BAB 8

Horror & Thriller Completed 451

Saad menoleh perlahan-lahan. Sebaik badannya berpaling penuh, dia nampak lembaga berupa budak. Lembaga yang terbeliak besar dengan tangan mencekau-cekau serta mulut yang bergigi rapat dan tajam terbuka luas terus menerpa ke arahnya. Lembaga itu hilang sebaik merempuh Saad. Selepas beberapa detik, badan Saad pun terenjat-renjat dan dia rebah tidak sedarkan diri.

Genap tiga hari, Saad pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan mayatnya yang menyayat hati. Sakitnya misteri.

Tahun 2000…

Bakri duduk bersendirian di tangga beranda. Berdepan likat gelap malam dan dihurung nyaring cengkerik. Bayu malam panas yang baru menyapa tubuh menyebabkan dirinya semakin tidak selesa.

Diamelepaskan keluhan. Keluhan yang panjang itu tetap tidak dapat menghalau gundah gulana yang mula bersarang di hati. Dia menekup muka pula. Cuba mengerahkan otak bekerja lebih kuat mencari cara untuk menyelesaikan masalahnya. Dia berfikir sampai kepala panas tetapi cara itu tidak juga ditemui.

‘Mati aku! Mati aku!’ jerit Bakri di dalam hati.

Dia menarik tekupan di muka. Tangan-tangan itu digaru pula pada kepala. Kuku mengikis kulit-kulit kepala. Berhenti menggaru hanya selepas kepalanya pedih.

“Macam mana ni!” katanya kepada diri sendiri.

Dia tidak nampak jalan lain. Dia sudah mencongak malah mengira dengan kalkulator.Sekurang-kurangnya dia perlu 10 tahun untuk kumpul amaun yang diperlukan. 10 tahun!

Dia mengeluh lagi. Berat.

Berasa menyesal dengan diri sendiri. Terlalu percaya pada kawan. Keretanya yang diserahkan kepada Shahril untuk disambung bayar sudah ditarik dan dilelong oleh pihak bank. Selepas dilelong, dia masih berhutang RM30 ribu dengan bank. Namanya disenarai hitam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience