BAB 5

Drama Completed 3915

Entah apa yang sedang dimasak oleh Eza bersama teman-teman seusianya itu. Waktu persekolahan seperti ini, hanya anak-anak yang belum bersekolah sahaja yang akan tinggal di situ, manakala selebihnya bersekolah di sebuah sekolah rendah tidak jauh daripada kediaman itu.

Kalau dicongak yang ada di rumah pada ketika itu cuma lima orang. Tiga perempuan dan dua lelaki. Yang lelakinya berada di dalam rumah sedang bermain permainan komputer sambil diawasi oleh Salmah.

Raneem pula di luar memerhatikan anak dara cilik yang rajin ‘memasak’ di bawah pohon yang rendang. Tambah pula seorang tetamu kecil bernama Eza atau nama sebenarnyaZoreza.

Raneem telan liur. Nama yang dia berusaha untuk padamkan daripada ingatan. Nama yang dia cuba untuk melupakan. Bukan bermakna nama itu tidak membawa sebarang pengertian.

Tetapi nama itu mendukung seribu keperitan. Dia menunggu hampir 7 tahun untuk disahkan hamil. Kahwinnya dulu ketika usia amat muda. Baru 21 tahun. Kata orang kahwin muda senang dapat zuriat.

Lain pula kisahnya dengan dia. Suami yang dinikahi atas dasar suka sama suka sejak zaman bangku sekolah pula tidak sabar mahukan anak. Hari-hari bertanya soalan yang sama. Kadang-kadang Raneem rimas dengan persoalan tentang anak. Bukannya dia tidak berusaha.

Bertemu doktor sudah dan dia memang normal, tak ada apa-apa masalah. Menjaga pemakanan juga sudah. Berurut sudah. Berubat secara tradisional juga sudah. Cuma suaminya yang liat mahu memeriksa keberadaan diri.

Jika dipersoal tentang perkara itu pasti sepak dan terajang akan menjadi makanan jasad Raneem Sampai suatu saat dia sudah lelah menghadapi semua itu dalam usia yang cukup muda.

“Abang, Neem dah mengandung.” Ceria wajah Raneem mengkhabarkan berita itu kepada suaminya, Lufti. Mana tidaknya, tujuh tahun menunggu.

Daripada umur 21 tahun mencuba, Tuhan hanya mahu mengizinkan rahimnya berisi ketika usia 28 tahun. Perancangan Maha Esa. Siapa dia untuk persoalkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience