Bahagian 2

Action Series 1845

Maka setelah beberapa lama raja Ulam Pegaga berdiri di jendela. Sinar matahari yang terik membuat kulit pipinya berasa panas dan matanya menjadi silau. Debu debu pasir dari jalan raya di sekitar kota yang ditiup angin menyebabkan hidung baginda menjadi gatal lalu bersin.

Syahadan datanglah seorang dayang istana dibelakangnya menatang dulang kecil berisi secawan air teh panas dan semangkuk bubur kacang.  Nama dayang istana itu ialah Puspa Wangi. Semenjak umurnya dua belas tahun, Puspa Wangi setiap hari akan masuk ke kota mengikut ayahnya bekerja sebagai tukang kebun istana.

Maka hari berganti minggu,bulan berganti tahun puspa wangi telah berganjak dewasa dan cantik. Lalu pihak istana telah menawarkan kerja sebagai dayang istana sepenuh masa kepadanya. Puspa Wangi berasa gembira dan menerima pekerjaan itu biarpun upah tiada sebesar mana tetapi ada pencen setelah bersara.

Lalu dayang puspa wangi pun  berkata"Ampun tuanku, hidangan yang tuanku minta telah hamba sembahkan. Harus dimana hamba meletakkannya".

Maka raja ulam pegaga pun beredar dari jendela dan menghampiri dayang Puspa Wangi. Tanpa sepatah bicara baginda pun mengambil cawan itu lalu menghirupnya sedikit. Setelah sudah, maka baginda pun berkata.

"Sungguh tiada lah tawar dan tidak pula terlebih manisnya. Segera khabarkan beta, apa yang dayang perlakukan hingga air teh ini berasa sedemikian rupa".

Maka dayang puspa wangi pun bercerita "Ampun tuanku, adapun api perlu dihidupkan terlebih dahulu. Biarkan api yang menyala itu beberapa ketika hingga menjadi lekat tetapi usah lah tuanku khuatir kerana api nya sentiasa patik jaga agar tiada menjadi besar dan merebak. Kemudian patik letakkan periuk di atas tungku yang dikelilingi api lalu patik tuangkan air ke dalam  periuk bersama teh dan susu. Biarkan air dalam periuk itu mendidih hingga warna teh menjadi pekat".

Baginda hanya diam membeku mendengar penjelasan dayang puspa wangi lalu meneruskan bicara "kesihatan diri harus lah dijaga kerana beta masih belum beristeri dan mempunyai waris takhta. Andainya beta uzur, harus pada siapa  beta serahkan tampuk pemerintahan.

Kelihatan air mata gugur dari hujung kelopak matanya. Lalu baginda pun mengesat air mata itu dengan hujung lengan bajunya. Dayang puspa wangi tiada lah mampu berbuat apa kerana dirinya masih menatang dulang kecil itu.

"Letakkan hidangan ini di atas meja sana dan buatkan secawan lagi teh untuk tetamu istimewa beta yang akan tiba sebentar lagi",titah baginda kepada dayang Puspa Wangi.

"Patik menjunjung perintah tuanku". Lalu dayang puspa wangi pun meninggalkan anjung istana menuju penanggahan.

Maka baginda pun duduk di kerusi yang selama ini menjadi tempat mencari ketenangan tatkala bila timbul permasalahan dalam kerajaan. Kerusi itu ditarik ke belakang sedikit lalu baginda menyandarkan kepalanya pada tiang. Maka adapun hidangan di atas meja itu masih belum disentuh.

Adapun adat pekerjaan sehari hari baginda setelah santap, masuk ke bilik peraduan lalu berbaring diatas ranjang. Hatta segalanya itu tiada lah dapat baginda lakukan selagi tidak bertemu dengan bendahara. Persoalan dan kekusutan yang bersarang dalam dirinya harus dilempar sejauh mungkin. Baginda pun tiada pasti sama ada masalah yang dihadapi ini adalah sebuah realiti atau khayalan. Namun kekusutan ini harus segera  diselesaikan sebelum diri hilang akal kewarasan.

Raja Ulam Pegaga menarik nafas  panjang kemudian dihembus kembali dengan penuh kelembutan.

Kemudian baginda memejamkan mata lalu fikiran baginda pun melayang layang. Ibarat layang layang terbang melayang. Tatkala ini baginda  teringat peristiwa tiga puluh tahun yang lampau.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience