BAB 13

Romance Completed 120772

AKU jatuh terduduk setelah mendapat perkhabaran perit itu. Lututku menjadi lemah dan longlai saat Ashman memberitahu bahawa emak dan umi meninggal dalam kemalangan. Aku ingin meraung sekuat hati.

Aku sudah tak punya sesiapa. Abah dah lama pergi meninggalkanku sejak aku di bangku sekolah lagi. Dan kini emak dan umi pula pergi. Apa yang harus aku buat? Aku sudah kehilangan tempat bermanja. Tiada lagi tempat untuk aku mengadu nasib. Aku juga kehilangan tempat bergantung. Ada suami pun macam tak ada. Aku cuma ada Rayyan yang masih kecil.

Ya Allah, kenapa Engkau tak ambil nyawaku sekali? Kenapa aku harus kehilangan dua orang yang aku sayang sekali gus? Beratnya ujian yang Engkau timpakan ke atasku kali ini...

Rayyan yang menangis ku bawa ke dalam pelukan. Kuatkah aku untuk menghadapi hari-hari mendatang tanpa seorang insan yang dipanggil emak? Siapa yang nak bantu aku uruskan Rayyan? Siapa yang nak betulkan aku kalau aku tersalah dalam menguruskannya?

Aku tahu Ashman juga menerima tamparan yang hebat sepertiku. Dia juga sudah lama kehilangan seorang insan bernama ayah. Kami berdua berkongsi nasib yang sama. Tapi sayang, Ashman tak sudi berkongsi rasa denganku. Dan galau di hati aku cuma pendam sendiri.

Ashman cuma diam sepanjang perjalanan ke hospital. Aku juga tidak menegurnya. Cukuplah aku menahan rasa hiba dan sakit kehilangan emak dan umi. Aku tak mahu menambahkan bebanan jiwa dengan kata-katanya yang kasar.

Emak, terima kasih kerana dah lahirkan Zaza dan besarkan Zaza dengan baik.Terima kasih jaga Zaza dengan baik, layan karenah Zaza, uruskan makan pakai Zaza. Maafkan Zaza sebab selalu susahkan mak, selalu sakitkan hati mak, selalu susahkan hati mak dan buat mak sedih.

Zaza janji Zaza akan jadi mama yang baik macam emak untuk Rayyan. Tenanglah emak di sana, doa Zaza akan selalu menemani emak.Aku mencium dahi emak yang sejuk dan kaku. Sedaya-upaya aku menahan rasa agar air mataku tidak menitis di atas jasad emak. Wajah emak yang tenang ku pandang lama. Zaza pasti akan rindukan mak sangat-sangat.

Aku hampiri umi yang terbaring kaku di sebelah mak. Aku mencium dahi umi seperti yang aku lakukan kepada emak.

Umi, terima kasih sebab umi selalu temankan mak bila Zaza tak ada. Terima kasih sebab sudi pilih Zaza sebagai menantu umi dan terima kasih sebab umi dah jadi mak mertua yang terbaik untuk Zaza. Zaza sayang umi macam Zaza sayang mak. Zaza akan selalu doakan umi.

Aku beralih ke tepi memberi ruang kepada Ashman untuk menatap wajah uminya buat kali terakhir. Sayu hatiku apabila melihat air mata lelaki itu jatuh buat pertama kalinya. Dia memeluk jasad yang terbaring kaku itu. Erat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience