BAB 10

Romance Completed 21177

Seminggu aku bermasam muka dengan Along. Aku isytiharkan perang dingin. Waktu makan juga aku berkurung di bilik. Mulanya nak isytiharkan sekali mogok lapar, tapi aku yang sememangnya perut gajah ini tidak layak untuk berbuat demikian.

Kak Long, kakak ipar kesayanganku akan merangkap sebagai pelayan hotel lima bintang yang akan menghantarkan santapan ke bilikku setiap kali tibanya waktu makan. Sudah seminggu aku mengurungkan diri. Umpama Repunzel dalam cerita dongeng klasik fairytale.

Bezanya cuma Along yang menjadi watak antagonisnya. Entah sampai bila perang dingin ini akan berterusan. Aku tidak betah lagi untuk menjadikan diriku Repunzel di bilik ini.

Sesuatu yang aku tidak duga, malam ini Along datang mengetuk pintu bilikku. Kali ini mood Along nampak baik. Mungkin ingin mengisytiharkan genjatan senjata agaknya. Aku pun sudah bosan dengan perang dingin ini.“Along pegang janji Along pada arwah mak dan ayah dulu. Along akan jaga Dewi sebaik mungkin. Dan Along akan carikan jodoh yang terbaik untuk Dewi.” Mendatar Along memulakan bicaranya.

Aku tunduk diam. Tidak mahu berkata sepatah pun. Aku masih dengan rajukku. Syamizulaikha Dewisalina masih dengan keras hatinya. Adakah kedatangan Along kali ini untuk memujukku? Memujukku agar menerima keputusan gilanya? Atau pun kedatangannya ini untuk menaikkan bendera putih? Itu sesuatu yang tidak mungkin. Aku kebingungan.

“Along tau..adik Along dah besar panjang. Dah tahu buat keputusan sendiri..dah tak perlukan Along lagi.” Kata-kata Along itu membuatkan aku serba salah. Aku masih tunduk membisu.

“Walaupun Along dah terima pinangan tu, tapi keputusan sebenar masih terletak pada tangan Dewi. Sekarang maruah keluarga terletak pada tangan Dewi. Terpulanglah pada Dewi nak buat macam mana. Along takkan paksa...”

Aku mendongak memandang Along. Tidak percaya dengan apa yang baru ku dengar. Benarkah Along mengalah denganku?

Selama ini Along tidak pernah beralah dalam hal penting sebegini apatah lagi hal yang melibatkan maruah keluarga. Along biasanya tegas dalam semua keputusan yang dibuatnya. Along memandangku dengan senyuman pahit terukir. Mengharapkan jawapan muktamad daripadaku.

Aku pula tidak tahu apa jawapan yang harus aku berikan tika ini. Aku jadi serba salah. Aku tunduk memandang lantai semula.

“Kalau Dewi dah kata tidak, Along pun tak boleh nak buat macam mana. Keputusan Dewi tu Along terima dengan hati yang tenang.” Aku di birai katil masih tunduk membisu. Namun aku tahu jelas berat cara Along menyampaikan.

“Esok pagi mak Zulkifli akan datang ke mari untuk bincang persiapan seterusnya dengan Kak Long. Seperti yang Dewi harapkan, Along akan khabarkan penolakan pinangan tu kepadanya nanti. Dewi tak perlulah risau.” Sambung Along dengan keluhan berat. “Along tak nak kerana perkara ni hubungan kita dua beradik dingin. So, Along harap lepas ni Dewi takkan merajuk dengan Along lagi....” Kata-kata terkakhir daripada Along. Kemudian meninggalkan aku yang sedari tadi kaku tak bersuara.

Aku memenangi perang dingin ini. Tapi kenapa hatiku pula tidak gembira? Malah terasa amat sakit. Bukankah ini yang aku mahu? Menyakiti hati Along yang telah banyak berkorban untukku?

Hatiku berkecamuk seketika dan fikiranku keliru. Apakah wajar tindakan aku menghampakan hati Along?

Sejurus kelibat Along hilang di sebalik pintu, aku beralih ke meja tepi katil. Aku ambil pen parker merah yang terletak dalam laci. Aku genggam erat pen itu di tanganku. Antara aku dan Syah? Ada harapankah??

Aku bingkas bangun dan meluru ke dapur mencari Kak Long untuk membincangkan sesuatu yang penting kepadanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience