Bab 11

Romance Series 111568

"BALIK pukul berapa semalam?" soal Puan Sri Iryani dingin. Rasa geram bertamu lagi. Sikap Firash yang langsung tidak mahu berubah itu membuatkan dia tertekan.
Firash yang baru hendak duduk untuk bersarapan, membatalkan niatnya. Sekilas pandangan diberi kepada Puan Sri Iryani.
"Pukul tiga pagi," jawab Firash tanpa ada rasa bersalah.
Puan Sri Iryani mengetap bibir kuat. Pandangan tajam diberi kepada anak lelakinya itu. Bagaimana hendak bertoleransi kepada anak yang langsung tidak mendengar nasihat darinya? Hish! Hati dijamah rasa marah.
"Fir memang tak reti nak berubah ke?" soal Puan Sri Iryani keras.
Firash mendengus tawa. Kening dijongket sekali.
"Untuk apa? Kepentingan bonda?" soal Firash sinis.
Puan Sri Iryani mengeluh kasar. Tanggapan buruk Firash padanya tidak pernah pudar biarpun sesaat.
"Sampai bila Fir nak beranggapan buruk pada bonda?" soal Puan Sri Iryani lemah.
Firash tergelak mendengar soalan itu. Wajah Puan Sri Iryani dipandang seketika.
"Fir tak nak beranggapan buruk, tapi bonda yang mulakan segalanya." Firash menjawab tanda tidak mahu mengalah.
Puan Sri Iryani membalas pandangan Firash seketika.
"Apa yang bonda dah buat?" soal Puan Sri Iryani.
Firash menggeleng sinis.
"Jangan tanya soalan yang bonda dah tahu jawapannya. Firash tak suka." Firash terus membuka langkah meninggalkan ruang makan itu tanpa memandang wajah Puan Sri Iryani.
Puan Sri Iryani mengeluh kasar. Bangun dari duduk, tapak tangan ditepuk ke atas meja.
"Fir, bonda tak habis cakap lagi!"
Firash mengangkat tangan kanan tanpa menoleh.
"Anggap saja cerita dah habis," balas Firash malas.
Puan Sri Iryani menarik nafas sedalamnya. Nekad menyampaikan hasratnya yang mungkin bakal melukakan anaknya sendiri.
"Bonda dah pinang Dania untuk Fir."
Langkah Firash terhenti di pintu masuk ruang makan. Bibir diketap perlahan dan menoleh seketika. Pandangan tepat di wajah bonda kesayangannya.
"Apa dia?" Firash menjongket kening tanda mahukan kepastian.
Puan Sri Iryani mengukir senyuman penuh makna. Dia tahu, Firash tidak boleh lari darinya. Dia juga tahu, Firash tidak akan sanggup hidup tanpa harta di luar sana.
"Fir dengan Dania dah bertunang," kata Puan Sri Iryani.
Meledak ketawa Firash mendengar kata-kata Puan Sri Iryani. Pusing tubuh dan kembali menuju ke arah bondanya.
"Bertunang?" soal Firash sinis. Kening dijongket seketika. "Rasanya, Fir tak pernah bertunang," sambung Firash lagi.
Puan Sri Iryani ketap bibir. Dari cara Firash berkata, dia tahu Firash akan membantah habis-habisan.
"Itu kata Fir. Tapi hakikatnya, bonda dah pinang Dania untuk Fir!" tegas Puan Sri Iryani.
Angguk kepala, Firash melorek senyuman penuh makna. Kening semakin dinaikkan dan kepala diangguk perlahan. Langkah berhenti betul-betul di hadapan Puan Sri Iryani.
"Bonda yang pinang dia kan? Apa kata bonda yang jadi tunang dia, sekaligus bakal suami dia. Mesti heaven satu dunia ni..." Firash tayang senyuman mengejek. "Dan untuk pengetahuan bonda, Fir tak akan terima mana-mana perempuan dalam hidup Fir, hanya untuk kepentingan bonda!" sambung Firash sinis.
Terpampang riak terkejut di wajah Puan Sri Iryani. Namun, pantas sahaja dia mengawal riak wajahnya. Bibir diherot ke tepi.
"Fir tiada pilihan. Sama ada Fir terima ataupun Fir kehilangan segalanya," ugut Puan Sri Iryani.
Sekali lagi, Firash ketawa. Terbit dengusan sinis dihujung tawa.
"Bonda ingat Fir takut? Rasanya, Fir dah lama kehilangan segalanya. Termasuk kasih sayang seorang wanita bergelar bonda." Firash menjongket kening sinis. "Kalau bonda rasa itu boleh buat bonda puas hati, silakan. Tapi Fir nak ingatkan bonda yang Fir tak akan terima Dania dalam hidup Fir. Fir tak hairan pun kalau bonda nak buang Fir dari senarai penerima harta bonda. Tak mati pun kalau takde harta bonda," sambung Firash sambil melangkah pergi.
Puan Sri Iryani menarik nafas sedalamnya. Kata-kata Firash sedikit sebanyak meresahkan dirinya. Dia tahu Firash seorang yang berpegang teguh pada pendirian.
"Kalau Fir tak nak terima Dania, Fir boleh keluar dari rumah ni. Kemas semua barang-barang Fir. Keluar dari rumah ni!"
Sekali lagi langkah Firash terhenti. Kata-kata itu sudah dijangka oleh Firash. Cuma dia tidak sangka, seawal itu. Bibir melorek senyum. Dengusan tawa terbit. Perlahan dia menoleh.
"Fine!" kata Firash sepatah lalu mengatur langkah tekad.
"Kunci kereta, bak sini!" Puan Sri Iryani mengejar langkah Firash.
Firash ketap bibir kecewa. Berhenti melangkah, pusing tubuh menghadap Puan Sri Iryani.
"Semua barang yang Firash beli guna duit syarikat, bagi balik pada bonda. Itu harta syarikat. Harta bonda. Firash tak berhak!" Puan Sri Iryani berdiri tegak di hadapan Firash sambil menjongket kening sinis.
Firash meledakkan tawa. Wajah Puan Sri Iryani dipandang sambil menggeleng kepala perlahan. Kunci kereta diseluk dari dalam kocek seluar dan dihulurkan kepada Puan Sri Iryani.
"Terima kasih bonda. Fir hargai segalanya!" kata Firash sinis sebaik Puan Sri Iryani menyambut huluran itu.
"Telefon Fir..."
Firash terus seluk kocek seluar untuk mengambil telefonnya.
"Nah. Ambiklah. Fir tak kisahpun kalau terpaksa merempat di tepi jalan. Daripada terus melayan perangai diktator bonda tu," kata Firash sinis. Se usai berkata, Firash mengatur langkah untuk pergi dari situ. Dari kecil dilayan sebegitu, dia sudah lali. Sikap diktator yang ditunjukkan kedua orang tuanya, memaksa dia terus tunjukkan kedegilannya. Baginya, tiada guna berlembut. Kasih sayang mereka sudah lama hilang buatnya.
"Sebaik keluar dari rumah ni, Fir dah takde hak masuk dalam pejabat." Puan Sri Iryani mengingatkan Firash.
Firash menoleh sekilas. Bibir diherot ke tepi.
"Jangan risau. Fir tak akan muncul di pejabat, mahupun rumah ni. Anggap je Fir dah mati dalam hidup bonda."
Puan Sri Iryani tersentap seketika. Kata-kata Firash itu memberi kesan dalam hatinya. Mata mengekori langkah Firash sehingga Firash hilang dari pandangan. Dengan harapan, Firash tidak memaksudkan apa yang dikatanya sebentar tadi.

KAYLA memarkir kereta di ruang parkir pekerja. Serentak pandangan melekat pada susuk tubuh Iman dan Firash yang baru keluar dari kereta Iman. Berderau hatinya sekejap. Minda mula berfikir. Mencari punca kenapa Firash berada di situ. Kalau boleh, dia tidak mahu bertemu dengan lelaki itu lagi.
Baru sahaja Kayla berniat untuk tidak keluar dari kereta, Firash terlebih dahulu sedar pada kehadirannya. Pandangan mereka bertaut seketika. Jantung Kayla kembali berdetak hebat. Tambah lagi bila teringat insiden beberapa malam lepas.
Bila melihat Firash menghampiri keretanya, Kayla semakin tidak keruan. Tambah tidak menentu bila Firash membuka pintu di sebelah pemandu.
"Tak nak keluar ke?" tanya Firash sambil masuk dan menutup pintu itu.
Kayla menghela nafas berat sambil membuang pandang ke arah Iman yang masih berdiri di situ. Entah tunggu siapapun, dia tidak tahu.
"You buat apa kat sini?" soal Kayla tidak senang.
Firash tertawa kecil. Tubuh sengaja dihadapkan ke arah Kayla. Pandangannya jatuh ke wajah Kayla. Beralih ke tangan Kalya yang sedikit menggeletar.
"You menggeletar, kenapa? Nampak hantu?" soal Firash sinis. Kening dijongket sekilas.
Kayla memandang tangannya kemudian mendengus seraya menyembunyikan tangannya.
"Tak payah sibuk urusan I," balas Kayla dingin.
Firash ketawa. Kening dijongket sekali.
"I nak bincang sesuatu dengan you!" tegas Firash.
Kayla berdecit.
"Apa lagi yang nak dibincangkan?" soal Kayla. "Semua dah tamat!" sambung Kayla tegas.
"Tamat?" Firash menggeleng sinis. Pandangan meratah wajah Kayla. "Tiada apa yang tamat antara kita. Sebab kisah kita baru bermula..." sambung Firash dengan nada meleret. Jari jemarinya naik ke wajah Kayla tanpa diundang.
Kayla berdecit sambil menepis jari jemari Firash.
"Jangan peganglah!" bentak Kayla.
Firash ketawa lagi. Bercantum keningnya seketika.
"Jangan pegang?" Firash ketawa sinis. Ditilik tubuh Kayla dari atas ke bawah. "You tak payah nak jual mahal lah, Tihani. You lupa ke yang seluruh badan you ni, I dah sentuh dan I dah tengok pun. Tinggal nak 'dapat' je belum." Firash mengangkat kening sinis. "Dengan itu, you adalah hak milik I!" putus Firash tanpa memikirkan perasaan Kayla.
Jatuh rahang Kayla sekejap. Pandangan tidak percaya diberi kepada Firash. Wajah membahang malu bila teringat tentang peristiwa malam itu.
"You jangan nak mengada-ngada. I ni hak orang tua I. Bukan you!"
Firash ketawa. "Ye?"
Kayla berdecit kasar. Rasa jijik memandang wajah lelaki itu. Apatah lagi mengenangkan peristiwa tidak bermoral itu.
"You ni memang lelaki tak gunalah, Firash!"
"Lelaki tak guna ni yang akan jadi suami you," cantas Firash tidak mahu mengalah.
Kayla terbeliak.
"Suka hati you je nak jadi suami I. You ingat you siapa?" Kayla mengetap rahang kuat. Menahan marah.
Firash ketawa sinis.
"Hati I. Suka hati I lah." Firash menjongket kening. "By the way... petang ni jumpa I. Ada benda yang perlu I bincang dengan you. Then, kita akan putuskan sama ada hutang you dah lunas atau belum." Selamba Firash membelai wajah Kayla.
Kayla mendengus. Tangan Firash ditepis kasar.
"I tak nak!"
"Boleh. Tapi rumah sewa untuk keluarga you dah ada ke?" soal Firash sinis.
Kayla tersentak sesaat. Perlahan pandangan dialih ke wajah sinis Firash.
"Jangan berani sentuh keluarga I," kata Kayla memberi peringatan.
Firash menayang riak kagum. Yang betul, terselit rasa kagum dalam hatinya buat Kayla.
"So, pilihan di tangan you. Jumpa I atau..." Firash menggantung ayatnya sambil kenyit mata. Pintu kereta Kayla di buka lalu keluar tanpa menoleh.
Kayla mengetap bibir kuat.
"Argh!" stering kereta dipukul tanda geram dan sakit hati. Lelaki itu tidak habis-habis menghuru harakan hidupnya.

IMAN merenung Firash bersama rasa geram yang bertamu dalam hati.
"Aku dah cakap jangan ganggu Kayla!"
Firash tergelak. Wajah risau Iman dipandang sekilas.
"Jangan risau. Aku tak akan sakiti dia kalau dia tak sakiti aku. Aku cuma nak dia jadi isteri aku."
Jatuh rahang Iman. Tayang riak tidak percaya dan mencebik bibir tanda menyampah.
"Jadi isteri konon. Bukan kau nak jadikan dia mainan?" soal Iman tidak percaya.
Firash tergelak seraya menggeleng kepala.
"Aku tak bergurau. Aku memang nak jadikan dia isteri aku," balas Firash sambil bermain pen yang ada di atas meja Iman.
Iman berdecit.
"Sebab?" soal Iman tidak puas hati.
Firash berfikir sejenak. Mata membalas pandangan resah Iman.
"Sebabnya, aku memang nak kahwin dengan dia. Lagipun, lagi bagus aku kahwin dengan dia daripada kahwin dengan Dania." Firash jongket kening sinis.
Iman mengeluh kasar. Tidak percaya bila mendengar punca rakannya itu mahu berkahwin dengan Kayla.
"Fir, tolonglah. Jangan nak mainkan perasaan Kayla. Kalau sebab tu je kau nak kahwin dengan dia, baik tak payah. Tak ikhlas namanya tu." Iman meluahkan rasa tidak senang dengan kehendak Firash.
Firash menggeleng perlahan. Wajah Iman dipandang sekilas.
"Bonda dah halau aku dari rumah. Semua dia dah ambil," beritahu Firash sambil menyandar ke kerusi yang didudukinya.
"Hah?" Iman melopong. "Seriuslah?"
Firash mendengus. Wajah Iman dipandang sekilas.
"Kau tengok muka aku ni main-main ke?" soal Firash malas.
Iman garu kepala. Rasa kasihan pula. Yalah, sudah lama Firash mengharap kasih sayang dari Puan Sri Iryani. Alih-alih ini yang dia dapat.
"Bonda kau bergurau kot,"
Firash menyambut kata-kata Iman dengan gelengan perlahan.
"Bonda tak suka bergurau, Iman. Apa yang dia kata, itulah yang dia akan buat," balas Firash perlahan. Dia sudah masak dengan perangai bondanya itu.
Iman diam. Wajah Firash direnung seketika.
"So, kahwin dengan Kayla lah plan kau? Nak rosakkan rancangan bonda kau?" soal Iman ingin tahu.
Firash mengangguk pantas.
Iman mengeluh kecil.
"Kalau kau kahwin dengan Kayla, ada jaminan bonda akan terima kau balik?" soal Iman ingin tahu.
"Aku tak kahwin dengan Kayla untuk bonda terima aku balik. Aku cuma nak buktikan pada bonda yang aku boleh berdikari sendiri," balas Firash malas.
Iman menggeleng perlahan.
"Aku tak fahamlah dengan perangai kau ni. Degil. Tapi elok juga tu. Bolehlah kau tumpukan perhatian pada syarikat baru kau tu," kata Iman perlahan.
Firash mengukir senyuman penuh makna. Itulah yang sedang dia rancangkan. Selama ini, dia sudah merancang rapi segalanya. Ternyata, menubuhkan syarikat sendiri tiga tahun lepas bukanlah satu keputusan yang salah. Bak kata orang, sediakan payung sebelum hujan.

Share this novel

Nor Azlina
2021-05-24 20:26:24 

lamaanya menyepi xnk update ke

Nor Azlina
2021-05-21 14:18:12 

lama dah tggu bila nk update.best cerita nii.

September Deria
2021-05-19 15:20:15 

bila update


NovelPlus Premium

The best ads free experience