BAB 15

Romance Completed 120772

DULANG berisi dua gelas air oren aku letakkan di ruang tamu dan menjemputnya minum.

“Ashman tak ada, dia keluar,” beritahuku kepada Elfiya. Mana mungkin aku lupa pada gadis ini. Elfiya gadis yang aku jumpa sepuluh bulan lalu di pasaraya dengan Ashman.

“Saya datang sini bukan nak jumpa Ashman, tapi saya nak jumpa awak.” jelasnya.

Aku mengerutkan dahi. Dadaku rasa berdebar-debar dengan serta-merta. Adakah dia akan suruh aku tinggalkan Ashman supaya dia dapat bersamanya? Adakah dia akan meminta untuk bermadu denganku? Ya Allah, beri aku kekuatan untuk menghadapi wanita ini.

“Saya mintak maaf banyak-banyak. Saya pentingkan diri sendiri. Saya tahu saya banyak sakitkan hati awak. Saya tak patut berhubungan dengan Ashman. Saya tak nak jadi perosak rumah tangga orang,” ujarnya sambil tersedu-sedan menangis. Dia menggenggam erat tanganku.

“Maafkan saya. Saya takkan cari Ashman lagi. Saya doakan awak bahagia dengan dia. Saya tak nak sebab saya perkahwinan awak dan Ashman hancur.”akuinya.

Hatiku tersentuh. Elfiya tak jahat. Athea bukan perampas. Tapi akulah yang perampas sebenarnya. Aku yang rampas Ashman darinya. Jahatnya aku kerana mempunyai fikiran yang jelik terhadap Elfiya. Patutlah Ashman sangat cintakan Elfiya. Patutlah Ashman teguh mempertahankan cintanya terhadap gadis ini. Dia sangat baik.

“Sepatutnya saya yang mintak maaf dengan awak. Saya yang hadir antara awak dan Ashman,” ujarku tulus.

Elfiya menggeleng laju. Dia mengambil Rayyan dari ribaku dan mendukungnya.

“Maafkan aunty ya sayang. Aunty takkan kacau papa Rayyan lagi. Aunty tak nak sebab aunty mama dengan papa Rayyan berpisah.” katanya.

Dia mencium Rayyan lama sebelum mengembalikan Rayyan kepadaku.

“Maafkan saya Zaharah Afifah. Saya doakan awak bahagia dengan Ashman. Mungkin memang bukan jodoh dia dengan saya. Saya mintak diri dulu. Assalamualaikum.” ujarnya seraya bangun meninggalkanku.

Aku menghantar Elfiya ke muka pintu. Dia memelukku erat sebelum masuk ke dalam kereta. Aku memandang kereta Honda Jazz itu pergi sehingga hilang dari pandangan. Seketika kemudian, Honda Accord milik Ashman masuk ke perkarangan rumah. Aku membontoti Ashman ke dalam rumah dan mengambil tempat duduk di atas sofa, bersebelahan dengannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience