BAB 16

Humor Completed 44767

“Awak ni cik Aishah Anisa?” Tanya penyambut tetamu syarikat tersebut setibanya dia di situ. Aishah hanya tersenyum dan mengangguk pada wanita tersebut.

“Cik Aishah duduk dulu ye, En Hisham sedang dalam perjalanan, sekejap lagi sampailah tu.” Sambung penyambut tetamu tersebut sambil menunjukkan sofa untuk Aishah duduk.

Aishah memandang sekeliling pejabat tersebut. Luas juga pejabat itu pada pandangannya. Dilihat ada sejambak bunga mekar diatas meja penyambut tetamu itu, tentu hadiah dari seseorang yang istimewa.

“Bunga ni bukan akak punya.” Penyambut tetamu tersebut mula bersuara. Sedar apa yang bermain difikiran Aishah.

“En Hisham tu yang order, untuk seseorang yang istimewa katanya.” Sambungnya lagi dengan senyum dibibir.

“Saya ingat akak punya tadi. Beruntung ye, bila jadi orang yang istimewa..” balas Aishah tersenyum manis pada wanita tersebut.

“Cik Aishah, En Hisham minta cik Aishah tunggu kat dalam bilik dia.” Kata wanita itu lagi setelah menjawab satu panggilan talipon, tentu dari bossnya. Aishah hanya mengikut wanita tersebut ke sebuah bilik yang agak luas. Tentu syarikat ini sebuah syarikat yang maju, kalau tidak masakan bilik bossnya sebesar ini. Fikir Aishah setelah ditinggalkan sendirian di situ.

Penyambut tetamu tadi kembali lagi ke situ dengan membawa secawan kopi untuk Aishah.

“Apa susah-susah ni akak. Saya datang nak interview, ini dah dilayan macam boss saja.” Kata Aishah melawak pada penyambut tetamu tersebut yang kelihatan ramah sekali.

“Tak susah pun.. jemputlah minum. Akak keluar dulu ye.” Kata penyambut tetamu itu semakin ramah sahaja.

“Selamat pagi En Hisham.” Terdengar ucapanya semasa hendak keluar bilik. Jantung Aishah mula berdegup kencang. Tentu dia akan ditemuduga sebentar lagi. Dia duduk diam di kerusinya tanpa bergerak sedikit pun. Tentu En Hisham sudah ada di belakangnya, entah-entah sedang memerhatikan setiap gerak gerinya pula.

“Cik Aishah Anisa..” Terdengar namanya disebut. Seakan pernah didengar saja dia dengan suara tersebut, tetapi dia tidak berani untuk menoleh mengadap tuan punya suara. Semakin gerun pula rasa hatinya. Hai! Belum ditemuduga lagi dia sudah pun mula gelabah. Maklumlah inilah pertama kalinya dia menghadiri sebuah temuduga, mananya tidak gelabah.

“Awak nak kerja sebagai apa kat sini? Kita cuma perlukan seorang pemandu untuk menghantar buah mempelam, rasanya kelayakan awak tidak sesuai untuk pekerjaan tu.”

Terkejut Aishah bila mendengar kata-kata tersebut yang seolah-olah memperkatakan tentang masa lalunya. Bagaimana En Hisham tahu yang dia pernah bekerja sebagai penghantar buah-buahan. Spontan Aishah berdiri dari tempat duduknya. Lemah segala anggotanya bila Ikmal sudah terpacak dengan sejambak bunga dibelakangnya.

“En Ikmal... saya...” Aishah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Terasa mahu saja dia menangis di situ. Tidak disangkanya, En Hisham yang memanggilnya untuk temuduga itu adalah Ikmal. Baru dia terpandang nama di pintu yang terbuka luas... Ikmal Hisham Bin Idris Harun – CEO

“Terkejut tengok abang kat sini? Ini adalah anak syarikat pada IH Holdings pejabat yang Aishah pergi dulu. Papa dah pulang dari London sejak mama sakit dulu, sekarang dia yang uruskan semua perniagaan di sana, abang pula ditugaskan di sini.” Semakin tidak senang Aishah bila Ikmal sudah membahasakan dirinya abang.
Teringat dia sewaktu dia diupah berlakon menjadi isteri Ikmal dulu. Walaupun sekejap dan hanya lakonan, ada terselit rasa bahagia dihatinya waktu itu, dan sekarang Ikmal sudah mula memainkan perasaannya semula. Dia sedar dia telah melakukan kesilapan dulu. Kenapa Ikmal masih mengungkit hal tersebut, sedangkan dia yang mulanya merayu supaya Aishah menerima tugas tersebut.

Aishah mengambil barang-barangnya yang diletakkan diatas meja. Dia tidak mahu lagi berlama-lama di situ. Imbauan masa lalu yang sudah mula ditinggalkan kini mula menggamit semula ingatannya. Alia, Mak Som, puan Hendon semuanya semakin jelas dimindanya.

“Aishah tunggu..” Panggil Ikmal. Tangannya sudah mencapai tangan Aishah sebelum sempat Aishah melangkah jauh.

“Maafkan abang. Kenapa Aishah pergi tanpa berita? Puas abang cari Aishah. Kenapa Aishah tak pernah datang untuk melawat Alia di rumah mama?”

“Saya minta maaf En Ikmal, saya tidak mahu mengganggu keluarga En Ikmal lagi. Saya tahu En Ikmal dan makcik tentu dapat memberikan kebahagiaan pada Alia dan ibunya. Mereka tidak perlukan orang macam saya untuk bahagia. Terima kasih kerana En Ikmal telah membahagiakan insan-insan yang begitu bermakna dalam hidup saya.”

“Memang Alia dan Mak Som berbahagia sekali sekarang.” Jawab Ikmal merenung tepat ke wajah Aishah. “Mereka memang bahagia. Tapi siapakah yang dapat membahagiakan abang? Siapa pula yang membahagiakan Aishah? Abang tahu abang salah buat Aishah macam tu. Tentu Aishah susah nak maafkan abang. Bila Aishah dah tinggalkan abang, abang sedar, Aishah bukan hanya sekadar lakonan dalam hidup abang. Aishah amat bermakna buat abang.

Mama juga rindukan Aishah. Begitu juga Alia dan Mak Som. Mak Som ingin sangat nak jumpa Aishah, dia tahu sebenarnya Aishah yang keluarkan duit untuk pembedahan Alia. Duit yang abang bagi dulu pun sebenarnya duit Aishah. Duit gaji yang abang hutang pada Aishah dulu. Aishah ikut abang balik ye?”

Begitu besungguh-sungguh sekali Ikmal menyuarakan rasa hatinya. Dia tidak mahu kehilanagn Aishah lagi. Walaupun dia dan Aishah hanya bersama dalam masa tidak sampai sebulan, bagi Ikmal Aishahlah satu-satunya gadis yang telah berjaya membuka pintu hatinya untuk mengenal erti cinta.

Airmata di pipi Aishah di kesat Ikmal perlahan. Dagu Aishah diangkat supaya wajah Aishah bertentang dengan wajahnya.

“Sudikan Aishah terus menjadi isteri abang. Kali ini abang janji abang takkan sakitkan hati Aishah lagi.” Aishah memandang tepat ke wajah Ikmal, mencari ketulusan kata-kata Ikmal di situ. Ikmal masih merenungnya, penuh harapan. Senyum mula mekar dibibir Aishah.

“Kalau abang nak Aishah jadi isteri abang maknanya Aishah tak diterimalah untuk jadi pemandu untuk menghantar buah mempelam?” Ikmal ketawa kecil mendengar pertanyaan Aishah.

“Syarikat ni mana ada ladang mempelam pun, sebab tulah abang kena beli buah mempelam dari ladang Aishah. Tapi tak apa, nanti abang bagi Aishah kerja sebagai tukang kupas buah mempelam.. nak?”

Aishah sudah turut ketawa bersam Ikmal. Hatinya sudah mula berbunga bahagia. Dia sudah mendapat semula kebahagiannya yang hilang selama ini. Dia akan bersama semula dengan ‘suami’, ‘mama’ dan dia juga dapat bersama dengan Alia dan Mak Som kembali.

Syukur Ya Allah, kerana temuduganya hari ini benar-benar memberikan hasil yang tidak mungkin boleh didapatinya pada temuduga di mana sekalipun. Dia yakin hidupnya akan betul-betul berubah selepas ini.

T A M A T

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience