BAB 4

Drama Completed 3915

Sesekali matanya menatap batu-bata yang berdiri teguh membina bangunan itu. Bibirnya mencetuskan senyuman kecil. Putih. Warna yang sering dikaitkan dengan kesucian.

Fikirannya pantas teringat akan satu artikel yang dibaca dalam sebuah majalah. Jika dibuat perbandingan, warna putih itu serupa dengan peribadi anak-anak yatim yang menghuni di Rumah Kasih itu.

Rumah Kasih merupakan sebuah rumah penjagaan anak-anak yatim dari usia bayi sehinggalah berumur 12 tahun.

Rumah penjagaan anak-anak yatim ini merupakan salah satu daripada program amal yang dikendalikan oleh Yayasan Az-Zahrah yang dinaungi oleh Datin Rosmah, isteri kepada seorang tokoh perniagaan terkenal di negeri ini, tetapi cukup mempunyai sekeping hati yang mulia dan peribadi yang terpuji.

Langsung tidak mendabik dada dengan kekayaan yang dimiliki. Kontras sangat dengan watak orang kaya yang selalu dihidangkan lewat pembacaan seumpamanya dalam novel waima di kaca televisyen menerusi tayangan drama.

Panjang kisahnya, macam mana Raneem boleh terjebak untuk menjadi sebahagian daripada Rumah Kasih ini. Nak kata dia salah seorang penghuninya, macam merepek pula.

Memang betul dia anak yatim sebab telah kehilangan ayahnya lama dulu, namun ibunya Hajah Zabedah masih ada. Semenjak peristiwa hitam yang berlaku dalam hidupnya ketika banjir besar melanda tiga tahun lalu di negeri asalnya, Raneem dan Hajah Zabedah nekad meninggalkan negeri itu dan berpindah ke sini.

Nak kata jauh, tidaklah jauh sangat. Cuma negeri asalnya di Pantai Timur, kini dia dan ibunya berada di Pantai Barat. Walau bagaimanapun, meski sudah berubah tempat, walau jasad sudah beralih arah, mana mungkin sekeping hati mampu berubah sekelip mata.

“Zoreza...”

“Mama panggil Eza ke?” Gadis kecil bertocang dua itu sengih memandang Raneem Kening pula dijongketkan. Pada tangannya masih ada sudip mainan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience