BAB 1

Horror & Thriller Completed 451

Tahun 1940…

Jamung dipacak di kawasan lapang di dalam kebun kelapa itu. Tikar mengkuang segera dibentang. Kemudian semua barang pemujaan diletakkan di atasnya.

Seratus meter dari kawasan itu pula kelihatan apijamung menghampiri dengan pantas. Tidak lama kemudian orang yang membawa jamung itu dan seorang lagi yang mencepung sesuatu sampai di kawasan itu. Tangan, kaki dan pakaian pemuda yang mencepung sesuatu kotor dengan tanah. Badannya pula kuyup dengan peluh.

“Bagus. Barang utama dah ada,” kata Bakar, salah seorang lelaki yang menunggu di kawasan itu. Dia lebih tua berbanding yang lain-lain. “Ada sesiapa nampak, Hashim?” sambungnya.

“Tak, Abang Bakar,” jawab Hashim, pemuda yang memangku sesuatu itu.

“Bagus. Mari kita mulakan lekas. Lagi cepat habis lagi bagus,” kata Bakar.

“Benda ni nak letak mana bang?” tanya Hashim.

“Letak mayat bayi itu atas tikar ni. Kau bersila bersetentang pusat dia. Tuang susu dalam mangkuk. Letak telur-telur tu dalam pinggan. Buka tabung buluh. Bakar kemenyan. Mula baca mantera sepenuh hati,” jawab Bakar mengulangi penerangan yang pernah diberikannya kepada Hashim.

Hashim terus meletakkan mayat bayi yang baru dicurinya dari kubur tadi di atas tikar mengkuang. Bayi itu baru ditanam petang tadi. Mati ketika dilahirkan.

Hashim duduk bersila bersetentang pusat bayi itu. Dia mengejapkan sila, menarik dan menghembus nafas dua tiga kali dan melihat Bakar.

Bakar yang baru memeriksa persekitaran dan merenung melalui firasat mengangguk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience