BAB 8

Romance Completed 21177

Perkahwinan Siti berlangsung dengan sempurnannya. Aku yang mendapat cuti sebulan menghabiskan sisa cutiku itu untuk melepak di kampung Siti bersama Milah. Sedang aku berseronok bercuti panjang itu, tiba-tiba pula menerima panggilan telefon daripada Along di KL.

Panggilan kerahan yang menyuruh aku segera pulang. Sesampainya di rumah, aku disajikan pula dengan berita paling tergempar. Berita yang diluar jangkaanku dan lebih teruk lagi kerana bersangkut paut dengan masa depanku.

Aku tidak menyangka Along telah menerima bulat-bulat pinangan untukku daripada seorang lelaki yang bernama Zulkifli. Along buat keputusan tanpa berbincang denganku terlebih dahulu!

“Apa semua ni Long? Kenapa buat Dewi macam ni?!” Aku cuba meminta kepastian atas keputusan drastik yang dibuat Along.

“Along dah buat keputusan. 28 Oktober ni tarikh nikah Dewi dengan Zulkifli. Bersiap sedialah Dewi untuk menjalani kehidupan berumah tangga dalam tiga minggu lagi.” Along bersuara mendatar tapi terselit nada tegas pangkat Mejarnya.

Siapa Zulkifli? Doktor? Lowyer? Majistret? Ahli Muzik? Peniup seksefon? Aku kenal ke? Aku cuba mengingat. Aku meneroka sistem memori otakku tapi nama itu tiada dalam memori.

Tiada dalam senarai orang yang kukenali. Ah, itu tidak penting. Itu bukan jawapan kepada soalanku tadi. Bukan jawapan kepada persoalan yang bermain di benak fikiranku. Persoalan utama sekarang, kenapa Along buat keputusan tanpa berbincang denganku?

“Kalau ya pun Long, biarlah Dewi sendiri yang pilih bakal suami Dewi, dan tentukan bila masa Dewi nak kawin. Dewi bukan budak kecil lagi Long. Tak perlu Along nak tentukan semuanya untuk Dewi..” Aku cuba bersuara bagi menegakkan keadilan untuk diriku.

Sesungguhnya aku tidak mahu dikahwinkan dengan sesiapa yang aku tidak dikenali. Malahan dalam masa yang terdekat ini pula. Tiga minggu lagi? Memang suatu yang drastik dan tidak masuk akal!

“Sebab Dewi ni bukan budak kecillah Along nak Dewi berumah tangga secepat mungkin. Dewi dah besar panjang..dah jadi tanggungjawab Along sebagai anak sulung untuk kahwinkan adik Along bila dah sampai waktunya. Takkan itu pun Dewi tak faham...”

Kalau itulah jawapannya, memang aku tak faham. Aku bukannya anak dara tua pun yang perlu dikahwinkan secepat mungkin. “Tapi Long...”

“Dah, takde tapi-tapi lagi. Along dah buat keputusan. Pinangan tu pun Along dah terima. Cincin tunang ada pada pada Kak Long kau. Along dah informkan pada Tok Wan kat kampung. Semua sedara mara pun dah tahu. Persiapan pun dah mula dibuat dah. Dewi jangan nak buat perangai pulak nak membantah!” Kali ini dengan nada yang lebih tegas berbaur amaran.

Ya Allah! Apakah semua ni? Perkahwinan paksa?? Semua persiapan sudah mula dibuat, semua saudara mara sudah pun tahu. Semua orang sudah tahu aku akan melangsungkan perkahwinan tiga minggu lagi..dan akulah orang terakhir yang mengetahuinya. Ini tidak adil! Along memang berlaku tidak adil padaku!

“Ini berkaitan masa depan Dewi. Along tak boleh campur tangan. Dewi nak kawin dengan siapa ke..tak nak kawin ke..itu hak Dewi! Hak Dewi untuk tentukan masa depan Dewi sendiri! Along tak ada hak atas kehidupan Dewi!” Bentakku. Aku tak mahu mengalah kerana ini melibatkan masa depanku.

“Along ada hak!!” Tengking Along dengan wajah merahnya. Aku terkesima. Nampaknya aku menaikan amarah Along.

Ah, aku tak peduli. Along nak marah, marahlah. Ini hak aku. Aku cuba bersuara lagi, “Along takde hak dalam hal ni. Along tak boleh....” kata-kataku dipotong.

“Along berhak! Along bertanggungjawab atas hidup Dewi selagi Dewi masih belum bergelar isteri orang! Itu janji Along pada arwah ayah dan mak! Dewi faham tak??!!” Bergema suara Along bagai dentuman guruh. Aku menelan air liur. Kata-kata bantahan tersangkut dikerongkong apabila melihat Along berdiri di hadapanku dengan wajah serius Mejar Wan Shahidan Kassim.

Aku tahu marah benar Along kali ini. Kak Long menghampiri Along, cuba meredahkan kemarahannya. Dalam masa yang sama memberi isyarat kepadaku agar tidak lagi membantah. Aku tunduk diam. Tidak berani lagi mengeluarkan kata-kata bantahan.

Silap hari bulan pipi tembamku pula akan jadi sasaran.Aku tahu kuasa mutlak abang sulungku mengatasi segala-galanya. Setelah pemergian ayah dan ibu ke rahmatullah lapan tahun yang lalu, Alonglah yang membesarkan aku. Alonglah yang bertindak sebagai ayah dan ibu kepadaku.

Aku membesar dengan kasih sayang seorang abang yang terbaik di dunia ini. Satu-satunya abang yang aku miliki. Aku sedar selama ni semua tanggungjawab keluarga terletak pada bahunya. Dan bermakna juga semua keputusan keluarga terletak pada tangannya.

Aku tidak sanggup lagi bertegang lidah dengan Along. Dengan perasaan yang geram dan sakit hati aku berlari ke bilik. Kuhempaskan pintu sekuat hati. Lalu kurebahkan diri di atas katil dan menangis semahu-mahunya.

Aku tidak menyangka Along akan buat begini padaku. Sampai hati Along. Bayangan wajah arwah ayah dan mak silih berganti muncul difikiranku. Aku benar-benar rindukan kasih sayang mereka.

Air mataku mengalir deras tidak dapat dikawal. Aku menangis teresak-esak seperti anak kecil .

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience