BAB 6

Romance Completed 19584

Qaiser dibuli oleh semua saudara-saudara lelakiku termasuk abah. Kebiasaannya dikampung aku memang macam itu, pengantin lelaki kena basuh semua periuk belanga yang digunakan masa kenduri. Qaiser yang segak berbaju melayu biru laut, terpaksa menyinting lengan baju dan kaki seluar untuk membasuh periuk belanga yang penuh dibelakang rumah. Aku hanya mampu ketawa dengan muka cuak dan kasihan dia. Rasakan!

Jam sudah menunjukkan jam 11.30 malam. Semua yang ada dirumah ini menunjukkan tanda-tanda untuk masuk tidur, al maklum penat seharian harini. Qaiser belum lagi habis menyuci periuk dibelakang rumah. Aku jatuh kasihan, mesti dia penat dan kesejukan, iyalah sejam lebih bermain air dan sabun. Aku ke dapur untuk melihat keadaan dia, bekukah?, usik hatiku.

Dari pintu dapur aku melihat tingkahnya. Sekejap-sekejap mengesat peluh didahi dengan lengan bajunya. Penat? Aku hanya tersenyum, gaya macam tak pernah buat kerja berat aje. Aku melangkah untuk membantu.

” Penat?” soalku sambil mengambil span dan pencuci. Aku duduk bersebelahan dengan Qaiser. Dia hanya mengangguk dengan membuat muka yang kononnya tersangat letih. Aku hanya ketawa kecil.

” Abang memang tak pernah buat kerja berat eh?” soalku. Abang.. walaupun kehadiranku kau tak inginkan, aku tetap tahu siapa aku disisi Muhammad Qaiser Ilman. Sebagai isteri aku tahu tanggungjawabku, panggilan nama pada suatu juga tanda hormatnya kita pada mereka yang bergelar suami.

” Takdelah tak pernah, cuma malam ni penat sikit, yelah harini kan seharian kita buat kerja, walaupun orang kata Raja sehari. Tapi penatkan.. nak posing sana posing sini..” jawabnya dengan tawa, aku tersenyum mengiakan. Memang penat! Ditambah dengan jurufoto yang banyak songeh, entah manalah Along upah.

” Kalau abang penat, masuklah, biar Abiyah habiskan, tinggal sikit aje lagi ni” ujarku. Hanya tinggal dua periuk dan satu kawah lagi. Qaiser sudah pun lencun bermain air.

” eh.. takpe, saya habiskan, Abiyah tak payahlah main air malam-malam macam ni, lagipun daripada petang tadi saya tengok Abiyah buat kerja.”

“Dah biasa dengan kerja kenduri, tiap kali cuti semester, Abiyah ikut Pak Usu, tolong kerja catering dia, sampai malam pun belum habis kerja. Penat tu memang dah terbiasalah.” Aku memang sudah terbiasa dengan kerja-kerja berat sebegini. Aku suka. Memang daripada sekolah menengah aku sering mengikuti Pak Usu dengan kerja-kerja cateringnya. Masakan katering Pak Usu sedap dan murah, jadinya memang akan banyak tempahan. Sekarang bertambah-tambah sebabnya Pak Usu membuat pakej katering dan pakej andaman. Oleh sebab aku ni anak saudara kesayangan Pak Usu, Pak Usu menaja penuh kenduri kahwin aku harini, penat juga nak membayar walaupun sedikit, ditolaknya mentah-mentah.

Kami berdua hanya melayan perasaan dengan tangan ligat membasuh periuk dan kawah yang masih kotor. Tak tahu nak borakkan tentang apa. Sampai bila aku mesti tunggu cinta Qaiser untuk aku? Tersiksakah aku selepas ini? Semua itu ada, sentiasa ada dalam fikiran aku.

” Abiyah tak menyesal kahwin dengan saya?” soalnya memecah sunyi antara kami sedari tadi. Soalannya itu berat, berat daripada suatu amanah yang perlu dipikul. Aku pernah terfikir tapi aku tidak pernah berjaya mendapatkan jawapannya. Tangan yang ligat tadi semakin perlahan pergerakannya.

” Abiyah tak dapat jawab soalan tu.”

” Maaf.. saya bukan nak sakitkan hati awak.. saya..”

” Tak apa, Abiyah faham.. bagi Abiyah, mungkin ini semua ujian untuk Abiyah, Abiyah redha.. mungkin suatu hari nanti Abiyah ada jawapan bagi soalan abang tu.” pintasku sebelum Qaiser sempat menghabiskan kata-katanya. Qaiser hanya mengangguk faham.

” Kalaupun Abang tak cintakan Abiyah sebagai isteri abang.. bolehkan Abiyah minta abang sayang Abiyah sebagai teman baik abang?” teman baik, ya.. sebagai teman baik. Bukankah seorang isteri itu merupakan seorang teman baik kepada suaminya?

“Teman baik? Maksud Abiyah?”

” ye, teman baik.. teman waktu suka abang, teman waktu sedih abang… teman baik.. teman yang paling rapat dengan abang..”

” erm.. boleh.. Abiyah jadi teman baik saya. Saya memang takde BFF” ujarnya dengan senyuman. ada nada gurauan di situ, aku juga menyambutnya dengan senyuman, inilah langkah pertama aku dalam mengejar cinta suami sendiri.

Aku melangkah ke arahnya, lebih dekat. Tangan aku hulur padanya untuk berjabat. Qaiser memandang ke arah dengan pandangan berkerut. Aku tersenyum.

” Saya Abiyah binti Abduh, saya nak jadi teman baik awak boleh?” ujarku seperti pertama kali kami bertemu dan berkenalan. Qaiser akhir faham dan menyambut huluran tanganku.

” Saya Muhammad Qaiser Ilman Bin Qayyum, saya pun nak jadi teman baik awak.” ujarnya membalas perkenalanku. Kami ketawa. Macam budak-budak baru nak berkenalan. Malam ini banyak perkara yang kami bualkan, lain keadaan daripada sebelumnya yang hanya sunyi menemani kami berdua. Kami berkongsi kisah waktu kecil hinggalah kisah waktu kenduri siang tadi. Lebih mudah nak mengenali seseorang apabila orang itu dianggap dan dijadikan sebahagian daripada kita. Teman baik.. insan yang ada sangat suka dan duka. Insan yang sentiasa ada setiap masa. Insan yang kita berkongsi segala-gala. Yang paling penting, insan yang paling memahami diri kita yang sebenarnya. Tapi sampai bila kami hanya berteman tapi mesra? Takkanlah selama-lamanya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience