Penat mak andam tadi mekapkan tau..berjam-jam lamanya.” Aku mengusap pipiku yang diselaputi mekap setebal setengah inci. Memang lenguh juga tengkukku tadi duduk berjam-jam macam patung. Bukan senang nak tancap balik kalau dah luntur.

“Ceh..ceh..luntur mekap konon. Belum sentuh pun dah luntur...Ni ha, rupa pengantin ke rupa momok ni?” Milah menyerahkan cermin kecil padaku.

Kupandang dalam cermin, habis hitam seluruh bahagian bawah mata. Aku tersengih kambing memandang Siti dan Milah. Pantas saja tangan Siti dan Milah hinggap di mukaku. Membantu membersihkan dan membentulkan semula masakara yang telah luntur.

Aku yang tidak reti dalam kerja-kerja menghias wajah ni memang tidak pandai betulkan sendiri. Maka jadi patung barbie lagilah aku berdiam diri.

“Kak Dewi nangis tadi ek. Ish..ish..akak ni..nak kawin pun nangis.” Lyn mengusik. Walaupun masih berusia di awal remaja, namun perangai adik Milah itu saling tak tumpah macam kakaknya. Suka mengusik.

“Biasalah terharu nak kawin dik. Kau budak kecik apa tau.” Jawabku spontan. Milah dan Siti ketawa mengekek di depanku. Aku memandang tajam mereka berdua. Tak tahu apa pula yang mereka ketawakan. Aku buat lawakkah? Tiba-tiba kulihat pula Milah mengeyitkan matanya pada Siti dan Siti pula membalas dengan mengakat keningnya sambil tersengih. Apa kenanya dengan kawan aku ni?

“Korang ada buat sesuatu kat belakang aku ek?” soalku curiga. Aku dapat menghidu sesuatu dan kulihat bayang-bayang tanduk pada kepala Siti dan Milah. Pasti ada sesuatu yang dirahsiakan mereka.

“Ishk, takdelah.” Siti cepat-cepat menyangkal. Milah pula tersengih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience